400,000 Peminjam Tidak Pernah Bayar PTPTN, Hutang Cecah RM5 Bilion

Masalah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menjadi isu berpanjangan yang membebankan negara. Terbaharu, lebih 430,000 peminjam dikenal pasti langsung tidak pernah membuat sebarang bayaran walaupun telah tamat pengajian, ada antaranya sudah bertahun-tahun meninggalkan alam universiti. Akibatnya, jumlah tunggakan yang terkumpul daripada kumpulan ini sahaja telah mencecah RM5 bilion.

Apa yang lebih mengejutkan, sebahagian daripada mereka ini turut menerima bantuan kerajaan di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Mengikut data semasa, seramai 189,580 daripada peminjam yang tidak membayar ini juga adalah penerima STR. Ini menimbulkan persoalan besar tentang kebertanggungjawaban sosial dan kemampuan sebenar mereka untuk membayar balik pinjaman.

Jika dilihat secara keseluruhan, jumlah pinjaman PTPTN yang masih belum dilangsaikan setakat Disember lalu adalah sebanyak RM32.29 bilion. Ia melibatkan hampir 2.7 juta peminjam, menjadikan isu ini bukan lagi satu kes terpencil, sebaliknya masalah sistemik yang memerlukan penyelesaian tuntas.

Disebabkan perkara ini semakin serius, kerajaan dan PTPTN sedang merancang untuk mengambil tindakan yang lebih tegas khususnya ke atas peminjam yang mampu tetapi sengaja enggan membayar. Dalam masa sama, PTPTN turut memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu mereka yang benar-benar menghadapi kesulitan. Antaranya termasuk membenarkan penangguhan bayaran sehingga dua tahun bagi yang masih belum mendapat pekerjaan serta pelbagai pelan bayaran semula yang lebih fleksibel.

Walaupun ruang dan peluang sudah diberi, masih ramai yang terus mengambil sikap lepas tangan. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan aliran kewangan PTPTN, tetapi turut memberi kesan jangka panjang terhadap pelajar baharu yang memerlukan dana untuk menyambung pengajian.

Peminjam haruslah sedar bahawa dana yang digunakan bukanlah ‘duit percuma’, sebaliknya satu bentuk amanah yang perlu dikembalikan demi memastikan kesinambungan bantuan kepada generasi seterusnya. Pada masa yang sama, usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membayar balik pinjaman dan membina budaya kewangan yang sihat perlu dipergiatkan.

Jangan tunggu sampai nama kena senarai hitam, baru nak panik.

Sumber: Utusan Malaysia

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA