Cepat Buat 11 Perkara Ini Sebelum 31 Disember 2022 Dan ‘Claim’ Tahun Depan

Kepada adik-adik yang baru mula kerja ataupun yang dah naik gaji tahun 2022 ini, tahniah kami ucapkan. Jika gaji dalam setahun adalah RM 37,333 ataupun agak-agak dalam RM3,1111 sebulan (lepas tolak KWSP), kalian mesti isytiharkan pendapatan kepada LHDN.

Eh sekejap, tahu atau tidak yang kita perlu menghantar Borang Nyata (BN) kepada LHDN pada atau sebelum 30 April setiap tahun (30 Jun bagi mereka yang menjalankan perniagaan). Ini telah lama ditulis dalam Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Apa denda jika kita gagal menghantar borang cukai? Dendanya adalah RM200.00 hingga RM20,000 / Penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya. Jadi lebih baik jangan cari pasal.

Jika nak mengurangkan bayaran cukai (jika kena bayar), benda yang perlu diberi perhatian adalah berkenaan pelepasan cukai. Lebih banyak pelepasan kita dapat, maka makin sedikit cukai yang kena dibayar. Silap haribulan tak perlu bayar langsung.

Jika kalian masih mencari maklumat berkenaan senarai pelepasan cukai pendapatan LHDN bagi e-Filing pada tahun 2023 nanti (tahun taksiran 2022), artikel ini pastinya akan membantu.

Kita dah nak sampai pun ke penghujung tahun. Dengan masa yang berbaki ini, jom kita tengok apa yang boleh dilakukan (belanja) untuk claim sebagai pelepasan cukai.

Kalau nak tahu, ianya terbahagi kepada 3 kategori seperti berikut:

A. Pelepasan Cukai

1. Ibu Bapa

  • Peralatan Menyusu (Terhad RM1,000)

Ini untuk pembayar cukai wanita sahaja. Bagi mereka yang mempunyai anak di bawah umur 2 tahun, ianya boleh dituntut setiap 2 tahun sekali.

  • SSPN (Terhad RM8,000)

Ini adalah jumlah simpanan bersih. (Tabungan bersih adalah jumlah deposit dalam tahun 2022 TOLAK jumlah pengeluaran dalam tahun 2022).

Bermaksud jika awal tahun kita pernah depositkan RM10,000 tetapi tiba-tiba kita ada keluarkan RM7,000, maka kita hanya layak untuk menuntut pelepasan sebanyak RM3,000.

Masih belum terlambat. Jika belum buka akaun SSPN untuk anak, bukalah sekarang secara dalam talian di sspni.sspn.my. Pendeposit perlu membuat deposit minima RM20 untuk pembukaan akaun baharu.

Pelepasan cukai dapat, duit simpanan untuk anak juga ada.

Baca juga Pelaburan SSPN-i: Simpanan Patuh Syariah Untuk Masa Depan Anak Anda

  • Yuran Taman Asuhan / Tadika Berdaftar (Terhad RM3,000)

Ibu bapa yang membayar yuran ke pusat jagaan kanak-kanak berdaftar sebelum ini dibenarkan menuntut sehingga RM2,000. Di bawah pakej rangsangan PENJANA, had ini dinaikkan kepada RM3,000. Tetapi hanya layak bagi mereka yang mempunyai anak di bawah umur 6 tahun dan boleh dituntut oleh salah seorang ibu bapa sahaja.

2. Pendidikan (Terhad RM7,000)

Ianya merupakan yuran pendidikan untuk diri sendiri dan terbahagi kepada dua:

  • Selain daripada Master dan PHD, kursus di dalam bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, vokasional, perindustrian, saintifik atau teknologi
  • Master dan PHD, semua bidang pengajian

Senarai institusi tempatan atau badan profesional di Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan atau diluluskan oleh Menteri Kewangan boleh didapati di laman rasmi Kementerian Pengajian Tinggi di www2.mqa.gov.my

3. Perbelanjaan Perubatan

Diri sendiri, pasangan dan anak-anak (Terhad RM6,000) – bagi penyakit berbahaya, kos rawatan kesuburan untuk diri sendiri atau pasangan.

Contoh:

Dalam tahun 2022, kos rawatan penyakit leukemia yang dihidapi oleh Jasmin berjumlah RM12,000. Daripada jumlah tersebut, Jasmin membayar RM8,000 dan suaminya, Hanapi membayar bakinya sebanyak RM4,000 dan resit berasingan telah dikeluarkan atas nama Jasmin dan Hanapi.

Jasmin dibenarkan potongan bagi perbelanjaan perubatan yang dibayar olehnya tetapi terhad kepada RM6,000 sementara Hanapi dibenarkan potongan sebanyak RM4,000 yang dibayar olehnya untuk rawatan penyakit serius isterinya.

Pemeriksaan kesihatan penuh (Terhad RM1,000)

Pemeriksaan perubatan penuh termasuk-
(a) pemeriksaan fizikal seperti pemeriksaan mata, telinga, hidung, kerongkong, leher, dada, jantung, payudara, abdomen, tangan, kaki, pemeriksaan berat badan, tekanan darah;
(b) pemeriksaan x-ray;
(c) ujian darah dan ujian urin; dan
(d) perbincangan dengan pakar perubatan yang menjalankan pemeriksaan berhubung dengan hasil pemeriksaan.

Kalau kita sekadar membuat pemeriksaan x-ray dan ujian darah (bukan full medical checkup), kita tidak layak untuk menuntut perbelanjaan tersebut.

Seeloknya setiap tahun kita perlu menjadikan pemeriksaan kesihatan penuh ini sebagai rutin, terutamanya yang sudah berumur 40 tahun ke atas. Jika belum buat lagi tahun ni, cepat-cepat buat temujanji ke klinik atau hospital untuk jalani pemeriksaan.

Berdasarkan bajet 2022, skop ini telah diperluaskan untuk menampung kos perkhidmatan kesihatan mental. Ini termasuk perkhidmatan pemeriksaan atau perundingan yang berkaitan dengan kesihatan mental daripada pakar psikiatri, pakar psikologi dan kaunselor berdaftar.

Rawatan perubatan / penjagaan ibu bapa (Terhad RM8,000)

Ibu bapa merujuk kepada ibu bapa kandung atau ibu bapa angkat jika individu itu adalah seorang anak angkat. Jika ada dalam keluarga adik beradik kita yang telah menuntut RM8,000 maka kita tak boleh nak tuntut.

Perbelanjaan rawatan perubatan ibu bapa yang layak untuk potongan termasuk-
(a) rawatan perubatan dan perkhidmatan penjagaan yang disediakan oleh rumah penjagaan; dan
(b) rawatan pergigian yang dihadkan kepada mencabut gigi, menampal gigi dan membersihkan karang gigi tetapi tidak termasuk rawatan kosmetik seperti menggantikan dan membaik pulih gigi yang melibatkan penyatuan, root canal dan gigi palsu.

4. Gaya Hidup

Pembelian bahan-bahan bacaan, komputer peribadi, telefon pintar / tablet, peralatan sukan, langganan Internet, keahlian gimnasium (Terhad RM2,500).

Pembelian peralatan sukan untuk mana-mana aktiviti sukan seperti yang didefinisikan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 termasuk pembelian basikal (tidak terpakai kepada jenis basikal bermotor) dan bayaran keahlian gimnasium untuk kegunaan dan manfaat diri sendiri, pasangan atau anak (tidak termasuk keahlian kelab yang menyediakan kemudahan gimnasium);

Suka kami ingatkan yang kasut sukan adalah kategori pakaian sukan, bukan peralatan sukan.

Jangan rasa kecewa sangat jika sudah terbeli kasut Nike, Adidas, Puma yang mahal-mahal tu tetapi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

TAMBAHAN gaya hidup (RM2,500) untuk pembelian komputer peribadi, telefon pintar dan tablet untuk kegunaan / manfaat diri sendiri, suami / isteri atau anak dan bukan untuk kegunaan perniagaan dilanjutkan buat kali kedua, dari 31 Disember 2021 hingga 31 Disember 2022.

5. Perbelanjaan melancong dalam negara (Terhad RM1,000)
Pelepasan cukai untuk perbelanjaan perjalanan dalam negara. (Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022).

Sumber gambar : Shangri-la Hotel

Bayaran masuk ke pusat tarikan pelancong seperti taman tema juga dibenarkan.

Sempat lagi nak pergi bercuti-cuti Malaysia dan simpan bukti pembayaran yang berkaitan. Premis penginapan yang berdaftar boleh disemak dipautan : http://www.motac.gov.my

6. Insurans dan Pelaburan

Sudah mencarum takaful atau belum?

Takaful/Insurans hayat:
Pekerja sektor swasta (RM3,000)
Pekerja sektor awam (RM7,000)

Takaful/Insurans pendidikan dan perubatan (RM3,000)

7. Skim Persaraan Swasta atau Private Retirement Scheme (PRS) – RM3,000
Jika buka akaun sebelum 31 Disember 2022 masih layak menuntut pelepasan ini tahun depan.

Baca juga 6 Mitos Yang Menyebabkan Ramai Orang Malas Nak Ambil Takaful dan Menyimpan Untuk Hari Persaraan Mengikut Prinsip Islam

8. Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Kakitangan swasta diberikan pelepasan cukai sehingga RM250 kerana menyumbang kepada skim perlindungan keselamatan sosial yang dikawal selia oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Baca juga TERBAHARU : Bekerja Sendiri Perlu Tahu Tentang Skim MATRIX Dari PERKESO

B. Pemotongan Cukai

9. Sumbangan

Rujuk :

PENCUKAIAN INDIVIDU BERMASTAUTIN
BAHAGIAN I – HADIAH ATAU SUMBANGAN DAN POTONGAN YANG DIBENARKAN
KETETAPAN UMUM NO. 8/2020

  • Institusi /organisasi / dana yang diluluskan (Sehingga 10% daripada gaji)

    Contohnya jika kita menderma kepada Tabung Bantuan Bencana Negara di bawah NADMA dan institusi atau organisasi diiktiraf.

    Bagi yang menderma secara tunai, rekod yang perlu disimpan ialah resit rasmi kerajaan, slip pindahan wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM), slip deposit cek, slip deposit melalui kaunter bank, slip pembayaran dalam talian atau slip pindahan melalui Interbank Giro (IBG Transfer).

    Boleh semak senarai NGO, badan kebajikan, institusi atau organisasi lain yang diluluskan di Senarai Institusi Atau Organisasi Yang Diluluskan Dibawah Subseksyen 44(6) ACP 1967.
  • Aktiviti sukan yang diluluskan (Sehingga 10% daripada gaji)
  • Projek yang diluluskan berkenaan kepentingan negara (Sehingga 10% daripada gaji)
  • Hadiah wang dalam bentuk wakaf kepada mana-mana pihak berkuasa agama yang sesuai yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau Universiti Awam yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama (Sehingga 10% daripada pendapatan aggregat)

10. Sumbangan Lain

  • Derma/Hadiah wang kepada Kerajaan/Kerajaan Tempatan (Nilai sumbangan)
  • Artifak, manuskrip, lukisan (Nilai sumbangan)
  • Derma/Hadiah wang untuk menyediakan kemudahan perpustakaan atau kepada perpustakaan. (Nilai sumbangan di bawah RM20,000)
  • Derma/Hadiah wang atau sumbangan manfaat bagi menyediakan kemudahan di tempat awam untuk orang yang kurang upaya.
  • Derma/Hadiah wang atau kos peralatan perubatan kepada mana-mana badan rawatan kesihatan.
  • Lukisan kepada Galeri Seni Negara atau galeri seni negeri

C. Rebat Cukai

11. Zakat / Fitrah

Jangan lupa untuk menunaikan tanggungjawab membayar zakat.

Tidak banyak negara di dunia yang memberikan kelonggaran kepada umat Islam dalam bab cukai. Di Malaysia, Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) memberikan keistimewaan kepada orang Islam.

Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja, maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang cukai (B/BE).

Previous ArticleNext Article

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Kesan RM1.4 Bilion Pendapatan Tidak Dilapor Hasil Semakan E-Invois

CYBERJAYA –  Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) kekal komited memperkukuh aktiviti pematuhan cukai bagi mengekang ketirisan hasil negara serta memastikan pelaporan pendapatan dilaksanakan dengan betul dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Usaha ini selaras dengan inisiatif memperkasa sistem percukaian negara melalui agenda pendigitalan bagi meningkatkan ketelusan, seterusnya menjadikan penilaian risiko pematuhan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Sejak pelaksanaan e-Invois mulai 1 Ogos 2024, sebanyak 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran sebanyak 979 juta  e-Invois secara keseluruhan. Perkembangan ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan serta memastikan transaksi direkod atau disimpan secara lebih teratur sama ada di pihak penjual dan pembeli

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, HASiL telah mengenal pasti pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan untuk tindakan penguatkuasaan, sekali gus mengekalkan keadilan terhadap pembayar cukai yang mematuhi perundangan percukaian. Lebih 500,000 kes berpotensi telah dikenal pasti menunjukkan corak keupayaan kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada rekod pelaporan pendapatan kepada HASiL.

Melalui pendekatan ini, HASiL telah menjalankan semakan audit dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka. Sebanyak 17,188 pembayar cukai yang sebelum ini didapati tidak mematuhi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan (BNCP), telah tampil mengemukakannya dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM1.4 billion yang menyumbang kepada hasil cukai sebanyak RM290 juta.

Sebagai agensi pentadbir cukai langsung negara, HASiL komited memberi sokongan penuh kepada Kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan melapor dan membayar cukai dengan sewajarnya. Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, HASiL sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak, serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan. Sehubungan dengan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pembayar cukai boleh menghubungi HASiL melalui saluran khas e-Invois seperti berikut untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat selanjutnya:

a. Berkunjung ke Pejabat HASiL;

b. Meja Bantuan e-Invois HASiL di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam);

c. MyInvois Live Chat;

d. E-mel [email protected] bagi pertanyaan umum e-Invois; dan

e. Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my