Cara Keluarkan Duit Arwah Daripada Bank Dan KWSP

Tidak dapat keluarkan wang daripada bank atau simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah, merupakan perkara yang merisaukan kita. Tambahan pula jika kita benar-benar perlukan wang pada ketika itu.

Selalunya apabila berlaku kematian, pasti terdapat masalah yang berlaku dan ianya melibatkan wang. Sekiranya wang tersebut berada di dalam akaun bank dan KWSP, sudah tentu ia amat sukar untuk dikeluarkan oleh pewaris tanpa dokumen yang lengkap.

Jangan risau, terdapat cara untuk keluarkan duit arwah daripada bank dan KWSP yang boleh kita ikuti.

Cara Keluarkan Duit Arwah Daripada Bank

Sekiranya arwah mempunyai wang di dalam bank, kita boleh hubungi pihak bank tersebut untuk memaklumkan bahawa pemegang akaun telah meninggal dunia. Kemudian, pewaris atau penama perlu mengemukakan dokumen pengesahan bahawa mereka mempunyai hubungan dengan arwah.

Antara dokumen yang diperlukan adalah surat kematian arwah, kad pengenalan pewaris, butiran akaun bank dan surat sokongan yang membuktikan pertalian dengan arwah.

Setelah dokumen yang diperlukan lengkap, serahkan dokumen tersebut kepada pihak bank. Pihak bank pula akan menguruskan pengeluaran wang tersebut namun ia memerlukan sedikit masa untuk diproses.

Selepas segala proses telah diluluskan, wang tersebut akan dipindahkan kepada akaun penama atau pewaris tersebut.

Cara Keluarkan Duit Arwah Daripada KWSP

Bagi simpanan KWSP yang telah diletakkan penama oleh arwah, penama boleh pergi terus ke kaunter KWSP dan memulakan proses tuntutan. Pastikan bahawa tuntutan pengeluaran simpanan KWSP tersebut dibuat dalam masa satu tahun dari tarikh kematian arwah.

Dokumen yang perlu dibawa oleh waris semasa membuat tuntutan adalah Borang Permohonan KWSP 9KM (AHL), sijil kematian arwah, kad pengenalan penama dan maklumat akaun bank arwah.

Sumber: Laman Web KWSP

Bagi penama di bawah umur 18 tahun, penjaga kepada penama mesti mengemukakan surat rayuan dan sijil lahir Penama. Pembayaran KWSP tersebut akan terus dimasukkan ke dalam akaun penama yang telah membuat tuntutan tersebut.

Bagi simpanan KWSP yang tidak mempunyai penama, waris terdekat juga boleh memohon pengeluaran simpanan KWSP arwah tetapi memerlukan beberapa dokumen sokongan yang menunjukkan hubungan dengan arwah dan surat kuasa daripada Amanah Raya Berhad (ARB).

Kesimpulannya, dalam mengeluarkan duit arwah dari bank dan KWSP, ia akan mengambil masa sedikit. Ada beberapa proses yang perlu dilalui terlebih dahulu.

Ada yang memakan masa 6 bulan ke 1 tahun, jadi pastikan waris ada duit simpanan untuk digunakan.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.