Pembiayaan Kewangan PKS

Adakah seorang usahawan perlu mendapatkan pembiayaan bagi perniagaannya? Jawapannya adalah perlu sekiranya untuk membantu atau mengekalkan aktiviti perniagaan, terutamanya untuk menjalankan operasi perniagaan mereka.

Selain daripada bank konvensional yang terdapat di Malaysia, usahawan boleh mencari institusi kewangan lain yang sesuai dengan perniagaan mereka. Antaranya ialah:

1. Institusi Kewangan Perbankan (Banking Financial Institutions)

Contoh institusi kewangan perbankan yang terdapat di Malaysia adalah seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), Bank Pembangunan dan lain-lain lagi.

2. Institusi Kewangan Bukan Perbankan (Non-Banking Financial Institutions)

Terdapat dua contoh institusi kewangan bukan perbankan di Malaysia iaitu Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF). CGC berperanan untuk membantu usahawan mikro dan PKS yang tidak mempunyai cagaran/rekod yang mencukupi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan menyediakan perlindungan jaminan ke atas kemudahan tersebut manakala MIDF bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan kewangan dalam tiga (3) bidang teras perniagaan: perbankan pelaburan, pinjaman/pembiayaan pembangunan perniagaan dan pengurusan aset/dana.

3. Organisasi Pembangunan Usahawan (Entrepreneur Development Organisations)

Terdapat tiga organisasi di bawah Organisasi Pembangunan Usahawan yang terlibat dalam membantu usahawan dalam pembiayaan kewangan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan TEKUN Nasional. Pernas bertanggungjawab dalam membangunkan industri francais dan menambah bilangan usahawan francais melalui kepakarannya dalam menyediakan perkhidmatan dan produk yang berkualiti. Seterusnya, PUNB adalah sebuah perbadanan yang ditubuhkan untuk membantu usahawan PKS berdaya maju dalam bidang keusahawanan. Akhir sekali, TEKUN Nasional berperanan menyediakan kemudahan pinjaman/pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka.

Walau bagaimanapun, sebelum anda membuat permohonan pinjaman/pembiayaan kewangan, pastikan anda mempertimbangkan perkara penting yang berikut. Dari manakah sumber pinjaman/pembiayaan anda? Pastikan pihak pemberi pinjaman/pembiayaan adalah yang berlesen dan berdaftar. Ini adalah kerana terdapat banyak laporan kes penipuan perkhidmatan pinjaman/pembiayaan kewangan, termasuklah yang menggunakan laman media sosial. Elakkan daripada menerima bantuan daripada ah long, iaitu syarikat atau individu yang tidak berlesen dan tidak berdaftar.

Sekiranya anda berhajat untuk membuat pinjaman dengan pihak bank, terdapat beberapa faktor yang perlu anda ambil kira untuk persediaan anda. Kertas kerja pinjaman dan pembiayaan sudah dibuat kemas dan lengkap. Upah konsultan pula mencecah ribuan ringgit. Namun, permohonan pinjaman masih ditolak pihak bank. Jadi, apakah faktor pertimbangan oleh pihak bank yang sebenarnya? Ini 5C yang sering menjadi pertimbangan mereka:

1. Character – Karakter

Bank akan mengkaji sejarah atau skor kredit pemohon yang telah diselaraskan kepada skala umum oleh agensi laporan kredit – sejarah kredit masa lalu. Misalnya, laporan CCRIS anda menunjukkan adakah anda membayar balik pinjaman/pembiayaan mengikut masa yang ditetapkan atau dipersetujui.

2. Capacity – Keupayaan

Bank akan mengkaji penyata aliran tunai syarikat yang lepas untuk mengenal pasti jangkaan jumlah pendapatan yang akan diperolehi daripada operasi perniagaan. Contohnya adalah kiraan Debt Service Ratio (DSR). Formula untuk kiraan DSR ialah Jumlah komitmen pinjaman / Pendapatan bersih (selepas ditolak cukai, KWSP, PERKESO dan lain-lain) x 100. Jawapan anda mesti kurang daripada 50% untuk rekod yang baik manakala anda mendapat lebih daripada 50%, bermakna rekod anda adalah tidak baik.

3. Capital – Modal

Modal untuk permohonan pinjaman/pembiayaan perniagaan sebaiknya mengandungi pelaburan peribadi ke dalam syarikat, perolehan tertahan (retained earnings), dan aset-aset lain yang dikawal oleh pemilik perniagaan.

4. Conditions – Tujuan

Pemberi pinjaman/pembiayaan perniagaan akan mengkaji keadaan seperti kekuatan dan kelemahan keseluruhan ekonomi syarikat dan tujuan pinjaman/pembiayaan termasuklah pelan semasa, masa hadapan dan sandaran (backup) untuk mengekalkan perniagaan semasa jika menghadapi perubahan ekonomi dan sama ada sektor perniagaan anda berada di bawah industri Berisiko Tinggi, contohnya seperti sektor pembinaan, kedai telefon dan lain- lain.

5. Collateral – Cagaran

Peminjam perniagaan mungkin menggunakan peralatan atau akaun belum terima, sebagai contoh hasil jualan ansuran seperti melalui kad kredit sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman/pembiayaan, sementara penghutang individu pula biasanya meletakkan simpanan, pengangkutan atau rumah sebagai cagaran. Oleh itu, pemberi pinjaman/pembiayaan perniagaan akan melihat jenis keselamatan aset yang menjamin pembayaran balik seperti harta, peralatan besar/aset tetap/mesin dan sebagainya.

Jadi, berapa banyakkah C yang anda ada setakat ini?

Sebagai seorang usahawan, ilmu untuk membuat pinjaman/pembiayaan sangat penting agar anda tahu apa yang dilihat oleh institusi kewangan untuk meluluskan pinjaman/pembiayaan anda. Malah, anda juga akan mengetahui punca mengapa dan kenapa pinjaman anda tidak diluluskan oleh pihak bank. Kesimpulannya, penyata kewangan adalah amat penting bagi memperlihatkan keadaan kewangan dan prestasi sesebuah perniagaan. Hal ini adalah kerana ia menentukan tahap kesihatan kewangan perniagaan tersebut, malah menjadi tunjang utama untuk mendapatkan pinjaman/pembiayaan daripada pelbagai institusi kewangan.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan AKPK, pihak AKPK menyediakan perkhidmatan Pendidikan Kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh semua individu isi rumah mahupun Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). Perkhidmatan ini boleh diakses daripada laman web power.akpk.org.my yang menyediakan pelbagai modul pendidikan kewangan serta laman web ask.akpk.org.my untuk pelbagai bahan pembelajaran kewangan— semuanya tersedia secara dalam talian. Kami juga mengalu-alukan mana-mana organisasi yang berhasrat menjemput kami untuk memberikan taklimat pengurusan kewangan kepada kakitangan mereka.

Selain itu, AKPK juga memberikan khidmat nasihat kewangan kepada mereka yang menghadapi masalah dalam bayaran balik pinjaman serta menawarkan bantuan melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu, dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) untuk PKS dan perusahaan mikro. Melalui program dan skim ini, AKPK membantu untuk membuat rundingan dengan pihak bank atau pemberi kredit untuk menstrukturkan semula bayaran balik pinjaman dan merumuskan satu pelan bayaran balik pinjaman/pembiayaan baharu mengikut kemampuan semasa peminjam/pelanggan.

Jika anda memerlukan pelan penyelesaian pengurusan kewangan yang holistik, dapatkan terus daripada AKPK SECARA PERCUMA—TANPA EJEN. Layari services.akpk.org.my untuk mengakses perkhidmatan AKPK dengan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.

Semua khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit kami adalah percuma dan kami tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga untuk berurusan bagi pihak kami. Berhubunglah terus dengan AKPK dan jangan terpedaya dengan panggilan atau tawaran pihak ketiga yang mendakwa sebagai kakitangan AKPK atau menawarkan perkhidmatan dengan bayaran/caj tambahan.

Untuk sebarang maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada semua perkhidmatan AKPK, anda juga boleh melayari laman media sosial rasmi AKPK, iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram, Twitter dan terbaharu di LinkedIn dan TikTok. #AKPKSahabatKewanganAnda

Previous ArticleNext Article

Pengambilalihan MASwings: Tiada Kesan Kewangan Terhadap MAG

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Pengambilalihan MASwings oleh kerajaan negeri Sarawak tidak akan memberi sebarang kesan kewangan terhadap penyata untung rugi (P&L) Malaysian Aviation Group (MAG).

Pengarah Urusannya, Datuk Kapten Izham Ismail berkata MASwings bukanlah sebuah syarikat yang menjana keuntungan tetapi organisasi kewajipan perkhidmatan awam.

“Bagi kami ia adalah “zero-sum game”. Pada tahap tertentu, pengambilalihan ini menyelesaikan cabaran MAG untuk menguruskan MASwings dan merupakan langkah ke hadapan,” katanya semasa taklimat media mengenai Prestasi Tahunan MAG 2024 hari ini.

Zero sum game bermaksud keuntungan hanya menyebelahi satu pihak.

MAG menandatangani perjanjian jual beli dengan kerajaan Sarawak untuk memuktamdkan pemindahan hak milik MASwings pada 12 Februari, 2025.

Kerajaan Sarawak berhasrat untuk menjenamakan semula MASwings sebagai AirBorneo dan mengendalikannya sebagai syarikat penerbangan milik kerajaan negeri.

Izham berkata walaupun syarikat penerbangan itu tidak menjana keuntungan, ia menerima insentif tahunan kerajaan.

“Apa yang kami peroleh daripada MASwings hanyalah dalam bentuk insentif sahaja dengan nilai kira-kira RM10 juta setahun. Secara bulanan atau harian, ia adalah bersifat ‘zero-sum game’. Kami tidak mengalami kerugian, pada masa sama tidak meraih keuntungan,” katanya.

Izham berkata MASwings beroperasi untuk memastikan hubungan luar bandar (pengangkutan udara) di bawah kewajipan perkhidmatan awam diberi mandat oleh kerajaan.

“Justeru, tiada kesan kepada P&L. Ia adalah zero-sum game. Anda mungkin bertanya mengapa kami menggunakan MASwings selama ini. Ini kerana kewajipan perkhidmatan awam Perkhidmatan Udara Luar Bandar,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa MASwings telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembinaan negara, ia adalah tanggungjawab MAG untuk memastikan bandar dan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak kekal terhubung.

— BERNAMA