Pernah Dipecat, Kini Beliau Pemilik Rangkaian Media Terkemuka Dunia

Bagi anda yang gemar mengikuti perkembangan dunia terutamanya dalam bidang ekonomi, kewangan, pasaran saham dan sebagainya, anda pasti pernah mendengar tentang agensi berita Bloomberg bukan?

Tidak seperti para bilionaire dunia yang lain, pemilik rangkaian Bloomberg ini sebenarnya tidak pernah bermimpi pun untuk membuka syarikat sendiri. Sehinggalah berlakunya satu peristiwa penting dalam hidupnya.

Michael Ruben Bloomberg ini dilahirkan pada 14 Februari 1942. Beliau merupakan seorang pemegang ijazah kejuruteraan elektrik dari Universiti John Hopkin sebelum menyambung pengajiannya dalam bidang perniagaan di Universiti Harvard.

Setelah menamatkan pelajarannya, beliau terus bekerja di sebuah firma ternama di Wall Street iaitu Salomon Brothers. Anda mungkin menyangka dia terus memegang jawatan yang agak tinggi setara dengan kelulusannya bukan?

Tidak sama sekali. Beliau bermula dari bawah iaitu sebagai seorang kerani sahaja.

Tetapi disebabkan oleh kebolehannya, sedikit demi sedikit dia menapak sehingga di tawarkan menjadi rakan kongsi untuk firma tersebut. Dan beliau pula hanya berusia 30 tahun ketika itu!

Tetapi biasalah, bila dah berjaya, ada pula yang dengki. Beliau kemudiannya ditukarkan ke bahagian teknologi. Ini kerana bahagian teknologi dianggap tidak begitu glamor dan penting.

Beberapa tahun selepas itu, beliau dipecat setelah syarikat tersebut bergabung dengan Philbro Corporation.

Ketika itu, Bloomberg memang berasa kecewa kerana dia tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada firma tersebut, apatah lagi dipecat. Beliau berasa dirinya seperti dikhianati.

Untuk mencari kerja di tempat lain, dia merasakan tidak mungkin kerana ketika itu pun dia telah berusia 39 tahun.

Maka Bloomberg bertindak berani dengan menubuhkan syarikatnya sendiri berbekalkan USD10 juta hasil pampasan yang diterima sewaktu dipecat dan pengalaman sepanjang berada di bahagian teknologi. Beliau cuba membangunkan satu perisian yang dapat membantu pelabur untuk melihat aliran turun naik bagi saham, bon, mata wang dan sebagainya.

Ini dapat membantu para pelabur dalam membuat sebarang keputusan.

Kredit: Bloomberg

Idea inovasi Bloomberg ini kemudian mendapat perhatian daripada firma terkemuka Merrill Lynch’s Capital Market Division. Dari situlah ‘The Bloomberg’ terus menapak lebih tinggi lagi.

Syarikat teknologi ini kemudian bekembang menjadi syarikat media terkemuka dengan tertubuhnya rangkaian Bloomberg News dan juga Bloomberg TV.

Kejayaan figura ini tidak terhenti disitu apabila beliau turut berjaya dalam bidang politik apabila memegang jawatan Datuk Bandar New York selama 12 tahun! Siapa sangka, orang yang asalnya hanya makan gaji, kini menjadi orang terkaya di New York?

Hari ini, beliau memiliki kekayaan sebanyak USD59 bilion. Kadangkala kesusahan kita sebenarnya membuka jalan untuk kesenangan yang lain.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.