Rahsia Ray Dalio Dalam Mengemudi Hedge Fund Terbesar Dunia

Ray Dalio merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia pelaburan saham. Beliau merupakan pengurus hedge fund terbesar di dunia iaitu Bridgewater Associates, yang menguruskan aset sebanyak USD140 bilion dengan 1,500 orang pekerja di seluruh dunia.

Beliau sendiri memiliki kekayaan sebanyak USD20.3 bilion dan merupakan salah seorang pengurus hedge fund yang terkaya di dunia. Ray Dalio juga digelar sebagai Steve Jobs di dalam dunia pelaburan saham kerana sangat berinovasi dalam teknik pelaburan.

Semua kejayaan yang dimilikinya ini adalah bukan secara kebetulan tetapi beliau mempunyai rahsianya yang tersendiri.

Meditasi Sebagai Rutin

Ray Dalio terkenal dengan seorang yang sangat spiritual dalam kehidupan. Jika ditanya apakah rahsia utama kejayaan yang dimilikinya pada hari ini, jawapannya adalah meditasi.

Ray Dalio merupakan pengamal tegar medetasi. Menurutnya, beliau melakukan meditasi sebanyak dua kali sehari selama 20 minit setiap sesi.

Beliau mengamalkan Transcendental Meditation yang merupakan meditasi yang sangat popular di negara barat.

Kredit Gambar: Yogi Press

Ray Dalio mula mengenali meditasi ini melalui kumpulan yang sangat terkenal di era 1960-an iaitu The Beatles. Kumpulan muzik ini telah terbang ke India semata-mata untuk mempelajari teknik Transcendental Meditation secara betul dan pengaruh yang dimiliki oleh kumpulan tersebut membuatkan meditasi ini popular dalam masa yang singkat di negara barat.

Ray Dalio juga berminat dengan meditasi ini dan mula mengamalkanya pada awal tahun 1970-an. Terdapat satu peristiwa yang besar berlaku dalam kehidupan dan beliau berjaya melaluinya disebabkan bantuan meditasi ini.

Peristiwa itu berlaku pada tahun 1982, di mana Ray Dalio telah melakukan kesilapan dalam pasaran saham. Beliau begitu yakin bahawa Mexico akan mengalami inflasi disebabkan hutang yang tinggi.

Apa yang dijangka oleh Ray Dalio berlaku sebaliknya apabila kerajaan Amerika Syarikat telah membantu Mexico dalam krisis tersebut. Beliau telah hilang semua wang pelaburan dan semua pekerja syarikatnya terpaksa diberhentikan.

Pada ketika itu, beliau terpaksa meminjam wang dari bapanya sebanyak USD4,000 untuk memulakan hidup baru. Peristiwa tersebut telah mengubah dirinya seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.

Selepas peristiwa tersebut, Ray Dalio telah berjaya mengubah mindsetnya melalui Transcendental Meditation. Menurutnya meditasi ini telah berjaya mengosongkan fikiran daripada mengingati peristiwa malang tersebut dan belajar daripadanya.

Rutin Yang Dilakukan Ray Dalio Selepas Bersara

Beliau telah pun bersara daripada hedge fund yang diasaskanya itu pada tahun 2017 dan diganti oleh David McCormick. Walaupun telah meletakkan jawatan, Ray Dalio masih lagi aktif di dalam pasaran saham.

Menurutnya, beliau sentiasa melihat keadaan pasaran saham setiap hari dan mencari jawapan kepada setiap permasalahan dengan mendalam. Beliau gemar menyelesaikan masalah di dalam pasaran saham yang menjadikan dirinya sentiasa berfikir.

Jadual hariannya sama seperti sebelum ini di mana pada waktu pagi, beliau masih lagi melakukan meditasi secara harian. Beliau akan bangun pada pukul 6 pagi dan bekerja seperti biasa.

Beliau juga aktif beriadah dengan menunggang basikal dan bermain kayak.

Ray Dalio kini sudah berusia lebih daripada 70 tahun dan berada pada fasa di mana hidupnya lebih tertumpu kepada memberi manfaat kepada golongan muda dengan pelbagai nasihat yang berguna.

Beliau juga turut menulis buku yang terkenal iaitu Principles: Life and Work yang menjadi best seller untuk New York Times Best Seller.

Kredit Gambar: Medium

Beliau juga telah menderma separuh daripada kekayaan yang dimilikinya itu kepada badan kebajikan.

Sumber Rujukan: CNBC

Previous ArticleNext Article

I-Berhad Catat Prestasi Kukuh FY2025 dengan PBT Meningkat 80% Tahun ke Tahun kepada RM77.1 Juta

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2026 – I-Berhad (“I-Berhad” atau “Kumpulan”), pemaju induk i-City – Bandar Digital No.1 Malaysia, hari ini mengumumkan keputusan kewangan tidak diaudit bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (“S4TK2025”).

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2025 (“TK2025”), Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM77.1 juta, meningkat 80% tahun ke tahun berbanding RM42.8 juta pada TK2024. Peningkatan kukuh ini mencerminkan keupayaan pelaksanaan yang semakin mantap serta momentum pendapatan yang berterusan. Prestasi ini dicapai walaupun Kumpulan melaksanakan strategi operasi yang berhemah sepanjang tahun, sekali gus menunjukkan keupayaan menjana hasil dan keuntungan kukuh daripada pembangunan sedia ada serta asas pendapatan berulang.

Prestasi Suku Keempat (S4TK2025)

Bagi S4TK2025, Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM117.0 juta, meningkat 44% berbanding suku sebelumnya, didorong oleh momentum pelaksanaan yang lebih baik merentasi segmen teras.

Segmen Pembangunan Hartanah muncul sebagai enjin pertumbuhan utama dengan hasil sebanyak RM75.2 juta berbanding RM42.1 juta pada suku terdahulu. Peningkatan ini didorong oleh kemajuan pembinaan yang lebih pantas serta bil progresif yang lebih tinggi daripada projek-projek dalam i-City, mencerminkan peningkatan kecekapan operasi dan pelaksanaan projek. PBT segmen bagi suku ini ialah RM13.1 juta, berbanding RM16.1 juta pada S3TK2025, di mana suku terdahulu menerima rangsangan daripada pelarasan semula peruntukan projek yang tidak lagi diperlukan.

Segmen Pelaburan Hartanah mencatatkan hasil stabil sebanyak RM6.9 juta, disokong oleh sumbangan sewaan konsisten daripada Mercu Maybank, aset pusat data dan tempat letak kereta di i-City, serta pendapatan bersekutu daripada Central i-City Mall. PBT segmen adalah RM3.7 juta, mengekalkan asas pendapatan berulang yang kukuh.

Segmen Riadhah dan Hospitaliti meneruskan trajektori peningkatan dengan hasil RM33.8 juta, naik 6% suku ke suku. PBT segmen meningkat kepada RM7.0 juta, disokong kehadiran pengunjung yang mampan dan prestasi operasi stabil di tarikan i-City.

Prestasi Tahun Kewangan 2025

Bagi TK2025, I-Berhad merekodkan jumlah hasil sebanyak RM322.6 juta dan PBT sebanyak RM77.1 juta, mencerminkan keberkesanan model pendapatan yang pelbagai.

  • Pembangunan Hartanah: Hasil RM172.3 juta, PBT RM39.5 juta
  • Pelaburan Hartanah: Hasil RM26.8 juta, PBT RM19.1 juta
  • Riadhah dan Hospitaliti: Hasil RM120.6 juta, PBT RM20.9 juta

Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong, berkata penutupan kukuh TK2025 mencerminkan daya tahan model perniagaan pelbagai enjin Kumpulan serta pelaksanaan strategi pembangunan dan pelaburan yang berdisiplin.

Menurut beliau, peningkatan bil pembangunan hartanah pada suku keempat bersama pendapatan berulang yang stabil daripada aset pelaburan dan operasi riadhah telah membolehkan Kumpulan mencatatkan satu lagi suku keuntungan yang kukuh.

Tan Sri Lim menambah bahawa baki nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM5 bilion di i-City menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan, dengan pelancaran baharu dijangka meningkatkan lagi sumbangan hasil dan momentum pendapatan.

Fasa Seterusnya: AI dan Robotik

Memasuki fasa seterusnya evolusi i-City, fokus Kumpulan adalah memperkukuh pendapatan berulang, meningkatkan produktiviti aset dan mempersiapkan bandar tersebut untuk masa depan melalui teknologi, dengan kecerdasan buatan (AI) dan robotik sebagai pemacu utama.

Melalui AI World, presint bandar pertama Malaysia yang didayakan AI, Kumpulan secara berperingkat mengintegrasikan infrastruktur digital, sistem pintar dan pengurusan berasaskan data dalam ekosistem i-City bagi meningkatkan kecekapan operasi, mutu perkhidmatan dan prestasi aset.

Inisiatif ini berteraskan hasil komersial dan merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengukuhkan aliran pendapatan berulang serta membezakan i-City sebagai penanda aras kehidupan bandar berasaskan AI di Malaysia.

Di samping itu, pembangunan AI Living @ i-City di ibu negeri Selangor bakal menjadi menara kediaman AI dan robotik pertama di dunia sebagai tapak ujian sebenar dan platform pengkomersialan robot humanoid. Dijadualkan siap pada tahun 2030, menara 500 unit ini direka untuk masa depan di mana manusia dan robot berinteligens terbenam berinteraksi dalam satu persekitaran yang lancar.

Prospek

Melangkah ke hadapan, Kumpulan kekal optimistik secara berhati-hati terhadap prospeknya, disokong oleh kestabilan ekonomi Malaysia, trend urbanisasi berterusan dan permintaan terhadap pembangunan bersepadu berteraskan teknologi. Dengan rekod pelaksanaan yang terbukti serta saluran pembangunan yang besar, I-Berhad berada dalam kedudukan kukuh untuk mencapai pertumbuhan hasil berterusan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada para pemegang taruh.