Buat Dokumen Hibah Belum Selesaikan Masalah Pusaka

Kebanyakan masalah pengurusan harta pusaka yang berlaku hari ini boleh dikatakan berpunca daripada faktor waris yang menguruskannya. Bahkan sebenarnya mengikut laporan sebuah akhbar tempatan, masalah harta pusaka yang tidak dituntut dan terus “terbeku” adalah disebabkan oleh faktor waris sendiri.

Waris tidak tahu proses menguruskan pusaka. Tidak tahu ke mana hendak dituju bagi menyelesaikan masalah pusaka. Perlu atau tidak dapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah dan sebagainya.

Waris juga berbalah dan tidak sepakat tentang kaedah untuk mengagihkan harta pusaka ahli keluarga mereka.

Dan yang paling banyak terjadi adalah waris sambil lewa dalam urusan pentadbiran pusaka. Sengaja melambat-lambatkan urusan kerana tidak tahu risikonya.

Jangan terkejut bahkan si mati telah meninggal dunia lebih 20 tahun tetapi harta pusakanya masih tidak ditadbir dan terbeku serta waris tidak boleh menikmatinya.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa faktor tiada perancangan harta oleh si pemilik harta semasa hayatnya turut menyumbang kepada masalah pengurusan harta pusaka.

Banyak terjadi, waris tidak tahu apakah jenis harta yang ditinggalkan si mati. Ditambah pula nak kena cari dokumen berkaitan harta pusaka untuk proses pentadbiran.

Tak tahu di mana disimpannya geran tanah, geran kereta, simpan duit di dalam akaun mana dan banyak lagi. Boleh bayangkan macam mana peningnya waris nak mulakan proses pentadbiran harta pusaka, nak cari dokumen pun susah!

Oleh itu, bagi mereka yang telah merancang harta semasa hayatnya lagi, akan banyak memudahkan waris di kemudian hari.

Tetapi perlu diingat, sebarang perancangan harta seperti dokumen hibah dan wasiat saja belum jamin dapat elakkan masalah pengurusan harta di kemudian hari.

Ini kerana ia hanyalah perancangan. Dah nama pun merancang, jadi tak semestinya menjadi seperti yang kita rancangkan. Tapi merancang tetaplah jauh lebih baik dari langsung tak merancang.

Dan antara perkara yang paling penting  dalam perancangan harta pusaka adalah perancangan berkaitan kos pengurusan pusaka selepas kematian.

Ya ada kos untuk pengurusan dan pentadbiran harta pusaka.

Bukan percuma.

Walaupun harta tak banyak dan hanya perlu berurusan di Unit Pusaka Kecil, tetap ada kos yang perlu dibayar.

Bahkan jika perlu ke Amanah Raya atau ke Mahkamah Tinggi Sivil, kos yang lebih tinggi perlu dibayar.

Berapa anggaran kos urus pusaka?

Mengikut Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959, mana-mana agensi atau pihak yang menguruskan harta pusaka dibenarkan mengenakan fi maksimum 5% daripada harta pusaka si mati.

Siapa yang akan bayar kos ini?

Berdasarkan pengalaman peribadi, tidak sedikit yang tak berjaya (atau lambat) keluarkan/cairkan harta pusaka si mati sebab tiada wang tunai yang cukup untuk urusan pentadbiran harta.

Jadi jangan sangka bila dah buat dokumen hibah, selesai semua masalah pusaka.

Belum. Belum tentu selamat lagi.

Kesimpulannya, dalam perancangan harta pusaka, pastikan anda mendapat khidmat nasihat yang tepat dari orang yang benar-benar ahli dalam industri ini.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.