Duit Gaji Sentiasa Tak Cukup? Apa Nak Buat?

Tulang Dibanting Lelah Sahaja Dirasa?

Siapa yang faham dengan pepatah dahulu kala di atas? Secara ringkasnya ia bermaksud, kita bekerja untuk mendapatkan pendapatan untuk keluarga; tetapi setiap hujung bulan gaji baru masuk, dan belum hujung bulan lagi satu, tetapi duit sudah habis.

Persoalannya ialah, untuk apa kita bekerja keras kalau semuanya habis dibelanjakan – lebih teruk lagi kalau kita menambah hutang setiap bulan?

3 Soalan Yang Perlu Kita Tanya Diri Sendiri

1. Ke mana dan bagaimana kita membelanjakan wang kita?

2. Berapa banyak hutang kita setiap bulan?

3. Berapa baki wang kita yang masih tinggal di penghujung bulan?

Secara jujurnya, cuba anda jawab persoalan di atas.

Kenali Punca Sebelum Simptom

1. Ilmu pengurusan kewangan yang lemah

2. Kemahuan melebihi keperluan

3. Sikap suka berhutang

Sekarang, ada tak ciri-ciri di atas dalam diri anda? Jika ada, tahniah kerana anda menjawab dengan jujur dan mengakui kelemahan anda.

Kenali Simptom Sebelum Sakit

Di antara petanda awal bagi mereka yang bermasalah, berikut merupakan 5 perkara yang berlaku dalam kehidupan anda.

1. Tidak tahu ke mana wang dibelanjakan

2. Hutang melebihi pendapatan

3. Meminjam lagi untuk membayar hutang lama

4. Guna simpanan untuk keperluan harian

5. Tiada langsung simpanan

6 Tips Untuk Merawat Sebelum Parah

Masih belum terlambat untuk berubah, tetapi anda perlu ambil tindakan segera untuk mengatasinya dengan mengamalkan 6 tips berikut:

1. Elak Tambah Hutang

Pertama sekali yang perlu anda buat, elak daripada menambah hutang sedia ada. Cukup-cukuplah dengan kereta anda, tidak perlu menukar sport rim atau bodykit yang mahal-mahal. Kalau ada kad kredit yang dah cecah limit tu, cepat-cepat lah potong kad kredit tersebut.

2. Utamakan Pembayaran

Pastikan anda utamakan yang mana lebih penting terlebih dahulu. Buat senarai perbelanjaan yang perlu dibayar setiap bulan, utamakan keperluan daripada kehendak. Kalau pakai postpaid tu, cuba bertukar kepada prepaid. Kalau ada langgan siaran televisyen berbayar, boleh pertimbangkan untuk memotongnya.

3. Simpan Untuk Diri Sendiri

“Biar berdikit menjadi bukit, bukan korek sedikit demi sedikit”

Dapat duit gaji, simpanlah walaupun RM100 setiap bulan. Simpanlah di tempat yang boleh memberi faedah seperti ASB atau Tabung Haji. Dan bukannya kita korek duit tabung kita untuk dibuat belanja harian.

4. Awasi Pembayaran

“Bisik pada hati, tempik pada nafsu”

Perkara yang paling bahaya dewasa ini, adalah betapa mudahnya untuk kita berbelanja atas talian. Dengan banyaknya kemudahan online shopping seperti Lazada, 11Street, Shopee, Mudah, Lelong dan sebagainya; memang kita sering tewas pada nafsu kehendak. Klik-klik-klik je, barang pun sampai.

Amatlah penting untuk anda berhati-hati dan mengawasi perbelanjaan anda. Buatlah senarai perbelanjaan, supaya dapat tahu ke mana wang kita dibelanjakan setiap hari. Dengan cara ini, dapat kita kenalpasti kebocoran dan hentikannya segera.

5. Rancang Dan Banding

Kalau boleh sebelum berbelanja, bandingkan dulu harga. Contohnya kalau kita nak beli barang dapur, tengok dulu harga di 2-3 buah pasaraya. Kalau ianya merupakan barang yang tak wajib seperti pakaian, barangan elektrik dan sebagainya; tunggu sehingga mereka membuat jualan penghabisan stok. Di sini kita akan dapat menikmati diskaun yang besar, daripada harga jualan biasa.

Boleh juga beli barang second-hand yang sudah semestinya lebih murah, tapi perlu semak dulu kualitinya sebelum beli. Malah pakaian bundle pun, boleh jimat banyak daripada beli di butik.

6. Tertib

“Yang dimakan rasa, yang dilihat rupa, yang didengar bunyi”

Amatlah penting untuk kita terus-menerus berusaha untuk berubah dan istiqomah dalam perjuangan membebaskan diri daripada belenggu hutang. Memang terasa berat pada awalnya, tapi dengan adanya sistem dan daya ketahanan yang kuat melawan nafsu; insyaAllah satu hari nanti akan membuahkan hasil jua.

Tips di atas dikongsikan oleh Tuan Shahizan Md Noh, seorang pakar perancangan kewangan Islam yang kini bekerja di IBFIM (Islamic Banking and Finance Institute Malaysia). Terima kasih diucapkan kerana sudi berkongsi tips-tips di atas.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari