Pelajaran Paling Bermakna Yang Kita Boleh Perolehi Daripada Bill Gates

Siapa yang tidak mengenali individu ini, salah seorang manusia terkaya di muka bumi. Ketika artikel ini ditulis nilai kekayaan beliau adalah bersamaan dengan USD127.9 bilion.

Walaupun beliau membelanjakan USD1 juta sehari pun, ia memerlukan masa 300 tahun lebih untuk menghabiskan nilai kekayaan tersebut.

Terlalu banyak perkara unik, menarik dan sebagainya yang kita boleh pelajari daripada kejayaan beliau. Antaranya tabiat, tingkah laku, idea, pemikiran dan banyak lagi.

Sehinggakan dokumentari beliau di Netflix telah difilemkan mengenai perjalanan hidup beliau semasa membina syarikat gergasi Microsoft.

Walaubagaimanapun, perkara utama yang boleh kita belajar daripada perjalanan hidupnya, bukanlah berkisar tentang kejayaan atau pemikiran beliau yang berjaya menyelesaikan pelbagai masalah teknologi, tetapi lebih kepada lumrah kejadian manusia.

Sebuah wawancara telah dilakukan bersama dengan Bill Gates dan beliau telah diajukan beberapa soalan.

Sebagai contoh, apakah makanan kegemaran beliau? Apakah binatang kesukaan beliau? Apakah sarapan kegemaran beliau dan sebagainya.

Kemudian penemubual menanyakan satu soalan yang sedikit berat untuk beliau jawab.

Apakah hari atau perkara yang paling berat atau sukar, kamu lalui dalam hidup?

Bill Gates seorang yang mempunyai perwatakan tenang. Beliau mengambil masa untuk menjawab soalan-soalan tersebut.

Namun ada sesuatu yang berbeza. Sebelum menjawab soalan tersebut, beliau termenung seketika sambil merenungi lantai. Terpaut riak wajah yang suram dan berfikir panjang sebelum menjawab persoalan tersebut.

Kredit Gambar: Euronews

Namun dengan nada yang sedih beliau menjawab dengan soalan yang kita sukar gambarkan. Beliau menjawabnya dengan berkata:

Kesukaran yang paling berat dan payah saya lalui dalam hidup ialah apabila menghadapi kematian ibu saya dan menyedari kehilangannya dari sisi saya buat selama-lamanya”

Terlalu banyak kesukaran yang beliau pernah lalui dalam hidup. Beliau seorang individu yang sudah tidak pernah berasa risau dengan aset kekayaannya yang terlalu besar. Semua yang beliau ada sekarang cukup untuk digunakan sepanjang hayat.

Namun jika ditanya apa yang paling berat beliau pernah hadapi, bukannya berkisar tentang kesukaran membina empayar perniagaan, tetapi kesukaran untuk berdepan dengan kehilangan orang yang paling beliau sayangi.

Beliau tidak menjawab hari yang paling sukar tentang, “Steve Jobs menuduh beliau mencuri ideanya.” Ataupun beliau tidak berkata ‘hari yang paling sukar di hadapi, apabila beliau dikenakan denda antitrust sebanyak USD1.3 bilion’.

Tidak kira siapa anda di dunia ini, tidak kira bagaimana cita-cita atau impian anda, tidak kira bagaimana bentuk kehidupan anda, dan sebagainya.

Pada akhirnya perkara yang paling berat kita akan hadapi apabila kehilangan orang-orang yang kita sayang. Orang tersebut mungkin boleh menjadi Ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak, keluarga atau sahabat-sahabat anda.

Hidup bukannya berkisar tentang kekayaan, pangkat, wang dan sebagainya.

Kadang-kadang apabila kita terlalu sibuk, atau sangat memfokuskan kerjaya dan masa depan, kita terlupa atau terabai memberi kasih sayang secukupnya kepada orang-orang yang bermakna dalam hidup anda.

Setiap manusia mempunyai waktu yang terhad untuk meluangkan masa dengan orang tersayang. Namun sungguhpun begitu, kita boleh merubahnya melalui sekarang.

Hari ini, kita boleh sentiasa mengingatkan pada diri kita bahawa manusia terkaya seperti Bill Gates, sangat menitik-beratkan perhubungan dengan manusia yang bermakna dalam hidup beliau bukannya kekayaan atau perniagaan dan sebagainya.

Semoga kita mengambil iktibar daripada beliau. Luangkanlah masa bersama dengan orang yang kita sayangi kerana mereka sangat berharga dalam kehidupan.

Previous ArticleNext Article

Abdul Wahid Terima Anugerah Saleh Kamel Untuk Ekonomi Islam Di Madinah

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar menerima Anugerah Saleh Kamel yang berprestij untuk Ekonomi Islam pada Simposium Ekonomi Islam AlBaraka ke-45 di Madinah.

Beliau adalah antara 10 perintis perbankan Islam menerima anugerah itu yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 pembangunan perbankan Islam.

Gabenor Wilayah Madinah Putera Salman bin Sultan bin Abdulaziz Al-Saud menyampaikan anugerah itu, menandakan satu peristiwa penting bagi mengiktiraf sumbangan selama berdeakad kepada kemajuan kewangan Islam.

Abdul Wahid menghadiri simposium itu pada 16 dan 17 April lepas sebagai moderator dan penceramah.

Beliau tidak menjangka untuk menerima pengiktirafan tersebut bagaimanapun menyifatkannya amat bermakna terutama sekali acara itu diadakan di kota suci Madinah.

“Saya berbesar hati dan rasa rendah diri dengan anugerah ini. Ini merupakan pengiktirafan bukan sahaja kepada kakitangan dalam pelbagai entiti perkhidmatan kewangan yang pernah saya kerja seperti Bursa Malaysia, Malayan Banking Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Amanah Capital Group Bhd dan Bumiputra Merchant Bankers Bhd tetapi juga untuk Malaysia dan pengawal selia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan seluruh sektor kewangan Islam.

“Malaysia sememangnya berada di barisan hadapan dalam pembangunan perbankan Islam, kewangan dan pasaran modal. Saya berharap anugerah ini akan terus memberi inspirasi kepada sektor berkenaan untuk meningkatkan dan berinovasi dalam menyokong dunia yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anugerah Saleh Kamel untuk Ekonomi Islam ditubuhkan bertujuan memperingati sumbangan perintis Allahyarham Sheikh Saleh Kamel dan bagi mempromosikan kecemerlangan dalam penyelidikan.

Ia juga menyokong pengeluaran akademik khusus, menyerlahkan bakat baharu muncul dalam kewangan dan perundangan Islam serta mengembangkan pengaruh global dalam perbankan Islam.

— BERNAMA