5 Start-Up Teknologi Yang Mengalami Kegagalan Paling Teruk Dalam Sejarah

Kita selalu mendengar kisah-kisah kejayaan bilionaire dalam dunia teknologi. Di antaranya kita ada Jeff Bezos, Steve Jobs, Bill Gates dan Jack Ma. Mereka sering berkongsi kisah bagaimana mereka bermula dari bawah, belajar daripada kesusahan serta cabaran yang dihadapi sebelum berjaya.

Tetapi ini tak bermakna kegagalan itu kurang menyakitkan, apatah lagi kalau ia melibatkan wang berbilion dollar. Baru-baru ini, CB Insights telah membuat saru laporan khusus tentang 200 start-up yang gagal.

Berikut kami kongsikan 5 start-up yang gagal paling teruk seperti berikut:

1. Ujian Darah, Theranos

Sumber : www.extremetech.com

Elizabeth Holmes merupakan pengasas dan CEO Theranos dan beliau adalah bekas pelajar Stanford University. Beliau menjanjikan alat ujian darah yang lebih murah, serta lebih tepat dan pantas. Ini telah membantu mereka mendapatkan dana lebih daripada $500 juta dan menjadikan syarikat ini bernilai $9 bilion!

Namun, syarikat ini telah menghentikan operasinya pada September 2018, beberapa bulan setelah Holmes dan bekas presiden Theranos, didakwa melakukan penipuan oleh SEC di atas tuduhan memalsukan pendapatan syarikat dan juga hasil ujian darah.

Sebelum pendedahan ini, Holmes sempat mendapatkan pelaburan daripada pelabur berprofil tinggi seperti Rupert Murdoch, Walgreen dan BlueCross BlueShield. Holmes telah mencapai penyelesaian dengan SEC pada tahun 2018.

Tetapi beliau masih lagi berdepan dengan perbicaraan jenayah iaitu kes penipuan yang akan dibicarakan pada tahun 2021 nanti.

2. Fitness Tracker, Jawbone

Syarikat Jawbone yang berpangkalan di San Francisco ini mempunyai valuation sehingga $3.2 bilion dengan menjanjikan sebuah fitness tracker yang dipanggil UP, yang dijangka akan bersaing hebat dengan jenama Fitbit.

Mereka kemudiannya mendapat modal daripada pelabur seperti Sequoia Capital, Kleiner Perkins Caufield&Byers dan Andreessen Horowitz. CEO Yahoo! ketika itu Marissa Mayer, turut menjadi ahli lembaga syarikat tersebut.

Walaupun berjaya mengumpul dana sehingga $900 juta, tetapi produk mereka tidak mendapat sambutan di dalam pasaran. Pada tahun 2015, mereka tidak mampu untuk menguasai lebih dari 3% di dalam pasaran kecergasan.

Mereka kemudiannya mula mencairkan aset pada Julai 2017 dan terpaksa ‘gulung tikar’.

3. Pembekal Produk Haiwan Peliharaan, Pets.com

Kredit gambar: Business Insider

Pets.com telah berjaya mengumpul lebih kurang $110 juta daripada pelabur seperti Amazon dan Hummer Winblad Venture Partners. Ianya telah dilancarkan pada 1998 sebagai sebuah laman e-commerce yang menjual keperluan haiwan peliharaan.

Syarikat yang pernah terkenal kerana membeli iklan Super Bowl yang mahal pada Januari 2000, kemudian melancarkan IPO syarikat pada bulan berikutnya dan telah berjaya mengumpul sebanyak $82.5 juta.

Tetapi mereka kemudiannya mengalami kerugian besar akibat model perniagaan yang kurang kukuh dan juga perbelanjaan yang terlalu besar dalam pengiklanan.

Syarikat ini kemudiannya dibubarkan pada tahun 2000, seperti banyak syarikat teknologi yang lain akibat daripada krisis dotcom yang berlaku pada ketika itu.

4. Kereta Elektrik, Better Place

Kredit gambar: CNET

Syarikat ini telah diasaskan pada tahun 2007 oleh usahawan Israel, Shai Agassi. Better Place ditubuhkan untuk menghasilkan kereta elektrik dan mungkin akan menjadi saingan kepada syarikat Tesla.

Mereka berjaya mengumpul lebih daripada $900 juta dengan pelaburan daripada VantagePoint Capital Partners, General Electrics, HSBC dan Morgan Stanley.

Idea mereka adalah dengan membina stesen menukar bateri, di mana pemilik kenderaan boleh menukar bateri mereka dengan bateri yang baru hanya dalam masa seminit. Dah tak perlu nak caj bateri kereta yang mungkin mengambil masa beberapa jam.

Walaubagaimanapun, idea ini memakan kos yang sangat tinggi untuk dilaksanakan. Syarikat ini hanya mampu menjual sebanyak 1,000 buah kereta sahaja dan akhirnya telah jatuh muflis pada tahun 2013.

5. Pembuat Panel Solar, Solyndra

Kredit gambar: CBS

Ditubuhkan pada tahun 2005, syarikat ini menjadi terkenal sehingga mendapat perhatian bekas Presiden Barrack Obama sebagai contoh inovasi untuk sumber tenaga yang lebih bersih.

Selain mendapat pinjaman kerajaan sebanyak $535 juta, Solyndra turut menerima pelaburan bernilai $1.2 bilion daripada Redpoint Ventures, US Ventures Partners dan juga George Kaiser.

Namun, perniagaan syarikat ini mula merosot akibat daripada kejatuhan harga komponen panel solar seperti silikon sekitar tahun 2011. Kejatuhan harga silikon ini memberi peluang kepada syarikat pesaing untuk menurunkan harga panel solar mereka.

Solyndra yang tidak dapat bersaing akhirnya memfailkan untuk muflis pada tahun 2011.

Sumber Rujukan: CNBC

Bagi mereka yang terlepas menonton webinar ‘Dari Malaysia Ke Wall Street’ yang lalu, Tuan Mukhriz ada hadiah untuk kita semua. Kalau nak watchlist saham-saham Amerika Syarikat beliau yang mantap, klik sekarang untuk mendapatkannya.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.