Ini 4 Cara Untuk Elak RM200 Kena ‘Block’ Bila Isi Minyak Guna Kad Debit Atau Kredit

Bagi mereka yang selalu swipe kad debit untuk isi minyak, pasti pernah dengar isu RM200 ‘dibekukan’ atau ‘dipegang’ untuk beberapa hari oleh bank pengeluar kad. Biasanya perlu tunggu 3 hari bekerja baru baki tersebut dipulangkan.

Ini bermakna kalau kita isi minyak RM50, swipe pakai kad debit, kalau semak transaksi dalam bank akan nampak mereka ‘tolak’ (PRE AUTHORIZED) RM200.

RM150 akan dikembalikan ke dalam akaun bank dalam tempoh beberapa hari selepas itu.

Tak kira jumlah isian kita tu RM40 ke RM70 ke, RM200 akan tetap ‘dibekukan’ sementara.

Ianya menjadi tular semula, apabila ia hangat diperkatan di media sosial dan di dalam suratkhabar:

Sumber: NST

Sebelum itu, kita fahamkan dulu situasi tersebut daripada pihak bank:

Sumber: CIMB Bank

Poin #5 dirujuk, di mana jumlah pra-kebenaran RM200 dicajkan ke akaun simpanan/semasa yang dikaitkan kepada kad debit atas pembelian petrol.

Selain daripada itu, izinkan kami untuk memetik sumber daripada Facebook pula:

Why do you need to block RM200 when a CIMB credit card is used at a self-serve petrol pump? All you need to do is…

Posted by Lemuel L Tay on Khamis, 15 Ogos 2013

Sumber: Facebook CIMB Malaysia

Nampaknya isu ini sudah agak lama berlaku, sejak tahun 2013 lagi. Namun, adakah tiada langsung jalan penyelesaiannya?

1. Guna Kad Debit CIMB Dan Pam Di Petronas

Mungkin ramai yang tak perasan, bermula 8 Februari 2017 lagi, jika anda menggunakan kad debit CIMB di stesen minyak Petronas; tiada lagi RM200 akan ditolak.

Mungkin bank lain juga mempunyai ‘partnership’ dengan stesen minyak yang lain, jadi ianya terpulang juga kepada bank yang mengeluarkan kad debit tersebut.

2. Swipe Kad Debit Atau Kad Kredit Di Terminal Dalam Stesen Minyak

Biasanya, kita pasti akan swipe kad debit atau kad kredit di tempat kita nak isi minyak bukan? Bagi memastikan akaun simpanan/semasa kita ditolak dengan jumlah yang tepat, pergilah masuk ke dalam stesen minyak dan swipe di terminal di dalam.

Kalau biasa kita minta nak isi penuh tanpa meletakkan sebarang nilai, kini kita perlu pula beritahu juruwang tersebut jumlah sebenar yang ingin ditolak. Jadi kalau biasa isi full tank dalam RM60, boleh minta juruwang setkan RM50. Jadi nanti akaun kita akan ditolak RM50 tepat-tepat.

Boleh juga guna kaedah ini jika malas nak ke kaunter:

Jika anda berada di Petron, tengok dekat skrin pam minyak tu, cari menu PRESET. Masukkan amaun yang nak diisi. Contoh RM50. Tekan ENTER. Masukkan kad debit. Tunggu kelulusan.

3. Pakai Wang Tunai

Mungkin tak berapa praktikal nak bawa wang tunai banyak-banyak, lagi-lagi untuk isi minyak. Tapi kalau mampu nak swipe kad debit, pastinya dalam akaun bank ada duit. Jadi keluarkan duit cash untuk bayar.

Untuk kad kredit pula, pastikan ada limit yang mencukupi. Jangan marah terminal kalau dia rejek permohonan nak isi minyak anda, padahal anda tu yang berhutang sampai dah nak over limit kredit yang diberikan.

4. Guna E-Wallet Petronas

Cara ini lagi mudah, pakai e-wallet untuk bayar. Dahsyat betul, tak sangka akhirnya dah boleh bayar guna telefon je semasa nak isi minyak.

Zaman sekarang mana ada orang tak pakai telefon pintar? Dengan aplikasi Setel ni, kita boleh pam dan bayar di stesen minyak Petronas, sambil-sambil kumpul mata ganjaran Mesra.

Sumber: Setel.my

Buat masa ini, bukan semua stesen minyak Petronas boleh gunakan aplikasi ini. Bagi yang berminat nak cuba, boleh muat turun aplikasi Setel tersebut di Google Play Store. Untuk iOS nampaknya belum siap lagi.

Setiap Masalah Ada Jalan Keluar

Tak perlu nak kondem sangat pihak bank, mereka mesti ada sebab perlu meletakkan syarat RM200 tersebut. Takkan mereka suka-suka je kan nak menyusahkan pengguna? Kita sebagai pengguna masih ada beberapa cara seperti di atas untuk elak daripada RM200 ‘dibekukan’ buat beberapa hari. Jadilah pengguna yang bijak!

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.