5 Sindiket Yang Mudah Dipercayai Rakyat Malaysia

Malaysia merupakan negara yang kuat dari segi ekonomi dan socio-status. Akan tetapi, kita mendengar khabar tentang sindiket penipuan yang sering berkesan terhadap rakyat kita. Fenomena ini bukan kerana kita kurang sedar tetapi disebabkan sindiket ini kelihatan meyakinkan. Penipu semakin pintar menipu orang.

Jangan risau. Mari kita maklumkan 5 sindiket penipuan utama di negara ini. 

1. Penipuan Panggilan Bank

Kami mengutamakan sindiket ini kerana ia adalah kejadian yang paling dipercayai dan paling kerap berlaku. Ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa perangkap ini setiap hari. Penipuan bermula dengan panggilan telefon, biasanya dari landline atau nombor tersembunyi. Orang di sebelah talian memberitahu anda bahawa dia berkerja di bank peribadi anda. Dia kemudian akan memberitahu anda salah satu daripada yang berikut:

  • Seseorang telah membuat transaksi di suatu tempat dengan kad anda.
  • Anda mempunyai bayaran yang belum dijelaskan (pinjaman kereta, pinjaman rumah, dan lain-lain).
  • Terdapat tawaran hebat untuk penjimatan yang lebih tinggi untuk masa yang terhad sahaja. Daftar sekarang.

Caranya ialah mendapatkan butiran bank anda bersama-sama dengan butiran telefon anda. Penipu ini mengambil butiran anda dan menggunakannya untuk menggodam akaun anda atau menjual maklumat peribadi kepada pihak lain. Jika anda mendapat panggilan ini, potongkan panggilan serta-merta.

2. Skim Cepat Kaya

Sejak tahun 1980-an, ramai rakyat Malaysia mempunyai perniagaan sampingan untuk menyokong gaya hidup mereka dari segi kewangan. Mujurlah ada ramai yang telah mendapat rezeki secara sah dengan perniagaan Amway, Shaklee, Rainbow, Cosway, dan lain-lain. Ramai juga yang terpesong dengan skim cepat kaya.

Perniagaan secara piramid (pyramid scheme business) menggunakan hieraki untuk menjadi kaya. Hanya daftar sebagai ahli dan galakkan rakan-rakan dan keluarga anda buat sedemikian, akan menjadi kaya. Rupa-rupanya, kebanyakan “perniagaan” ini akan tutup tiba-tiba.

Sesetengah perniagaan ini juga menjual idea kerja dari rumah. Skim cepat kaya sebegini memujuk sikap malas untuk mendapat duit yang banyak.

3. Sindiket Putera Afrika

Betapa gila idea ini, sindikat putera Afrika telah menipu ramai di Malaysia. Taktik ini bermula dengan e-mel yang tidak berbahaya dari seseorang rakyat Afrika. Pengirim mengatakan bahawa dia mempunyai bapa yang merupakan royalti di Afrika. Ayahnya telah meninggal dunia dan dia memerlukan wang untuk dimasukkan ke dalam akaunnya.

Dia kemudian meminta anda untuk memindahkan wang melalui deposit banknya untuk membebaskan akaunnya. Jumlah yang agak kecil katanya, RM10,000 sahaja. Beliau berkata selepas akaun ayahnya tersedia, dia akan memindahkan RM100,000 kepada anda. Taktik ini menyerang sisi lembut setiap orang.

Adalah mudah untuk mengelakkan ini. Anda boleh menetapkan keutamaan e-mel anda untuk menghantar e-mel spam seperti ini ke dalam folder sampah sebaik sahaja ia masuk ke peti masuk anda.

4. Penipuan Visa Pelancong

Rakyat Malaysia suka melancong ke Australia. Tetapi apabila memohon visa pelancong ke Australia, anda perlu berhati-hati terhadap penipuan besar. Perkara pertama yang kita lakukan ialah mencari dalam talian untuk memulakan proses visa. Tetapi terdapat banyak laman web yang dakwa mempercepatkan proses visa anda dengan harga yang lebih rendah.

Oleh kerana Australia sangat ketat dengan dokumen imigresen, anda ingin menggunakan cara yang sah untuk mendapatkan visa anda. Anda tidak mahu terjebak di imigresen apabila anda sampai ke Australia terutamanya jika anda dating dengan keluarga anda.

Untuk mengatasi kemungkinan masalah ini, anda hanya boleh membuat aplikasi visa melalui Pesuruhjaya TInggi Australia dengan email [email protected].

5. Sindiket Loteri

Seiras skim cepat kaya, sindiket loteri menggalakkan anda melabur wang untuk mendapat ganjaran yang besar secepat mungkin. Kemenangan loteri bergantung kepada probabiliti anda untuk teka nombor loteri yang betul. Biasanya nombor ini adalah nombor 4 atau 6 digit. Kebarangkalian kemenagan anda adalah berjuta kali ganda kurang daripada anda melabur wang itu.

Dalam beberapa kes, anda akan dipanggil oleh seorang anggota dari syarikat loteri. Mereka akan maklumkan bahawa anda telah memenangi hadiah lumayan dan hanya perlu deposit duit (beratus Ringgit) ke dalam akaun mereka. Begitulah duit anda akan dirampas dan anda akan ditipu.

Untuk mengatasi masalah sindiket dan kes penipuan di Malaysia, kita perlu peka terhadap isu-isu semasa dan sindiket-sindiket yang kian beroperasi.

Artikel ini ditulis oleh Vino K dari CompareHero.my, laman web yang berdedikasi untuk meningkatkan celik kewangan dan juga membandingkan produk-produk kewangan seperti kad kredit, pinjaman peribadi, dan pelan internet di Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.