Kenali Zhong Shanshan Yang Lebih Kaya Daripada Jack Ma

Ramai yang kenal nama Jack Ma tetapi tak ramai yang tahu siapakah Zhong Shanshan. Rupa-rupanya Zhong Shanshan adalah seorang jutawan yang jarang disebut di media sosial tetapi lebih kaya daripada Jack Ma.

Jom kita kenali Zong Shanshan yang memiliki kekayaan sebanyak USD71.9 bilion dan kisah menarik beliau.

Permulaan Zhong Shanshan

Zhong Shanshan dilahirkan pada tahun 1954 di Hangzhou, China dan telah berhenti sekolah pada usia 12 tahun. Beliau telah mencuba pelbagai bidang pekerjaan termasuk pembinaan, penanaman cendawan, penjualan minuman dan bekerja di sektor kewartawanan.

Pada tahun 1996 pula, beliau memutuskan untuk memulakan syarikatnya sendiri yang bernama Nongfu Springs. Syarikat ini menghasilkan air minuman botol dan bisnesnya berkembang dengan pantas dan merupakan produk minuman yang sangat terkenal di sana.

Selama bertahun-tahun menjalankan bisnes, syarikatnya telah menjadi syarikat minuman terkemuka di China. Tetapi kejayaannya yang terbesar adalah disebabkan oleh keputusannya untuk membangunkan Beijing Wantai Biological Pharmacy Enterprise yang merupakan syarikat pembuatan vaksin bagi mengekang penularan COVID-19.

Di kala pandemik berleluasa, saham syarikat Beijing Wantai Biological Pharmacy Enterprise telah meningkat lebih daripada 2,000% dan saham Nongfu Springs juga melonjak naik sehingga 155%.

Kekayaan Milik Zhong Shanshan

Kredit Gambar: China Daily

Kekayaan bersih beliau kini adalah sebanyak USD71.9 bilion dan semakin meningkat naik. Pencapaiannya menjadi lebih bersejarah kerana beliau sama sekali tidak terkenal di luar negara mahupun di China.

Beliau juga tidak pernah terlibat dalam dunia politik dan amat menjaga kepentingan perniagaan bagi dirinya sendiri dengan tidak terlibat dengan mana-mana keluarga kaya lain dan juga dengan pihak media.

Kekayaannya kini telah mengatasi hartawan-hartawan teknologi China yang lain seperti pengasas Pinduoduo, Colin Huang (USD66 bilion), pengasas Tencent, Pony Ma (USD58.2 bilion) dan pengasas Alibaba, Jack Ma (USD51.5 bilion).

Kesimpulannya, kekayaan Zhong Shanshan datang daripada hasil kebijaksanaannya yang pandai mengambil peluang dan disiplinnya yang amat tinggi. Selain daripada itu, beliau tidak pernah berputus asa walaupun pelbagai ujian yang mendatang.

Di sebalik pandemik yang melanda, beliau telah menjadi semakin kaya-raya. Beliau pernah berkata “dalam dunia bisnes, saya hanya mahu berbisnes sahaja” dan kurang bergaul dengan orang lain. Debab itulah beliau digelar ‘lone wolf’.

Sumber Rujukan: Business Insider

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.