8 Kesilapan Untuk Jimat Wang Yang Perlu Anda Elak

Menjimatkan wang semua orang mahu, tetapi kalau tersilap langkah, ia sebenarnya akan hanya membebankan anda. Sebahagian besar kesilapan ini adalah apabila anda cuba menyimpan wang cepat-cepat, atau tidak sedar bahawa kadangkala cara terbaik untuk berjimat adalah dengan berbelanja lebih sedikit hari ini untuk mengelakkan perbelanjaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Berikut ialah 8 kesilapan menjimatkan wang yang perlu anda elak:

1. Membeli Secara Pukal

Ramai orang cuba menjimatkan wang dengan membeli secara pukal. Walaupun kos seunit adalah lebih rendah jika membeli secara pukal, tetapi anda hanya jimat wang jika anda menggunakan kesemua produk yang dibeli. Contohnya, jika anda tidak makan kesemua 10 biji kentang yang dibeli secara pukal sebelum ia menjadi rosak, anda mungkin menghabiskan lebih banyak wang berbanding dengan dengan membeli kentang di kedai runcit dalam kuantiti yang diperlukan sahaja. Lebih parah lagi jika kedai jualan gudang mendorong anda membeli barangan yang tidak diperlukan bersama dengan pembelian pukal.

2. Membeli Terlalu Banyak Di Kedai RM1, RM2 Atau RM5

Pembelian di kedai ini mungkin boleh mengakibatkan pembaziran wang, bukannya penjimatan. Walaupun harganya murah, beberapa barang mungkin telah luput atau hampir luput, bahkan ada yang tidak selamat. Terdapat juga barang yang rosak dan boleh membahayakan kediaman anda, menyebabkan kebakaran, atau mudah pecah. Periksa dengan teliti apabila melakukan sebarang pembelian di kedai sebegini untuk memastikan item atau barang tersebut selamat, tidak luput dan tahan lama.

3. Makanan Segera Atau Fast Food

Walaupun harga makanan segera tentunya lebih murah berbanding kebanyakan restoran yang lain, tetapi jika makanan segera menjadi kebiasaan anda dalam jangka panjang, ini akan menyebabkan peningkatan risiko obesiti dan penyakit yang berkaitan dengan diet tinggi lemak. Walaupun kebanyakan orang pada akhirnya akan berdepan dengan masalah kos perubatan, tetapi perbelanjaan perubatan bagi mereka yang mengalami masalah obesiti adalah jauh lebih tinggi daripada mereka yang mempunyai berat badan yang sihat.

P/s – Fast food sekarang pun dah mahal.

4. Beli Satu Percuma Satu Dan Promosi Yang Seumpamanya

Perniagaan menjalankan promosi hanya dengan satu tujuan: untuk membuat anda membeli produk mereka. Ini perlu sentiasa diingat ketika melihat tawaran promosi. Membeli ketika promosi atau potongan harga untuk barang yang biasanya tidak dibeli atau digunakan mungkin akan hanya membebankan anda, bukan menjimatkan wang. Paling utama, elakkan promosi yang memerlukan pendaftaran dengan caj berterusan atau yuran keahlian setelah tempoh promosi berakhir. Ramai orang lupa untuk membatalkan keahlian mereka setelah tamat tempoh percubaan.

5. Terlalu Banyak Buat D.I.Y.

Dalam keadaan atau situasi tertentu, orang yang tidak berpengalaman akan melakukan kesilapan yang akhirnya memerlukan wang yang banyak untuk membetulkan kesilapan tersebut. Sebagai contoh, elakkan memasang kepala paip sendiri kecuali jika anda memang mempunyai cukup ilmu tentang pemasangan paip. Tambahan pula, sesetengah penyedia perkhidmatan sekarang ini begitu cekap sehingga kos mengupah mereka berbanding dengan kos membeli minyak dan penapis minyak anda sendiri, misalnya, adalah lebih kurang sama. Itu belum lagi mengambil kira kos masa yang lebih panjang untuk melakukannya sendiri.

6. Mengabaikan Penyelenggaraan Kereta Yang Penting Dan Utama

Sekiranya anda memiliki kereta, mengurangkan penyelenggaraan berkala pada kereta anda akan mengakibatkan kos jangka panjang yang lebih tinggi. Anda boleh sahaja gunakan minyak yang paling murah, tetapi jangan sesekali ‘skip’ pertukaran minyak enjin anda. Jangan menangguhkan atau mengelak daripada membeli tayar baru jika perlu, kerana tayar botak sangat berbahaya dan boleh menyebabkan anda hilang kawalan ketika memandu.

7. Berbelanja Tanpa Mengambil Kira Sama Ada Ia Keperluan Atau Kehendak

Adakalanya kita berbelanja mengikut kemahuan hati dan memberi justifikasi bahawa kita mampu, apatah lagi bila ada tawaran promosi. Kita fikir kita telah berjimat. Sebenanrnya untuk benar-benar berjimat, kita harus menentukan dahulu sama ada pembelian itu satu keperluan atau kehendak. Contohnya, telefon bimbit. Ia satu keperluan, tetapi membeli telefon kerana mengikut jenama dan trend adakah satu keperluan atau kehendak? Oleh itu, untuk benar-benar berjimat, kurangkan pembelian mengikut kehendak. Sebaliknya, rancanglah perbelanjaan berdasarkan keperluan.

8. Membeli Barang Terpakai

Walaupun membeli barang terpakai sering menjadi kaedah yang baik untuk menjimatkan wang, tetapi harga yang lebih murah bukanlah pilihan terbaik jika anda tidak tahu menilai keadaan barang dengan betul. Contohnya, membeli kereta terpakai yang telah diperiksa oleh seorang penilai profesional ialah idea yang baik, manakala membeli kereta terpakai daripada pemilik yang tiada cara untuk menilai keadaan kereta tersebut ialah idea yang tidak baik. Semasa membeli barang terpakai, pastikan anda berurusan dengan peniaga atau pemilik yang mempunyai reputasi yang baik, atau pastikan terdapat cara untuk mengetahui kualiti barang tersebut.

Itu dia 8 kesilapan untuk jimat wang yang ramai tidak perasan. Niat yang baik untuk berjimat tidak semestinya menjadi tanpa ilmu dan kesedaran pengurusan kewangan yang betul. AKPK membantu individu isi rumah mahupun peniaga PKS untuk mengurus kewangan mereka secara berhemat. Untuk sebarang pertanyaan tentang perkhidmatan AKPK seperti program pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan atau program pengurusan kredit, sila isikan dan hantar borang dalam talian di https://services.akpk.org.my untuk anda dihubungi oleh pegawai AKPK.

AKPK Sahabat Kewangan Anda.

Baca juga:

Ramai sangat give up dalam saham. Kawan-kawan kami pun ramai dah give up.

Tapi kenapa give up?

Sebab kita sibuk mencari rahsia, teknik, indikator dan terlalu cepat nak kaya.

Bila dah rugi, mulalah salahkan cikgu, mentor, sifu yang ajar kita.

Tak perlu complicated sangat.
Dan tak perlu pun trade saham hari-hari. Cukup sebulan sekali. Yang penting kita tahu caranya dan aplikasikan dengan betul.

Kami suka kongsikan kaedah Swing ini sebab:

  • Kita tak perlu melekat di screen
  • Kita boleh bekerja seperti biasa
  • Kurang risiko untuk rugi
  • Set siap-siap bila nak jual saham tu
  • Kurang stress

Kami akan kongsikan step by step cara guna strategi Swing dalam saham.

Webinar Swing Trading Intensif

• 9 – 10 Sept 2023, Sabtu – Ahad
• 9.00 pagi – 5.00 petang
• Melalui ZOOM

Daftar di sini: https://thekapital.my/swing

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.