7 Tips Berniaga ‘Style’ Orang Kelantan

Perasan tak kebanyakan usahawan yang berjaya di Malaysia, berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang? Dato’ Seri Dr. Hajah Vida (Qu Puteh), Noor Neelofa (Naelofar), Datin Maziah Mohamed (Almas Beauty), Faziani Rohban (Dnars Skincare) dan ramai lagi berasal dari Kelantan.

Jadi apa agaknya rahsia orang Kelantan sehingga ramai di antara mereka berjaya menjadi ahli perniagaan terkemuka?

1. Bijak Mencari Peluang

Mereka bijak menggunakan peluang yang ada. Sebagai contoh jika mereka ingin memulakan perniagaan, mereka akan mencari tempat yang menjadi tumpuan para peniaga dan juga pengguna.

Mereka juga mengelak untuk menjual barangan yang sama dengan peniaga lain. Ini sekaligus dapat mengelakkan persaingan.

2. Sepakat

Jika mereka berniaga di bazar atau kedai bebas cukai, mereka akan bersepakat dalam menentukan harga barangan yang mereka jual agar sama di antara satu kedai dengan kedai yang lain. Jika harga jersi di kedai ini RM10 begitu juga di kedai lain.        

Kalau pelanggan inginkan sesuatu barang dan kedai mereka kehabisan stok, mereka sanggup membeli stok di kedai lain untuk kepuasan hati pelanggan. Kiranya dua dalam satu.

Selain dapat pelanggan, mereka juga dapat membantu jualan rakan-rakan perniagaan mereka.

3. Memiliki Cash Flow Yang Tinggi

Kalau nak tahu, orang Kelantan lebih gemar menjalankan urus niaga secara tunai berbanding dengan menggunakan kredit. Masalah hutang bukan sahaja dapat dielakkan, hasil keuntungan daripada jual beli tunai ini juga dapat digunakan sebagai modal pusingan perniagaan.

Sebab inilah kebanyakan perniagaan yang diusahakan orang Kelantan dapat bertahan lama.

4. Penjenamaan (Branding)

Pengusaha dari Kelantan juga gemar memilih nama jenama yang bersifat kemelayuan dan dekat di hati masyarakat. Mereka tidak malu untuk menggunakan dialek negeri di dalam produk mereka.

Sebagai contoh, Budu Cap Ketereh, Keropok Cap Menara dan sebagainya. Mereka bangga dengan asal-usul mereka.

5. Gunakan Bahan Yang Murah Dan Senang Didapati

Mesti kita hairan kenapa harga makanan di negeri Pantai Timur itu masih boleh dijual dengan harga yang murah berbanding dengan negeri-negeri lain bukan? Salah satu faktornya ialah, mereka mudah untuk mendapatkan stok bahan mentah tersebut.    

Kalau stok bahan mentah itu banyak, tentulah sukar untuk pembekal menaikkan harga barang tersebut sesuka hati. Ini bukan sahaja menguntungkan peniaga, tetapi turut menguntungkan kita sebagai pengguna.

6. Minat Yang Mendalam

Mungkin disebabkan dari dahulu lagi masyarakat Kelantan sudah gemar berniaga dan keluar negeri untuk mencari rezeki, lama-kelamaan minat mula yang mendalam mula timbul di kalangan mereka.

Ada yang ingin meneruskan legasi berniaga turun-temurun, ada pula yang memulakan perniagaan setelah puas menimba pengalaman dengan peniaga lain.

7. Sikap

Kalau kita perhatikan, peniaga dari Kelantan ini sentiasa mesra serta tidak lokek dengan senyuman. Rata-rata mereka juga cukup berdisiplin dalam menjalankan perniagaan. Mereka juga gigih dalam melebarkan sayap perniagaan mereka.

Walaupun pada mulanya gagal, tetapi berusahalah sampai berjaya.

Yang Baik Dijadikan Teladan

Apa yang kami kongsikan bukan untuk bersifat bias, tetapi sekadar berkongsi pendapat. Mana tahu anda dapat belajar sesuatu daripada mereka.

Sumber Rujukan: Usahawan.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.