Warga Asing Terlibat Dalam Ekonomi Bayangan Tidak Terkecuali Bayar Cukai -CEO LHDN

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) — Warganegara asing yang terlibat dalam ekonomi bayangan sama ada menjalankan perniagaan atas nama sendiri atau rakyat tempatan tidak terkecuali daripada membayar cukai, tegas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata pihaknya akan mengenakan tindakan termasuk penalti sekiranya semakan LHDN mendapati mereka gagal melaporkan jumlah pendapatan dan mematuhi undang-undang percukaian.

“Kita (akan) memastikan bukan sahaja warga asing itu sendiri malah juga orang di belakang mereka (warga tempatan) kerana ramai juga warga asing yang mungkin menggunakan lesen orang tempatan dan sebagainya.

“Kita akan membuat semakan terhadap warga tempatan terbabit sama ada mereka mematuhi undang-undang percukaian (atau sebaliknya),” katanya kepada pemberita selepas program ‘Sesi Libat Urus KPE Hasil Bersama Dengan Media’ di sini, pada Khamis.

Beliau menekankan pihak LHDN telah mengenal pasti beberapa lokasi aktiviti ekonomi bayangan dan akan turun padang untuk bersemuka dengan kumpulan itu.

Abu Tariq berkata aktiviti ekonomi bayangan telah mewujudkan kesan besar terhadap jurang cukai negara.

Ekonomi itu sering dikaitkan dengan perniagaan tidak berdaftar dan tidak berlesen yang tidak membuat pengisytiharan cukai termasuk pekerjaan sambilan yang menerima gaji atau upah secara tunai untuk mengelakkan pelaporan pendapatan, katanya.

Pada 2023, media melaporkan bahawa Malaysia dianggarkan kehilangan kira-kira RM70 bilion setiap tahun dalam bentuk hasil cukai akibat aktiviti ekonomi bayangan.

Jumlah itu adalah kira-kira 20 peratus daripada anggaran keseluruhan pendapatan ekonomi bayangan bernilai RM350 bilion setahun dan nilai itu adalah 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Ketika berucap pada program tersebut, Abu Tariq berkata sasaran kutipan cukai langsung bagi 2024 adalah RM197 bilion dan LHDN telah merancang pelbagai strategi untuk mengoptimumkan pematuhan cukai sekali gus mencapai sasaran itu.

Beliau berkata selain tumpuan kepada aktiviti ekonomi bayangan, LHDN akan menyasarkan golongan individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai yang dibuat.

“Mengikut undang-undang, LHDN boleh membuka kembali sesuatu kes bagi tempoh lima tahun kebelakang dan jika ada elemen kecuaian dan penipuan tiada had masa ditetapkan.

“LHDN juga akan memberi tumpuan khusus kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjana pendapatan melalui aktiviti dalam talian,” katanya.

LHDN akan mengadakan sambutan Hari Hasil ke-28 pada 1 Mac, 2024 dengan pelbagai program termasuk kaunter Sumbangan Tunai Rahmah; kaunter percukaian/e-perkhidmatan/HASiL Hub; kaunter perkhidmatan agensi awam dan swasta; taklimat dan kaunter e-invoicing.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.