Rahsia Ray Dalio Dalam Mengemudi Hedge Fund Terbesar Dunia

Ray Dalio merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia pelaburan saham. Beliau merupakan pengurus hedge fund terbesar di dunia iaitu Bridgewater Associates, yang menguruskan aset sebanyak USD140 bilion dengan 1,500 orang pekerja di seluruh dunia.

Beliau sendiri memiliki kekayaan sebanyak USD20.3 bilion dan merupakan salah seorang pengurus hedge fund yang terkaya di dunia. Ray Dalio juga digelar sebagai Steve Jobs di dalam dunia pelaburan saham kerana sangat berinovasi dalam teknik pelaburan.

Semua kejayaan yang dimilikinya ini adalah bukan secara kebetulan tetapi beliau mempunyai rahsianya yang tersendiri.

Meditasi Sebagai Rutin

Ray Dalio terkenal dengan seorang yang sangat spiritual dalam kehidupan. Jika ditanya apakah rahsia utama kejayaan yang dimilikinya pada hari ini, jawapannya adalah meditasi.

Ray Dalio merupakan pengamal tegar medetasi. Menurutnya, beliau melakukan meditasi sebanyak dua kali sehari selama 20 minit setiap sesi.

Beliau mengamalkan Transcendental Meditation yang merupakan meditasi yang sangat popular di negara barat.

Kredit Gambar: Yogi Press

Ray Dalio mula mengenali meditasi ini melalui kumpulan yang sangat terkenal di era 1960-an iaitu The Beatles. Kumpulan muzik ini telah terbang ke India semata-mata untuk mempelajari teknik Transcendental Meditation secara betul dan pengaruh yang dimiliki oleh kumpulan tersebut membuatkan meditasi ini popular dalam masa yang singkat di negara barat.

Ray Dalio juga berminat dengan meditasi ini dan mula mengamalkanya pada awal tahun 1970-an. Terdapat satu peristiwa yang besar berlaku dalam kehidupan dan beliau berjaya melaluinya disebabkan bantuan meditasi ini.

Peristiwa itu berlaku pada tahun 1982, di mana Ray Dalio telah melakukan kesilapan dalam pasaran saham. Beliau begitu yakin bahawa Mexico akan mengalami inflasi disebabkan hutang yang tinggi.

Apa yang dijangka oleh Ray Dalio berlaku sebaliknya apabila kerajaan Amerika Syarikat telah membantu Mexico dalam krisis tersebut. Beliau telah hilang semua wang pelaburan dan semua pekerja syarikatnya terpaksa diberhentikan.

Pada ketika itu, beliau terpaksa meminjam wang dari bapanya sebanyak USD4,000 untuk memulakan hidup baru. Peristiwa tersebut telah mengubah dirinya seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.

Selepas peristiwa tersebut, Ray Dalio telah berjaya mengubah mindsetnya melalui Transcendental Meditation. Menurutnya meditasi ini telah berjaya mengosongkan fikiran daripada mengingati peristiwa malang tersebut dan belajar daripadanya.

Rutin Yang Dilakukan Ray Dalio Selepas Bersara

Beliau telah pun bersara daripada hedge fund yang diasaskanya itu pada tahun 2017 dan diganti oleh David McCormick. Walaupun telah meletakkan jawatan, Ray Dalio masih lagi aktif di dalam pasaran saham.

Menurutnya, beliau sentiasa melihat keadaan pasaran saham setiap hari dan mencari jawapan kepada setiap permasalahan dengan mendalam. Beliau gemar menyelesaikan masalah di dalam pasaran saham yang menjadikan dirinya sentiasa berfikir.

Jadual hariannya sama seperti sebelum ini di mana pada waktu pagi, beliau masih lagi melakukan meditasi secara harian. Beliau akan bangun pada pukul 6 pagi dan bekerja seperti biasa.

Beliau juga aktif beriadah dengan menunggang basikal dan bermain kayak.

Ray Dalio kini sudah berusia lebih daripada 70 tahun dan berada pada fasa di mana hidupnya lebih tertumpu kepada memberi manfaat kepada golongan muda dengan pelbagai nasihat yang berguna.

Beliau juga turut menulis buku yang terkenal iaitu Principles: Life and Work yang menjadi best seller untuk New York Times Best Seller.

Kredit Gambar: Medium

Beliau juga telah menderma separuh daripada kekayaan yang dimilikinya itu kepada badan kebajikan.

Sumber Rujukan: CNBC

Previous ArticleNext Article

Pendidikan Tinggi, Gaji Rendah

Kita semua dibesarkan dengan skrip yang sama:
“Belajar rajin-rajin.
Dapat keputusan cantik.
Masuk universiti.
Nanti senanglah hidup.”

1. Graduan Tak Semestinya Kerjaya Mantap

Statistik rasmi menunjukkan kadar pengangguran graduan menurun kepada ~3.2% pada 2024, dengan jumlah graduan yang menganggur sekitar 165,900 orang.

Statistik rasmi 2023 menunjukkan bahawa jumlah graduan yang bekerja dalam pekerjaan di bawah tahap kemahiran mereka (skill-related underemployment) meningkat kepada kira-kira 1.68 juta orang. Bagi belia graduan berumur 24 tahun dan ke bawah, kadar underemployment dilaporkan 61.2%, tetapi ini merujuk kepada peratusan underemployment dalam kumpulan tersebut, bukan keseluruhan graduan.

Ini bermaksud ramai graduan sebenarnya bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran dan kelayakan mereka, yang selari dengan isu “underutilisation of skills”.

2. Gaji Permulaan? Rendah, Dengan Bebanan Hutang Menanti

Bayangkan seorang graduan baru melangkah keluar dari dewan konvokesyen. Harapan tinggi, semangat membara. Tetapi apabila masuk ke dunia kerja, realitinya gaji permulaan yang ditawarkan selalunya hanya sekitar RM2,500 sebulan.

Di ruang forum dalam talian, ramai anak muda meluahkan perkara yang sama:

“4k untuk fresh grad adalah rare.”

“2.5k for degree holder, *sigh* really hurts to see this being the current state of the job market.”

Bayangkan bila income pertama pun cukup-cukup makan, tapi PTPTN atau komitmen lain tetap menunggu. Ada yang sebut mereka pakai 40% gaji untuk bayar hutang pendidikan.

3. Hutang Isi Rumah Makin Menekan

Tahukah anda, hutang isi rumah Malaysia telah menyentuh RM1.65 trilion menjelang akhir Mac 2025 iaitu sekitar 84.3% daripada KDNK.

Bank Negara pernah memberi amaran tentang tahap ini ia tinggi tapi masih dalam kawalan buat masa ini.

Hutang ini pula bukan tertumpu kepada satu perkara sahaja. Sekitar 60% daripadanya adalah pinjaman/pembiayaan perumahan, manakala selebihnya melibatkan pinjaman kenderaan, kad kredit dan perbelanjaan harian.

Apabila seorang graduan muda dengan gaji sekitar RM2,500 hingga RM3,000 mula hidup berdikari, bayangkan tekanan kewangan yang perlu ditanggung: sewa rumah, ansuran kenderaan, kos sara hidup dan bayaran balik hutang, semuanya datang serentak.

4. Keterbatasan Akademik Jika Tanpa “Senjata Tambahan”

Pendidikan tradisional banyak ajar hafalan, formula dan teori tapi dunia sekarang memerlukan soft skills dan financial savvy:

Ramai anak muda tidak pernah diajar:

  • bagaimana berunding gaji, bukan sekadar menerima tawaran
  • bagaimana membina jaringan profesional yang membuka peluang
  • bagaimana mengurus wang, menilai pelaburan dan mengelakkan diri daripada terjerat hutang

“Kalau dapat kerja, syukur. Jangan banyak soal.”

Ramai orang tak berani runding bukan sebab lemah tapi sebab tak tahu nilai sebenar diri mereka. Majikan bukan jahat. Mereka cuma mahu mengoptimumkan kos.

Contoh situasi:
Jawatan: Data Analyst junior

Gaji pasaran: RM3,000 – RM3,500
Kalau anda terima RM2,500, anda sebenarnya ‘menjual diri’ di bawah harga pasaran.

Hari ini, anak muda boleh semak:


Seorang graduan mula bekerja dengan gaji RM2,800.
Tanpa ilmu kewangan, perkara pertama yang berlaku selalunya:

  • beli telefon RM4,000 secara ansuran,
  • ansuran kereta RM600–RM800 sebulan,
  • makan guna kad kredit, hujung bulan baki dalam akaun tinggal RM100.

Dia nampak “hidup selesa”, tapi sebenarnya sedang membina sangkar hutang.

Sedangkan jika dia faham asas pengurusan wang, keputusannya akan sangat berbeza:

  • dia tahu membezakan keperluan dan keinginan
  • dia simpan sekurang-kurangnya 10–20% gaji untuk dana kecemasan
  • dia elakkan hutang yang tidak menambah nilai, seperti gajet atau gaya hidup

Tentang pelaburan, ramai anak muda sangka ia hanya untuk orang kaya. Hakikatnya, pelaburan ialah alat melindungi diri daripada inflasi dan masa.

Tanpa literasi pelaburan, anak muda:

  • mudah terpengaruh skim cepat kaya
  • simpan duit dalam akaun biasa yang nilainya dimakan inflasi atau terus takut untuk melabur

Jika perkara ini tidak dibentuk sejak awal, kita sebenarnya sedang menyerahkan generasi muda kepada satu sistem yang tidak benar-benar mempersiapkan mereka untuk bertahan, apatah lagi untuk berjaya.

5. Bila “Your Best” Sahaja Tak Cukup

Bayangkan ibu bapa yang telah berkorban segalanya.
Anak pula belajar bersungguh-sungguh, keputusan cemerlang dan akhirnya menamatkan pengajian di universiti.

Namun apabila melangkah ke alam pekerjaan, realitinya jauh berbeza:

Kerja ada, tetapi hutang sudah menunggu.
Gaji sederhana, tetapi perlu membayar PTPTN dan kos sara hidup.
Bakat tinggi, tetapi terperangkap dalam pekerjaan di bawah potensi.

Dunia yang mereka hadapi hari ini terasa jauh lebih kejam daripada apa yang dijanjikan.

Inilah realiti yang membuatkan sebahagian ibu bapa merasa tertekan, malah ada yang diam-diam merasa bersalah, apabila melihat anak yang telah “buat semuanya dengan betul” masih bergelut untuk hidup selesa.

Kesimpulannya, pendidikan sekarang bukan lagi tiket automatik untuk masa depan yang cerah. Anak mesti diajar untuk berdikari dari segi kewangan, emosi, nilai diri, bukan sekadar pandai teori.

Jika kita masih berharap bahawa sijil semata-mata boleh menyelamatkan masa depan anak-anak, kita mungkin sedang berlayar dalam sebuah kapal yang bocor dan semakin lama dibiarkan, semakin hampir ia tenggelam.