Institusi Perbankan Umum Pengurangan Kadar Asas


KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) — Bank Islam Malaysia Bhd, RHB Banking Group dan Public Bank Bhd telah menyemak semula kadar asas standard (SBR), kadar asas (BR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) masing-masing berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus hari ini.

Bank Islam berkata ia akan menurunkan SBR, BR dan BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.52 peratus dan 6.47 peratus setahun, berkuat kuasa 10 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata langkah strategik itu dijangka dapat menyokong aktiviti ekonomi dan menawarkan kelegaan kewangan kepada individu dan perniagaan dengan pembiayaan yang dikaitkan dengan SBR, BR atau BFR.

“OPR yang lebih rendah juga membolehkan Bank Islam meningkatkan kapasiti untuk merangsang portfolio pembiayaannya, mengukuhkan libat urus dengan pelanggan sambil mengekalkan kualiti aset.

“Sebagai bank yang dipacu oleh matlamat dan bertanggungjawab, kami melihat pengurangan OPR ini sebagai peluang untuk meneruskan peranan kami dalam memperkukuh daya tahan kewangan, khususnya bagi mereka yang paling terkesan akibat kenaikan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Begitu juga dengan RHB Banking Group yang akan menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.50 peratus dan 6.45 peratus setahun, berkuat kuasa 10 Julai.

Bank itu juga berkata kadar deposit tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Bank Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata pengurangan ini mencerminkan sokongan berterusan pihaknya terhadap usaha BNM untuk merangsang permintaan dalam negeri melalui dasar monetari yang akomodatif.

“Dengan mengurangkan kos pinjaman, kami membantu isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengurus komitmen kewangan mereka dengan lebih baik sambil menggalakkan penggunaan dan pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan global semasa,” katanya.

Sejajar dengan semakan itu, Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank berkata mereka akan menyemak semula kadar rujukan pinjaman dan pembiayaan masing-masing dengan pengurangan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus, berkuat kuasa pada 11 Julai.

Bank-bank berkenaan akan menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing kepada 2.75 peratus, 3.70 peratus dan 6.56 peratus setahun.

Kadar deposit tetap Affin Bank dan kadar deposit berjangka-i Affin Islamic juga akan diselaraskan turun pada tarikh yang sama.

Sementara itu, Public Bank berkata pihaknya akan menurunkan kadar SBR, BR, BLR/ BRF, masing-masing sebanyak 0.25 peratus, berkuat kuasa 11 Julai, 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata SBR bank ialah 2.75 peratus seiring dengan OPR manakala BR akan dikurangkan kepada 3.27 peratus daripada 3.52 peratus dan BLR/BFR akan dikurangkan kepada 6.47 peratus daripada 6.72 peratus.  

“Pada masa sama, kadar deposit tetap Public Bank juga akan diselaraskan menurun, berkuat kuasa pada tarikh yang sama,” katanya.

Alliance Bank Malaysia Bhd dan Alliance Islamic Bank Bhd juga mengumumkan penurunan kadar SBR, BR, BLR/BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.57 peratus dan 6.42 peratus setahun, berkuat kuasa 15 Julai, selaras dengan penurunan OPR oleh BNM.

“Sejajar dengan semakan itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank juga akan menurunkan kadar deposit tetap mereka pada tarikh yang sama,” katanya.

Maybank juga akan menurunkan kadar BR dan BLR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan 6.40 peratus setahun, berkuat kuasa pada 11 Julai, selaras dengan penurunan kadar OPR hari ini.

Bank itu berkata kadar pembiayaan asas Islam akan diturunkan sebanyak 25 mata asas daripada 6.65 peratus kepada 6.40 peratus setahun.

Selaras dengan semakan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas, berkuat kuasa pada hari yang sama.

— BERNAMA

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.