Harga Barang Naik, Harga Makanan Pun Naik. Ini 5 Puncanya

Dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar, negara kita masih terbelenggu dengan kenaikan harga barang secara menyeluruh.

Kita sering melihat apabila harga barang naik, harga makanan pun naik. Kalau 10 tahun lepas mungkin kita boleh beli nasi lemak yang berharga 50 sen sebungkus, tetapi hari ini nak cari yang berharga RM1 pun susah.

Pasti ada sebab kenapa harga barang-barang naik yang masih kita tertanya-tanya. Mari kami kongsikan kepada anda 5 punca harga barang naik.

Mungkin selepas ini, kita akan berusaha untuk bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.

1. Kenaikan Harga Minyak Mentah

Tinjauan oleh beberapa pakar mengenai harga makanan sejak tahun 2007 sehingga tahun 2016 berpendapat bahawa, kenaikan harga minyak mentah akan menyebabkan kenaikan harga kos pengangkutan.

Ianya akan menyebabkan harga barang terus naik, sekaligus harga makanan pun naik juga.

2. Kelemahan Mata Wang Ringgit

Laporan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan bahawa perubahan nilai mata wang juga antara faktor berubahnya harga barangan.

Disebabkan harga mata wang negara kita agak rendah, ia menyebabkan harga import barangan dari luar negara menjadi lebih tinggi. Jadi, secara automatik harga barang akan naik akibat nilai matawang yang lemah.

3. Permintaan Pasaran Yang Tinggi

Dengan permintaan pasaran yang lebih tinggi telah menyebabkan sumber menjadi berkurangan. Oleh itu, harganya akan naik disebabkan untuk memenuhi keinginan pelanggan.

Masihkah anda ingat ketika permintaan face mask dan hand sanitizer meningkat naik pada bulan Mac 2020 yang lalu, harganya terus melonjak naik disebabkan permintaan yang tinggi daripada pasaran?

4. Sikap Tamak Peniaga

Sikap segelintir peniaga yang tamak juga merupakan punca kenaikan harga barang dengan menyembunyikan barangan keperluan seperti beras, gula, dan tepung sering menjadi sasaran mereka untuk mengaut keuntungan.

Apabila stok barangan berkurangan, mereka akan menaikkan harga barangan tersebut dengan sesuka hati. Ini adalah salah satu punca harga barang meningkat yang ramai orang terlepas pandang.

5. Bencana Alam

Apabila berlakunya bencana alam yang berpanjangan, hasil pengeluaran barangan pasti akan menurun. Akibatnya, pengeluar barang tak mampu nak menghasilkan pengeluaran yang banyak menyebabkan harganya meningkat.

Sebab itulah kerjasama di antara pengguna, peniaga dan pihak berwajib adalah penting untuk memastikan ianya terkawal. Sekiranya perkara ini tidak ditangani, pasti kita sendiri yang akan menderita akibat kenaikan harga barangan yang melampau kelak.

Sumber:

Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.