TM Cadang Penyusunan Semula Dalaman Gabungkan Perniagaan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Telekom Malaysia Bhd (TM) telah mencadangkan penyusunan semula di peringkat dalaman yang melibatkan pemindahan perniagaannya di Malaysia kepada entiti operasi tunggal yang dinamakan sebagai TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya penyusunan semula itu dijangka selesai pada 31 Dis 2023.

TM berkata 11 anak syarikat yang terlibat ialah Cybermall Sdn Bhd, Mobikom Sdn Bhd, Telekom Applied Business Sdn Bhd, Telekom Enterprise Sdn Bhd, Telekom Multi-Media Sdn Bhd, Telekom Sales and Services Sdn Bhd, Telekom Technology Sdn Bhd, TM Info-Media Sdn Bhd, TM Net Sdn Bhd, VADS Bhd, dan VADS Lyfe Sdn Bhd.

Menurutnya, di bawah perjanjian penggabungan bersyarat itu, semua aset dan liabiliti dikenal pasti akan dipindahkan dan diberikan hak kepada TM Tech berkuat kuasa pada dan mulai 1 Mac 2023, atau tarikh yang mungkin dipersetujui bersama oleh pemindah dan TM Tech serta seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

TM berkata, sebagai sebahagian daripada cadangan penyusunan semula dalaman itu, pemindah terpilih akan dibubarkan pada 31 Dis 2023 melainkan TM dan VADS yang tidak akan dibubarkan.

Menurutnya, harga belian perlu dibayar untuk pemindahan dan pemberian hak bagi aset dan liabiliti dikenal pasti oleh pemindah kepada TM Tech adalah jumlah nilai buku bagi aset yang dikenal pasti ditolak dengan jumlah nilai buku bagi liabiliti yang dikenal pasti ketika perniagaan pemindah ditutup pada hari terakhir perniagaan sebelum tarikh pemberian hak.

TM dalam satu kenyataan berkata penyusunan semula itu yang melibatkan Unifi, TM One dan TM Wholesale, antara lain menandakan fasa seterusnya transformasi kumpulan untuk tampil sebagai pengupaya digital Malaysia dan meningkatkan lagi kecekapan operasi, memperkemas proses serta memudahkan titik sentuh pelanggan untuk pengalaman yang lebih lancar.

“Penggabungan pelbagai perniagaan di bawah TM Tech akan mengukuhkan lagi kepimpinan konvergen mudah alih tetap TM, menawarkan jalur lebar tetap bersepadu, perkhidmatan mudah alih, perkhidmatan data, kandungan digital dan penyelesaian inovatif kepada masyarakat, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Imri Mokhtar, memandangkan gaya hidup digital, persaingan yang meningkat dan jangkaan pihak berkepentingan akan menambah baik industri, justeru, penggabungan perniagaan ini kepada satu entiti operasi akan membolehkan TM menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelbagai segmen pelanggan serta menyediakan keperluan pelanggan dengan lebih cepat.

“Menyatukan kesalinghubungan dan tawaran digital kami juga akan membolehkan kami memilih gabungan penyelesaian yang sesuai untuk memenuhi keperluan unik gaya hidup individu dan perniagaan.

“Selain itu, penyusunan semula ini meletakkan kami kepada amalan terbaik industri dan akan meningkatkan kelebihan daya saing TM dalam kalangan syarikat telekomunikasi Malaysia dan antarabangsa serta peserta digital berikutan kami terus memburu aspirasi untuk muncul sebagai syarikat teknologi berpaksikan manusia,” katanya.

Menurut TM, menerusi TM Tech, pelanggan akan terus menikmati kesalinghubungan dan kandungan digital semua dalam satu yang terpantas dan meluas manakala perusahaan dan sektor awam akan menerima manfaat daripada penyelesaian pintar dan digital TM termasuk pusat data dan awan, keselamatan siber serta tawaran industri pintar.

Entiti pengoperasian ini juga akan terus memperjuangkan usaha pembangunan negara TM dalam memperluas dan memodenkan rangkaian fiber negara, pusat data dan sistem kabel dasar laut, katanya.

TM Tech akan diketuai oleh pasukan pengurusan kanan TM yang sedia ada dan akan menghimpunkan pelbagai bakat di bawah satu syarikat, mendorong ketangkasan yang lebih baik dan kerjasama merentas fungsi untuk menambah baik kualiti perkhidmatan.

“Kakitangan TM akan kekal sebagai enjin pelaksanaan bagi TM dan transformasi digital negara. Walaupun tenaga kerja kami akan disusun semula kepada entiti operasi tunggal ini, peranan pekerja, kelayakan dan manfaat yang diberikan adalah tidak berubah,” kata Imri.

TM berkata semua perjanjian perkongsian, vendor dan perkhidmatan TM akan kekal seperti biasa

“Kini, Telekom Malaysia Bhd akan berfungsi sebagai syarikat pemegang pelaburan bagi entiti operasi ini dengan semua anak syarikat dalam kumpulan akan kekal status quo (dalam kedudukan asal).

“Di luar pertumbuhan TM, penyusunan semula ini mengukuhkan lagi peranan kami untuk meningkatkan transformasi digital negara dan memberikan perkhidmatan lebih kukuh kepada pelanggan.

“Walaupun ia menandakan kejayaan penting baharu dalam transformasi kami yang berterusan, kami akan tetap berpegang teguh kepada matlamat untuk membolehkan keterangkuman digital, peluang dan kemajuan untuk semua,” katanya.

— BERNAMA

TAG: Telekom Malaysia, TM Tech, penyusunan semula dalaman, Unifi, telekomunikasi, Imri Mokhtar

Previous ArticleNext Article

Sasar RM100 Juta Tambahan Untuk Pelanggan, Lonjakkan Ekosistem Digital Malaysia Melalui Kerjasam Tiktok

KUALA LUMPUR, 2025 – [4 DISEMBER 2025] KNKV Group mengegarkan ekosistem digital yang kini berada di garisan hadapan pemula bagi melonjakkan nilai jualan pelanggan mereka dengan sasaran ambisius RM100 juta, selarasnya pelantikan rasmi syarikat mereka sebagai TikTok Affiliate Partner.

Pengumuman strategik ini dibuat di hadapan YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, semasa forum strategi korporat elit ‘Digital & Al: Business War 2026’. Pelancaran ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu signal bahawa KNKV Group telah merangka strategi khusus untuk membolehkan pengasas syarikat dan jenama tempatan mendominasi pasaran digital.

Strategi KNKV Group: Menukar Exposure Menjadi Keuntungan Jutaan
KNKV Group mendedahkan bahawa kerjasama eksklusif dengan TikTok ini akan dimanfaatkan melalui strategi yang dirangka khas, bertujuan untuk mengubah kehadiran creator based di TikTok menjadi saluran jualan berkesan tinggi.

“Diiktiraf sebagai TikTok Affiliate Partner adalah ‘lesen’ untuk kami mempercepatkan kejayaan pelanggan kami. Kami bukan sekadar berbangga; kami mempunyai strategi. Kami menyasarkan sekurang-kurangnya RM100 juta jualan tambahan diraih oleh pelanggan KNKV Group menerusi perlantikan ini, melalui modul dan sokongan Affiliate coaching yang direka khusus. Ini adalah permulaan era di mana jualan creator-based menjadi penyumbang utama pendapatan syarikat.” Professor (Adj) Hj. Adam Richman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group.

Dengan sasaran jualan dijangka lima kali ganda, KNKV Group menawarkan peluang emas kepada syarikat yang ingin menguasai naratif dan trafik di platform TikTok untuk mencapai pertumbuhan yang agresif pada tahun 2026.

Panel Wawasan Eksklusif: Rahsia Di Sebalik Peningkatan Jualan
Forum ‘Business War 2026’ menjadi pentas utama bagi pelancaran ini, yang turut menampilkan panel diskusi yang sarat wawasan bertajuk “Driving Business Success on TikTok.”

  • YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital
  • Professor (Adj) Hj. Adam Richman, CEO Kumpulan KNKV Group
  • Datuk Seri Dr. Zurainah Musa, Penaung Muslim Insiders Chamber of Commerce
  • Ms. Lee Shin Mei, COO, CTOS Data Systems Sdn. Bhd.

Para pengasas berpeluang mendapatkan wawasan langsung mengenai strategi pelaksanaan dan inovasi digital yang diperlukan untuk melonjakkan nilai perniagaan mereka dalam ekonomi digital 2026 yang pantas berubah.

Pelancaran KNKV Group sebagai Tik Tok Affiliate Partner
Salah satu pencapaian utama acara ini ialah pelancaran rasmi KNKV Group sebagai Tik Tok Affiliate Partner, disaksikan oleh YB Menteri Digital menandakan satu era baharu dalam ekosistem perdagangan digital Malaysia serta mengukuhkan komitmen negara untuk menyokong pertumbuhan berasaskan pencipta platform.

Mengenai Business War 2026
Forum ini juga adalah anjuran Muslim Insiders Chamber of Commerce dan KNKV Group, direka sebagai simulasi pertempuran strategi korporat, membekalkan peserta dengan pengetahuan taktikal sebenar dalam Strategi Persaingan, Pemasaran Berasaskan Al, dan Taktik Pertumbuhan Digital untuk memastikan perniagaan mereka bukan sahaja bertahan, tetapi menguasai pasaran. KNKV Group turut berganding bahu dengan rakan strategiknya, CTOS Data Systems Sdn. Bhd., Dynads Academy, Droplets of Mercy dan Universiti Malaysia Kelantan.