5 Persediaan Menghadapi Kemelesetan Ekonomi Global!

Pengarah Urusan International Monetary Fund (IMF), Kristalina Georgieva telah mengisytiharkan bahawa dunia sedang berada dalam kemelesetan ekonomi global. Ini merupakan susulan daripada pandemik Covid-19 yang menyebabkan berlakunya situasi darurat dan syarikat tidak boleh beroperasi seperti biasa, dalam usaha untuk membendung Covid-19 dari terus merebak.

Rujuk IMF chief Georgieva says the world is in a recession, containment will dictate strength of recovery

Menurut IMF lagi, bilangan negara yang telah meminta bantuan pinjaman kecemasan dari IMF telah meningkat. Negara-negara ini sudah pasti mengalami tekanan untuk membelanjakan wang untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi yang lebih teruk.

Impak daripada kemelesetan ekonomi ini akan menyebabkan syarikat-syarikat mengalami kerugian dan ini memungkinkan banyak pekerja-pekerja yang terpaksa dibuang kerja oleh majikan supaya syarikat dapat terus beroperasi dalam skala yang lebih kecil.

Sekiranya ini berlaku, sudah pasti rakyat bawahan akan mendapatkan kesan yang besar apabila kehilangan punca pendapatan.

Justeru, setiap individu perlu mempunyai pelan jangka pendek dan sederhana untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi ini. Kita tidak tahu samada syarikat mampu untuk bertahan sekiranya pendapatan terjejas.

Jom kita tengok 5 perkara yang kita boleh lakukan bagi membantu kita mengharungi kemelesetan ekonomi global ini.

1. Cash Is King

Ketika situasi kemelesetan ekonomi, kita harus bersedia dengan simpanan kecemasan selama 3-6 bulan. Ini kerana kita akan berhadapan dengan kemungkinan diberhentikan kerja.

Selain daripada itu, sudah pasti peluang pekerjaan baru akan semakin berkurang. Penganggur akan berhadapan dengan situasi sukar untuk mencari kerja.

Simpanan kecemasan sangat diperlukan sekiranya kita diberhentikan kerja untuk menampung kos keperluan harian. Pada saat ini, aset kita dalam bentuk wang ringgit adalah lebih berguna daripada rumah yang akan mengambil masa untuk dicairkan menjadi wang.

Tak kisahlah anda T20, M40, atau B40, dapatkan cash sebanyak mungkin dalam masa 6 bulan ini.

2. Terus Berbelanja

Situasi kemelesetan ekonomi ini bermakna peniaga-peniaga kecil akan berkurang punca pendapatan kerana pengguna semakin berhati-hati dalam membuat pembelian. Berbelanjalah secara berhemah supaya peniaga-peniaga mendapat untung dan mampu menjana ekonomi negara.

Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri bertujuan untuk meningkatkan ekonomi setempat di negara kita. Gunakan duit yang ada untuk berbelanja di kedai-kedai runcit, restoran dan penjaja tepi jalan seperti gerai Pisang Goreng Makcik Kiah.

Sekiranya kita merupakan di antara golongan yang diberhentikan kerja atau dipotong gaji, penting untuk kita menilai semula gaya hidup seharian. Kurangkan perbelanjaan tidak penting dan mulakan langkah penjimatan sebelum wang kita susut sedikit demi sedikit.

3. Selesaikan Hutang Kad Kredit Dan Pinjaman Peribadi

Hutang kad kredit dan pinjaman peribadi merupakan hutang dengan kadar faedah yang sangat tinggi. Ini menyebabkan kita terpaksa membayar kos yang tinggi untuk membuat pembayaran balik untuk melangsaikan hutang.

Justeru, kita perlu memberi keutamaan dalam melangsaikan hutang kad kredit dan pinjaman peribadi ini terlebih dahulu.

Kan Pembayaran Balik Pinjaman Rumah Boleh Ditangguhkan Dengan Adanya ‘Moratorium’, oleh itu pinjaman rumah dan pinjaman kereta boleh ditangguhkan selama 6 bulan bagi memudahkan kita selesaikan hutang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi.

Contoh : Hutang rumah + kereta = RM5,000 sebulan. Hutang kad kredit pula ada baki RM10,000. Guna cash tadi, bulan ke-2 dah boleh selesai!

4. Pelaburan

Pasaran saham telah jatuh dan memasuki ‘bear market’ susulan daripada krisis yang kita sedang hadapi. Ini menjadikan harga saham secara umumnya lebih murah berbanding nilai saham itu sendiri.

Secara logiknya, seolah-olah kita membeli saham dengan harga diskaun terutama saham dengan fundamental yang kukuh. Pastikan kita menggunakan strategi Dollar Cost Averaging memandangkan ada kemungkinan pasaran saham akan menurun sebelum ianya naik semula.

Sejarah mungkin berulang. Krisis ekonomi pada tahun 2008-2009, ada ramai yang bankrup, dan ada ramai yang jadi jutawan. Selepas Covid-19 dan kemelesetan ekonomi global ini berlalu, sudah pasti pasaran saham akan kembali pulih dan kemudian kita boleh lihat hasil pelaburan ini.

Cepat-cepat pergi tambah ilmu. Waktu PKP adalah masa terbaik untuk cari ilmu, bukan untuk membawang. Dapatkan khidmat nasihat dari perancang kewangan yang berlesen sekiranya kita tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai pelaburan. Pastikan juga kita mempunyai simpanan yang mencukupi sebelum memulakan sebarang pelaburan.

Baca juga Covid-19: Sesuai Ke Nak Melabur Saham Di Bursa Malaysia Sekarang?

5. Mantapkan Credit Score

Ketika zaman kemelesetan ekonomi ini, kita akan menyaksikan lambakan rumah-rumah yang dijual dengan harga di bawah harga pasaran. Bahkan perkara ini telah berlaku sebelum langkah Perintah Kawalan Pergerakan dimulakan lagi.

Lambakan rumah lelong akibat daripada tunggakan pembayaran bayaran ansuran rumah dengan pihak bank akan menyebabkan harga rumah semakin turun.

Sekiranya kita mempunyai pendapatan yang stabil dan lebihan wang untuk dilaburkan (tanpa menjejaskan simpanan kecemasan), boleh mempertimbangkan untuk membeli rumah pada harga yang murah.

Namun begitu, kita perlu mempunyai credit score yang kukuh kerana bank akan memperketatkan kriteria pemberian pinjaman.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Nota : Ustaz dekat sekolah dulu selalu pesan supaya amalkan membaca surah Al-Waqiah, seperti yang diberitahu dalam hadis-hadis Nabi SAW insha-Allah akan dimurahkan rezeki dan kesenangan.

Rezeki itu boleh jadi dalam bentuk:

  • Ilmu, kefahaman dan kebijaksanaan.
  • Kesihatan dan kesejahteraan.
  • Terhindar daripada bencana.
  • Ketenangan dan ketenteraman jiwa.
  • Urusan dipermudahkan.

Asingkan sedikit pendapatan anda dan tukarkan kepada bentuk emas. Kaedah termudah dan termurah di Malaysia buat masa ini bagi sesiapa nak simpan emas. Tak perlu 1 gram pun, minimum 0.25 gram.

Boleh mulakan simpanan emas patuh syariah dengan KAB Gold.

This image has an empty alt attribute; its file name is kab-gold-uncang-emas-800-700x990.jpg

Dengan minimum pembelian 0.25 gram emas atau serendah RM65 (berdasarkan harga emas RM260 segram), semuanya boleh dilakukan secara online.

Prosesnya sangat mudah:

  • Layari laman web KAB Gold
  • Lengkapkan borang pendaftaran
  • Verify emel

Kemudian dah boleh login dan buat pembelian pertama anda hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.