Viral di Facebook baru-baru ini video Dr Muhammed Abdul Khalid, (bekas pengarah penyelidikan Khazanah Research Institute) dalam wawancara SOAL JAWAB PRA BAJET 2018 di TV3. Rata-rata yang berkongsi video tersebut mungkin teruja apabila ada pakar ekonomi yang berani menyuarakan fakta yang dianggap “sensitif” di mata penyokong kerajaan. Mungkin netizen suka kepada mereka yang bukan jenis mulut manis sekadar penyedap halwa telinga.
Posting ini pula adalah reaksi dari netizen yang juga banyak berkongsi tentang ekonomi semasa negara.
Just another point of view…
Dr Muhammed Abdul Khalid: “Kewangan Negara Tidak Memberangsangkan.”
Saya lihat banyak penyokong pembangkang tak cukup jari share video Sesi Soal Jawab TV3 yang membincangkan berkenaan Bajet 2018 minggu lepas yang juga menampilkan Dr Muhammed Abdul Khalid (Dr M) seorang pakar ekonomi yang juga penulis buku terkenal Colours of Inequality, sebuah buku tentang jurang atau ketidakseimbangan pendapatan dan kekayaan di Malaysia.
(*Siapa belum baca saya sarankan baca sekarang)
Banyak juga yang tag saya minta saya ulas berkenaan apa yang dikatakan oleh Dr M iaitu apa yang disebut oleh beliau sebagai kewangan negara yang tidak memberangsangkan.
4 sebab utama dalam hujahan beliau bahawa kewangan negara tidak memberangsangkan adalah:
1. Daripada RM212 billion dikutip kerajaan, RM210 billion atau 99% daripadanya digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus (operating expenditure/OPEX) seperti membayar gaji kakitangan awam, membayar faedah hutang kerajaan dan banyak lagi komponen perbelanjaan mengurus yang lain (*yang saya akan sentuh kemudian). Hampir kesemua perbelanjaan pembangunan kerajaan seperti membina sekolah, jalan, hospital, pengangkutan awam dibiayai menggunakan pinjaman atau hutang.
2. Untuk menjana ekonomi perbelanjaan pembangunan penting. Peratusan yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan hanyalah 17%, manakalah selebihnya 83% adalah perbelanjaan mengurus. Sejak 2008, peratusan perbelanjaan pembangunan semakin menurun berbanding perbelanjaan mengurus yang meningkat.
3. Hutang kerajaan semakin bertambah. Perbelanjaan untuk membayar hutang kerajaan (RM24 billion) lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan dalam sektor pengangkutan (RM10 billion), pendidikan (RM6 billion) dan kesihatan (RM1.5 billion).
4. Faedah hutang kerajaan yang dibayar berbanding perbelanjaan mengurus kerajaan semakin meningkat.
Persoalan utamanya adakah kewangan negara atau lebih tepat kewangan kerajaan tidak memberangsangkan? Saya setuju.
Kewangan kerajaan memang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun ini terutamanya sejak harga minyak dunia jatuh mendadak menjelang pertengahan tahun 2014.
Ini menyebabkan hasil kerajaan persekutuan jatuh dua tahun berturut-turut pada tahun 2015 dan 2016 daripada RM220 billion (2014) kepada RM219 billion (2015) dan RM212 billion (2016).
Hasil kutipan GST berjumlah RM27 billion (2015) dan RM41 billion (2016) hanya mampu menampung sebahagian daripada kejatuhan hasil petroleum pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Oleh sebab yang demikian, kewangan kerajaan memang tidak memberangsangkan dari segi kutipan hasil KERANA kejatuhan harga minyak dunia yang merupakan antara penyumbang utama hasil kerajaan.
Betul hampir 99% hasil kerajaan digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti diujar Dr M. Komponen perbelanjaan mengurus termasuklah emolument (gaji kakitangan awam), pencen dan ganjaran (pencen pesara perkhidmatan awam), bayaran khidmat hutang (bayaran faedah hutang kerajaan), bekalan dan perkhidmatan, subsidi, pembelian harta, geran dan pindahan serta perbelanjaan lain.
Tetapi saya tak nampak di mana masalahnya apabila banyak atau semua hasil yang dikutip kerajaan digunakan untuk perbelanjaan mengurus kerana pada tahun 1986 dan 1987 hasil kerajaan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan. Ini bermakna kerajaan terpaksa meminjam untuk menampung perbelanjaan mengurus seperti gaji kakitangan kerajaan, pencen pesara, membayar hutang dan sebagainya.
Sejak Najib menjadi Perdana Menteri tidak pernah sekalipun hasil kerajaan kurang daripada perbelanjaan mengurus. Apa yang saya pasti jika GST tidak dilaksanakan, perbelanjaan mengurus akan lebih tinggi daripada hasil kerajaan dan kerajaan akan terpaksa meminjam untuk membayar gaji kakitangan awam, pencen, subsidi dan sebagainya.
Memang benar hampir kesemua perbelanjaan pembangunan kerajaan dibiayai melalui pinjaman atau hutang. Sekali lagi saya tak nampak apa masalahnya membelanjakan untuk pembangunan dengan menggunakan hutang. Isi rumah membeli-belah barangan dapur menggunakan gaji, tetapi membeli rumah menggunakan hutang. Perniagaan membayar kos operasi seperti gaji menggunakan pendapatan perniagaan, mereka mengembangkan perniagaan menggunakan pinjaman bank. Sama juga seperti kerajaan.
Perbelanjaan pembangunan adalah pelaburan yang akan menjana pendapatan dan memberi pulangan ekonomi. Apabila kerajaan membina sekolah, jalanraya, hospital, pengangkutan awam termasuk LRT, MRT, ECRL dan lain-lain ianya akan mencipta peluang pekerjaan dan menambah pendapatan pihak swasta. Semakin tinggi pendapatan pihak swasta termasuk individu dan perniagaan, semakin tinggi pendapatan kerajaan melalui kutipan cukai di masa hadapan.
Setiap tahun sejak Malaysia merdeka kerajaan sememangnya meminjam wang daripada dalam dan luar negeri untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Tidak pernah pula kerajaan Malaysia bankrap ataupun tidak mampu membayar hutang sendiri.
Isu perbelanjaan mengurus lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan juga adalah isu yang remeh. Apa yang Dr M cakap itu betul. 84% perbelanjaan kerajaan untuk mengurus dan 16% untuk pembangunan. Tapi pada tahun 1988, nisbah perbelanjaan kerajaan juga pada 84:16 sama seperti tahun 2016.
Juga harus anda semua tahu kebanyakan perbelanjaan pembangunan kerajaan di buat di luar bajet melalui syarikat-syarikat milik penuh kerajaan seperti MRT dibina oleh MRT Corp dan Pan Borneo dibina oleh syarikat Pan Borneo yang dibiayai melalui pinjaman oleh Danainfra, LRT3 dibina oleh Prasarana dan dibiayai melalui pinjaman oleh Prasarana dan banyak sekolah, hospital, universiti dibina dan dibiayai oleh public-private partnership (PPP). Sama juga bagaimana KLIA dibina dan dibiayai oleh KLIA Berhad, Putrajaya dibina oleh Putrajaya Holdings menggunakan duit Petronas dan pinjaman, lebuhraya Utara Selatan yang dibina oleh Renong dan akhirnya dibiayai melalui hutang yang dimiliki kerajaan melalui UEM dan KWSP.
Jika perbelanjaan pembangunan di luar bajet kerajaan ini diambil kira, perbelajaan pembangunan sektor awam/kerajaan mencecah hampir RM143 billion pada tahun 2016, berbanding hanya RM40.6 billion yang diperuntukkan di dalam bajet. Nisbah perbelanjaan pembangunan juga akan meningkat daripada 16% kepada 35% daripada keseluruhan perbelanjaan sektor awam.
Pembangunan negara juga sebenarnya dipelopori oleh sektor swasta dan bukannya sektor kerajaan. Pada tahun 2016 sektor swasta membelanjakan RM212 billion untuk perbelanjaan modal/pembangunan berbanding sektor awam yang membelanjakan RM105 billion.
Setiap tahun hutang kerajaan bertambah dari segi mutlak. Setakat Jun 2017, hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM685 billion. Oleh sebab itu jumlah bayaran balik hutang (faedah) juga meningkat setiap tahun. Sepatutnya nisbah yang perlu kita lihat adalah jumlah perbelanjaan membayar hutang kerajaan kepada hasil kerajaan.
Tahun lepas (2016) 16% daripada hasil kerajaan digunakan untuk membayar hutang, sepanjang tahun 1981 sehingga 1993 nisbah tersebut melebihi 12% dan pernah mencecah 31% pada 1987. Bayangkan, 31% hasil kutipan cukai digunakan untuk membayar faedah hutang kerajaan. Sekarang hanya 12%, tiba-tiba negara nak bankrap?
Perbelanjaan hutang kerajaan lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan seperti pengangkutan, pendidikan dan kesihatan – betul. Tetapi bukankah lebih baik dibandingkan dengan keseluruhan perbelanjaan? Pembangunan tidak terhad kepada pengangkutan, pendidikan dan kesihatan sahaja. Keselamatan, pertahanan, sosial, perumahan, pertanian, luar bandar juga penting.
Kerajaan membelanjakan RM41 billion untuk perbelanjaan pembangunan (tidak termasuk perbelanjaan luar bajet) dan membelanjakan RM26 billion untuk bayaran faedah hutang. Perbelanjaan pembangunan kerajaan masih lebih tinggi daripada perbelanjaan membayar faedah hutang. Malah bayaran semula hutang kerajaan juga adalah untuk pembangunan kerana semua pinjaman yang dibuat kerajaan (kecuali pada tahun 1986 dan 1987) dibuat untuk membangunkan negara.
Jadi berdasarkan ulasan saya di atas berserta sumber-sumber yang saya perolehi daripada Bank Negara dan Perbendaharaan Negara saya simpulkan kewangan kerajaan tidaklah begitu kritikal seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.
Saya kenal Dr Muhammed Khalid secara peribadi dan pernah beberapa kali berjumpa dengan beliau dalam suasana formal dan tidak formal. Mengenali beliau, saya faham beliau membuat ulasan berdasarkan data dan angka yang tersedia di luar sana. Beliau adalah seorang yang objektif dan tidak berat sebelah dalam membuat penilaian mahupun ulasan.
Saya juga tidak bersetuju dengan beliau tentang beberapa isu tetapi apabila apabila berhujah kami menggunakan data dan angka. Sehingga hari ini saya akan ingat pesan beliau kepada saya “let the data speak for themselves”.
Kepada penyokong pembangkang yang beria-ria share video beliau dalam Sesi Soal Jawab TV3 saya nak tanya kenapa hanya kecoh part “kewangan negara tidak memberangsangkan” dan buat-buat tak dengar apa yang Dr M cakap iaitu ekonomi Malaysia bertambah baik berbanding beberapa tahun yang lepas?
Tak nak akui ekonomi Malaysia sekarang lebih baik berbanding beberapa tahun yang lepas?
Rujukan:
1. Hasil Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.1.xls
2. Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.2.xls
3. Kewangan Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.xls
4. Laporan Ekonomi Malaysia 2017/2018: http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/le/1718/bab4.pdf
Sumber: FB Syahir