Majikan Akan Terima Insentif Tunai Jika Penuhi Keperluan Dasar Gaji Progresif

KUALA LUMPUR 26 Sept (Bernama) — Majikan akan menerima insentif tunai daripada kerajaan setelah mengemukakan dokumen berkaitan sebagai bukti telah memenuhi keperluan dasar gaji progresif, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. 

Beliau berkata majikan perlu terlebih dahulu menaikkan gaji pekerja dan seterusnya menunjukkan bukti barulah kerajaan boleh membayar insentif kepada mereka.

“Majikan kena naikkan gaji terlebih dahulu, kemudian tunjukkan bukti, baru kita boleh bayar. Bukannya kerajaan akan bagi insentif bulat-bulat. 

“Insentif berbentuk tunai ini penting bagi menggalakkan majikan untuk menyertai dasar ini terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS). 

“Insya-Allah, oleh kerana peruntukan itu ditentukan oleh kerajaan maka ia dapat mengimbangkan beban kewangan kerajaan juga kerana ia akan dilaksanakan atas dasar ‘first come, first serve’,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara, hari ini. 

Inisiatif dasar sistem gaji progresif itu telah diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini. 

Rafizi berkata mana-mana majikan yang memohon dan menepati syarat akan mendapat insentif tersebut tetapi sekiranya kuota itu sudah dipenuhi berdasarkan peruntukan yang diberi kerajaan bagi tahun berkenaan mereka boleh memohon semula pada tahun depan.

Beliau berkata, dasar tersebut juga berkaitan dengan produktiviti kerana pekerja diwajibkan untuk menghadiri latihan peningkatan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif. 

“Untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif itu mereka perlu memenuhi syarat-syarat latihan supaya bukan sahaja meningkatkan bakat dan kebolehpasaran mereka malah boleh membantu mereka meningkatkan produktiviti ditempat kerja.

“Itu akan mengimbangi keperluan gaji yang lebih baik kepada pekerja tetapi juga untuk berlaku adil kepada majikan supaya majikan juga dapat manfaat dari produktiviti yang lebih baik,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ZUS Coffee Raih Pelaburan Bernilai RM250 Juta Untuk Pengembangan Global


KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Rangkaian kopi tempatan yang didayakan teknologi, ZUS Coffee meraih pelaburan bernilai RM250 juta daripada sebuah konsortium yang merangkumi KV Asia Capital, Retirement Fund Inc (KWAP) dan Kapal Api Group.

Ernst & Young Malaysia bertindak sebagai penasihat penggabungan dan pengambialihan untuk transaksi tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini,  ZUS Coffee berkata kerjasama dan pelaburan baharu itu menandakan lembaran baharu serta sebagai sebagai batu loncatan untuk pertumbuhan syarikat. 

ZUS Coffee kini mengendalikan 600 kedai kopi serantau dan terus mengembangkan portfolionya di Malaysia.

“Dengan memanfaatkan ekuiti jenama yang kukuh dan asas pelanggan setia, ZUS Coffee kini memberi tumpuan untuk menjadi jenama antarabangsa. Pada masa ini, ZUS Coffee mengendalikan 50 kedai di Filipina dan menyasar untuk menjadi peneraju pasaran di sana dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pelancaran pasaran akan datang, Singapura dan Brunei dirancang antara September dan akhir tahun,” kata syarikat itu.

ZUS Coffee juga giat mencari bakal rakan kongsi lain dalam pasaran antarabangsa dan menjangka mampu menjangkau lebih ramai pelanggan merentasi geografi baharu pada 2025.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ian Chua yang teruja dengan pelaburan dan kerjasama baharu itu berkata syarikat berharap untuk terus memperkukuh rancangan pengembangan antarabangsanya.  

“Kerjasama ini bukan sahaja akan mengembangkan perniagaan teras kopi kami tetapi juga menyokong kemasukan kami dalam pasaran barangan pengguna cepat laris (FMCG),” katanya.

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP Hazman Hilmi Sallahuddin berkata dana persaraan itu berbangga untuk bekerjasama dengan KV Asia Capital (firma ekuiti persendirian bertumpu Asia Tenggara) dan Kapal Api Group untuk menyokong fasa pertumbuhan ZUS Coffee yang seterusnya.

“Di peringkat tempatan, tumpuan kami adalah untuk membantu ZUS Coffee mengukuhkan kehadirannya melalui rangkaian kedai yang diperluas dan menyumbang kepada komuniti melalui penciptaan pekerjaan dan inisiatif tempatan.

“Sementara di peringkat antarabangsa, kami teruja untuk membantu jenama itu dalam mengembangkan jejak globalnya, meningkatkan lagi ZUS Coffee dan Malaysia di persada dunia,” katanya.

— BERNAMA