ASNB Umum Agihan Pendapatan 5.50 Sen Seunit Untuk ASB 2 Dan 5.00 Sen Seunit Untuk ASM

  • Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan untuk dua dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.
  • Bagi tempoh yang sama, ASM turut mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.45 bilion, iaitu bersamaan 5.00 sen seunit kepada 740,513 pemegang unit. Pulangan sebanyak 5.00% ini mengatasi penanda aras yang sama sebanyak 244 bps.
  • ASB 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM0.73 bilion yang memanfaatkan 614,309 pemegang unit. Pulangan sebanyak 5.50% ini mengatasi penanda aras pulangan 2.56% yang dicatatkan oleh Deposit Tetap 12-bulan Maybank sebanyak 294 mata asas (bps).

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan pembayaran agihan pendapatan berjumlah RM2.18 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

Walaupun berdepan persekitaran pasaran modal global yang mencabar ekoran ketegangan tarif, inflasi yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi, pengagihan pendapatan bagi ASB 2 sebanyak 5.50 sen seunit dan ASM sebanyak 5.00 sen seunit mencatat peningkatan sebanyak 0.25 sen seunit berbanding tahun lalu. Dana-dana ini juga telah menunjukkan peningkatan progresif sepanjang tiga tahun lalu, mencerminkan komitmen PNB untuk meningkatkan pulangan dan memperkukuh daya tahan portfolio.

Prestasi kukuh kedua-dua dana harga tetap ini didorong oleh pulangan ekuiti domestik dan global yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan merentasi geografi dan kelas aset. Melangkah ke hadapan, PNB akan terus memperluaskan kepelbagaian aset, terutamanya dalam pendapatan tetap, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan konsisten.

Pengiraan Pengagihan Pendapatan dan Penangguhan Urus Niaga Dana

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana. Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2025.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di cawangan-cawangan dan ejen-ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 28 hingga 31 Mac 2025 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan. Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 April 2025, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 2 April 2025 (Tertakluk pada perubahan Hari Raya Aidilfitri).


  • Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2)

ASB 2 adalah dana unit amanah harga tetap yang dilancarkan pada 2 April 2014. Ia merupakan danaaset campuran yang sesuai untuk pelabur Bumiputera yang memahami pulangan dan risiko pelaburan, serta mencari dana dengan potensi pulangan tahunan.

  • Amanah Saham Malaysia (ASM)

ASM adalah dana unit amanah harga tetap yang dilancarkan pada 20 April 2000. Ia merupakan dana aset campuran yang sesuai untuk pelabur yang memahami pulangan dan risiko pelaburan serta mengharapkan manfaat daripada pertumbuhan jangka panjang dana hasil pelaburan semula pengagihan pendapatan (sekiranya ada) dan penerimaan pendapatan (sekiranya ada) ke atas pelaburan mereka.

Previous ArticleNext Article

Gamuda: Limpahan Peluang Daripada Perjanjian Baharu

Saranan BELI kekal dengan harga sasar (TP) baharu mencecah MYR6.11 daripada MYR6.19, potensi kenaikan harga saham 47% dan kadar hasil dividen 2% untuk FY27F (Jul).

Khazanah Air Perak (KAP), sebuah usaha sama (JV) dengan pembahagian 50:50 yang terdiri daripada Gamuda dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), memeterai perjanjian bekalan air pukal (BWSA) dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang merangkumi pembelian air yang dirawat daripada bekalan air mentah berlebihan bawah Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS). BWSA ialah sebuah perjanjian bekalan air dirawat untuk tempoh 40 tahun yang menguruskan penjualan air dirawat kepada PBAPP mulai 31 Mac 2032.

Imbasan semula berkenaan NPWSS

NPWSS direka untuk memindahkan 1,500j liter air mentah sehari (MLD) dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah – dengan air mentah sebanyak 500MLD diperuntukkan kepada keperluan saliran segera bagi kawasan Perak Utara. Sementara itu, baki 1,000MLD pula bertujuan memenuhi permintaan air tempatan dan perindustrian Perak, termasuklah bekalan air dirawat kepada Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian, dengan lebihan bekalan yang ada digunakan untuk penjualan air dirawat kepada Pulau Pinang.

Bawah BWSA ini

PBAPP terikat untuk membuat pembelian minimum sebanyak 300MLD dan sehingga 500MLD (iaitu kapasiti maksimum bagi reka bentuk loji rawatan air ini). Jumlah caj kapasiti tahunan yang perlu dibayar oleh PBAPP bawah BWSA ini ialah MYR210j (atau MYR105j untuk pegangan GAM) yang diperoleh daripada kadar caj kapasiti berlingkungan antara MYR1.1507 hingga MYR1.9178 bagi setiap meter padu air dirawat untuk jumlah bekalan antara 300-500MLD.

Sementara itu, caj bermula pada MYR1.70 bagi setiap meter padu (tertakluk pada kenaikan 11.75% setiap tiga tahun) dengan perubahan pada pelepasan kenaikan kos bahan kimia dan elektrik yang dihadkan pada 4% setahun, di samping sebarang kos luar jangka di luar kawalan KAP. Pengesahan perjanjian muktamad antara KAP dan Kerajaan Perak disasarkan selewat-lewatnya pada 30 November.

GAM meraih dua peluang keemasan

Menerusi KAP, GAM akan mengiktiraf 50% daripada hasil berulang tersebut (dianggarkan mencecah kira-kira MYR250j dan margin PBT diandaikan lebih kurang 10% untuk pegangannya pada CY32) daripada NPWSS pada peringkat pemaju. Tambahan itu, KAP, sebagai pemilik projek NPWSS, mungkin akan melantik GAM sebagai kontraktor siap guna. Jumlah nilai pembangunan untuk NPWSS dianggarkan bernilai MYR5bn pada Jul 2025 tetapi tawaran kerja EPCC berkaitan NPWSS mungkin diterima kemudian.

Tiada pindaan dibuat pada anggaran perolehan kami

Jualan air yang dirawat akan bermula pada CY32, iaitu melepasi tempoh ramalan semasa kami. Namun begitu, kami mengambil peluang ini untuk memperhalusi andaian kami sebelum ini dalam penilaian SOP untuk NPWSS, memandangkan butiran terkini tentang BWSA yang merangkumi kenaikan 11.75% pada tarif asas MYR1.70 setiap meter padu untuk setiap tiga tahun, selain pelepasan kenaikan kos untuk bahan kimia dan elektrik, antara lainnya. Dengan itu, kami memperoleh TP baharu melalui kaedah SOP sebanyak MYR6.11 (daripada MYR6.19), yang memasukkan premium ESG 8% berdasarkan markah ESG-nya sebanyak 3.4. Risiko utama termasuk tempoh kos input tinggi yang berlarutan lamanya.

Asas penilaian

Kami menilai kumpulan ini berdasarkan SOP, yang diperoleh melalui gabungan kaedah penilaian P/E, DCF, dan RNAV.

Faktor pemacu utama

Perolehan Gamuda diperkukuh oleh pesanan pembinaan dan jualan hartanah.

Risiko utama

Kos input mahal yang berlarutan dengan lamanya.

Profil Syarikat

Gamuda sebuah syarikat pemegang pelaburan dan pembinaan kejuruteraan sivil. Melalui anak syarikatnya, Gamuda menyediakan pembinaan kerja tanah, mengilang dan membekalkan bahan permukaan jalan
raya, dan mengendalikan sebuah kuari dan projek pembinaan jalan raya.

Carta Saranan

Penganalisis
Adam Bin Mohamed Rahim +603 2302 8101 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.