Pelaksanaan e-Invois Dilanjutkan Setahun Lagi Bagi Syarikat Dengan Nilai Jualan Tahunan RM1- RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) Kerajaan akan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan invois elektronik (e-invois) tanpa penalti selama setahun lagi bagi syarikat dengan nilai jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari, 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pelaksanaan tersebut dibuat kerana sebahagian syarikat belum bersedia susulan kos pelaksanaan e-invois yang tinggi.

“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan (pelaksanaan e-invois) tanpa penalti untuk satu tahun lagi kerana banyak mengatakan dia melibatkan kos yang terlalu tinggi, ” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu kerajaan juga akan memperluaskan kemudahan e Invois bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan program pengakuan sukarela bagi duti setem selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.

Pelaksanaan e-invois bermula pada 1 Ogos 2024 dan kerajaan telahpun memulakan fasa keempat pelaksanaannya yang merupakan satu lagi usaha untuk memperkukuhkan pentadbiran cukai, selain meringankan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

E-invois yang diperkenalkan sebagai platform digital bagi memperkemaskan urusan invois dan pematuhan cukai memerlukan perniagaan (pembayar cukai) menjana dan menghantar invois secara elektronik, bagi meningkatkan pelaporan dan kecekapan kutipan cukai sambil mengurangkan kebocoran.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Proses Bayaran Balik Terus Dipertingkatkan Melibatkan 13,111 Kes Berjumlah RM1 Billion

CYBERJAYA, 24 Disember 2025 – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan bayaran balik lebihan cukai susulan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri.

Sebagai rekod, sehingga 22 Disember 2025, HASiL telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM18 bilion dan melibatkan 3,542,859 kes seperti pecahan berikut:

Bil.TempohAmaun (RM)Bilangan Kes
1.1 Januari – 8 Disember 202515 bilion3,521,929
2.9 – 15 Disember 2025 1 bilion (Tambahan)6,480
3.16 – 18 Disember 20251 bilion (Tambahan)1,339
4.19 – 22 Disember 20251 bilion (Tambahan)13,111

Daripada peruntukan tambahan berjumlah RM4 bilion yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, sebanyak RM3 bilion telah diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 22 Disember 2025 yang melibatkan 20,930 kes. Baki RM1 bilion peruntukan tambahan akan diproses dan diselesaikan sebelum akhir Disember 2025. 

Dana tambahan RM1 bilion pertama yang diperuntukkan telah berjaya menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga (3) tahun tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat, manakala dana RM2 bilion berikutnya telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia dua (2) ke tiga (3) tahun dengantumpuan diberikan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).  

HASiL juga ingin menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada HASiL adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar. Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan akaun bank yang betul. Selanjutnya juga, tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan. 

HASiL akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi: