Betulkah Bitcoin Itu Scam? Cuba Hadam 10 Fakta Ini

Ramai yang kata Bitcoin itu bagus, kerana ianya desentralisasi; iaitu tiada kuasa/kerajaan yang mengawal Bitcoin. Oleh itu ianya merupakan sebuah pelaburan yang berdasarkan kepada penawaran dan permintaan semata-mata.

Sumber: XE

Lihat sajalah harga Bitcoin untuk tahun 2017.

Dengan permintaan yang meningkat saban hari, maka harga Bitcoin pun naik dengan mendadak. Jika anda memegang 1 Bitcoin pada 1 Januari 2017 sampai sekarang, anda telah pun untung 800%.

Dengan pelaburan $1,000 US Dolar, naik sehingga $8,000 US Dolar pada hari ini. Itu cerita yang sedap-sedap saja, namun begitu, anda perlu lihat 10 perkara ini sebelum terlibat dalam Bitcoin.

1. Bitcoin Bukanlah Sebuah Syarikat

Anda tidak boleh menyaman sesiapa sekiranya pelaburan anda dalam Bitcoin menyebabkan anda kerugian. Baru-baru ini juga, syarikat bernama Tether yang terlibat dalam perkhidmatan Mobile Wallet telah kena hack yang menyebabkan hampir $31 juta US Dolar ‘lesap’ begitu sahaja.

Sumber: Tether

2. Bitcoin Tiada Pendapatan, Keuntungan Atau Nisbah P/E (P/E Ratio)

Saham syarikat terkemuka seperti Apple dan Facebook di Amerika Syarikat, malah Nestle, Top Glove, Tenaga Nasional dan Telekom di Malaysia; mempunyai asas penilaian tersendiri. Mereka menjual produk, memberikan perkhidmatan, mempunyai aset dan sebagainya.

Bitcoin tiada satu pun perkara di atas. Tiada pendapatan, tiada aset, tiada laporan kewangan dan sebagainya. Namun Bitcoin mempunyai ramai pesaing, dan siapa tahu permintaan terhadap Bitcoin bakal berkurangan menyebabkan harganya jatuh mendadak dan tidak bernilai lagi.

3. Dagangan Bitcoin Tidak Dikawal Selia Sesiapa

Dengan erti kata lain, tiada siapa yang memantau Bitcoin dan jika ada sebarang masalah – tiada badan untuk menyelesaikannya. Kalau ditakdirkan anda kena hack seperti #1 tadi, habislah…

4. Sekiranya Tiada Internet, Tiadalah Bitcoin

Memang tak boleh dibayangkan, tetapi sekiranya suatu hari nanti tiada lagi Internet; maka tiadalah Bitcoin. Segala-galanya akan lenyap begitu sahaja.

Tidak seperti emas, anda masih boleh bawa emas yang anda ada ke kedai emas untuk dijual atau dipajak. Sama juga halnya dengan pelaburan saham, apabila anda beli saham sesebuah syarikat; nama anda akan tersenarai sebagai pemegang saham – walaupun dalam bentuk sehelai kertas.

5. Penerimaan Bitcoin Sebagai Bayaran Belum Meluas

Buat masa sekarang, belum banyak lagi perniagaan yang boleh menerima Bitcoin sebagai bayaran untuk produk/servis mereka. Ini kerana harga Bitcoin yang boleh turun sehingga 10% dalam masa sehari, mana mungkin seorang peniaga mahu rugi sebanyak itu.

6. Kos Transaksi Bitcoin Bukanlah Percuma

Kos atau yuran untuk sebarang transaksi adalah $23.66 US Dolar buat masa ini. Dan ia juga mengambil masa beberapa hari untuk melengkapkan transaksi Bitcoin tersebut. Tidaklah semurah dan secepat yang disangka.

7. Disebabkan Bitcoin Tiada Pemantau, Promoter Bitcoin Menjanjikan Bulan & Bintang

Menurut mereka yang mempromosikan Bitcoin, harganya dijangka naik dan naik lagi. Beli sekarang dan esok lusa akan naik. Tiada etika untuk menceritakan perihal sebenar, kerana Bitcoin tidak mempunyai badan berautoriti yang memantau.

8. Tiada Sebarang Perlindungan

Disebabkan tiada badan yang bertanggungjawab, maka simpanan anda dalam Bitcoin tidak dijamin oleh sesiapa.

Contoh mudah kita ambil: Malaysia ada PIDM (Perbadanan Insurans Deposit Malaysia), dan deposit anda dilindungi sekiranya syarikat kewangan tersebut ‘bungkus’. Sekurang-kurangnya anda dapat balik duit yang telah anda simpan atau labur tadi.

9. Konflik Kepentingan

Hampir semua orang yang suruh anda untuk beli Bitcoin, masing-masing ada Bitcoin. Dan semakin ramai orang beli Bitcoin, ini dapat melonjakkan harga Bitcoin ke paras lebih tinggi. Conflict of interest inilah yang menyebabkan orang membeli Bitcoin, tanpa ada sebarang analisa dilakukan.

10. Nak ‘Cairkan’ Bitcoin Bukanlah Sekejap

Kebanyakan orang yang membeli Bitcoin, tak pernah melalui proses menjual Bitcoin tersebut. Jadi mereka ingat untuk menjualnya, adalah semudah menjual di pasaran saham. Dan proses penjualan Bitcoin akan menjadi lebih rumit, terutama sekali apabila harga tengah merudum.

Oleh itu, kemungkinan pemegang Bitcoin akan terperangkap dengannya, tanpa dapat menjualnya sedangkan harga semakin jatuh setiap minit.

Ketahui Risiko Bitcoin

Anda kena tahu bahawa Bitcoin bukanlah seperti mana-mana bentuk pelaburan lain. Ianya bukanlah berdasarkan komoditi seperti emas atau minyak, tetapi hanya berdasarkan spekulasi semata-mata.

Lagi ramai orang beli, permintaan semakin tinggi, harga Bitcoin pun semakin naik.

  • Tiada sebarang jaminan daripada mana-mana pihak yang menyatakan pelaburan anda dalam Bitcoin selamat. Kalau anda kena ‘hack’ dan Bitcoin anda hilang, nak tuntut dekat siapa? PPIM pun tak boleh nak tolong. Gone with the wind lah jawabnya.
  • Di Malaysia, sehingga ke hari ini Bitcoin belum mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia.
  • Malah status halal juga belum ada, kerana Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini menyatakan bahawa Bitcoin mengandungi unsur gharar dan syubhah.

Jadi, jika ada yang berkata Bitcoin adalah sejenis scam alaf baru, semoga pencerahan ini dapat membantu anda membuat keputusan sebelum terlibat dalam pelaburan Bitcoin.

Sumber rujukan: World Truth

Baca juga Bitcoin – Matawang Digital Yang Semakin Popular, Boleh Ke Kita Join?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.