Kesan Yang Akan Berlaku Akibat Daripada Penutupan Agensi Kerajaan Oleh Presiden Donald Trump

Hanya tiga minggu sebelum tamatnya pengiraan fiskal suku tahun keempat untuk kewangan tahun lepas, Amerika Syarikat masih lagi dibelenggu dengan masalah yang belum selesai. Isu seperti  perang perdagangan di antara Amerika dan China, kadar faedah yang bakal ditetapkan oleh Federal Reserve untuk tahun ini dan yang paling menarik perhatian pelabur adalah drama di antara parti Republikan dan Demokrat berkenaan isu pembinaan tembok persempadanan di antara Amerika dan Mexico.

Isu tembok ini menjadi perdebatan hangat di antara parti Republikan dan Demokrat di dalam kongres negara tersebut.

Peserta Anti Trump membuat protes di hadapan Rumah Putih

‘Government Shutdown’ di Amerika Yang Berlanjutan

Rentetan daripada peristiwa ini, kerajaan dibawah pentadbiran Presiden Trump telah menutup semua agensi kerajaan sejak 22 Disember 2018 disebabkan keengganan pihak Kongres untuk meluluskan usul yang dibentangkan beliau. Sepertimana yang kita sedia maklum, Presiden Donald Trump berkeras mahu membina tembok pemisah di antara Amerika dan Mexico. Namun, penutupan agensi kerajaan ini bukanlah perkara asing bagi kerajaan dan di kalangan rakyat Amerika itu sendiri.

Penutupan agensi kerajaan akan berlaku sekiranya salah satu parti Republikan atau Demokrat tidak bersetuju di atas sesuatu isu yang diusulkan kepada kongres. Dalam peristiwa ini, parti Demokrat menentang usul yang dibawa oleh presiden Trump yang mewakili parti Republikan untuk membina tembok pemisah tersebut.

Presiden Trump yang sebelum ini sangat lantang menentang kemasukan pendatang tanpa izin ke dalam Amerika dan menyebabkan beliau bertindak untuk membina tembok pemisah di antara sempadan Amerika dan Mexico. Alasan yang diberikan beliau adalah untuk memastikan keselamatan Negara Amerika terjamin daripada serangan pengganas dan penyeludupan dadah dari negara Mexico.

Alasan yang diberikan oleh Donold Trump itu sangat rapuh dan menyebakan kongres tidak meluluskan cadangan beliau yang dilihat tidak menguntungkan ekonomi Amerika itu sendiri. Sebelum ini pun, tiada serangan pengganas dari sempadan Mexico dan hanya penyeludupan dadah sahaja yang berlaku, tetapi dapat dikawal oleh agensi Drug Enforcement Administration (DEA).

Apa yang menarik mengenai penutupan agensi kerajaan ini adalah, ianya merupakan peristiwa yang paling lama dalam sejarah penubuhan Negara Amerika. Kerajaan di bawah pimpinan Presiden Trump masih lagi mahu meneruskan agenda mereka dan sanggup mengambil risiko dengan menutup agensi kerajaan. Ianya kerana itu adalah salah satu manifesto yang telah dijanjikan beliau terdahulu sebelum menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Pembinaan tembok keselamatan yang dirancang oleh Presiden Trump sepanjang sempadan Amerika dan Mexico

Tiada Gaji Untuk Kakitangan Kerajaan

Pada ketika ini, kesan pertama yang boleh dilihat akibat daripada tindakan Presiden Trump ini dirasai oleh golongan sektor kerajaan. Kesan dari penutupan agensi kerajaan oleh Presiden Trump ini, adalah gaji golongan ini dibekukan atau dengan kata lain bekerja tanpa dibayar gaji walaupun satu sen.

Sebanyak 800,000 orang pekerja kerajaan yang terlibat dalam krisis ini, 400,000 daripada jumlah tersebut diklasifikasi sebagai pekerja kurang penting dalam pentadbiran seperti penjaga muzium dan penjaga taman negara. Sebahagian daripada mereka  telah pun pulang ke kampung halaman masing-masing di atas arahan pihak atasan. Mereka akan kembali bertugas selepas isu ini selesai. Kontraktor yang mempunyai kontrak dengan kerajaan turut terkesan dengan tindakan Presiden Trump ini.

Seminggu Rugi $1.2 Bilion USD

Kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan Amerika dibawah pentadbiran Presiden Trump akibat daripada peristiwa ini adalah sebanyak $1.2 bilion USD dalam masa seminggu yang menyamai 0.05 % GDP negara.Ini akan menyukarkan lagi proses untuk mencapai unjuran ekonomi Pentadbiran Presiden Trump iaitu sebanyak 3 peratus bagi pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat untuk tahun ini.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh S&P Global Ratings, mereka menjangkakan Kerajaan Amerika akan mengalami kerugian sebanyak 6 billion USD akibat daripada tindakan Presiden Trump. Krisis ini dijangka berlanjutan untuk tempoh dua minggu lagi, jika beliau masih kekal dengan pendirian untuk memaksa kongres membiayai pembinaan tembok di persempadanan Amerika dan Mexico.

Ini akan melebihi kos tuntutan Presiden Trump itu sendiri terhadap pembinaan tembok di sempadan Mexico dan Amerika, yang hanya mahukan kongres meluluskan perbelanjaan sebanyak $5.7 bilion USD untuk pembinaan tembok tersebut.

Pekerja sektor kerajaan membuat demonstrasi supaya penutupan agensi kerajaan dapat berakhir dengan segera

Pasaraya Yang Dikunjungi Pekerja Kerajaan Pun Terkesan

Di antara kesan lain yang timbul akibat kemelut ini ialah syarikat yang mempunyai rangkaian pasaraya. Paling terkesan ialah syarikat Best Buy, Bed Bath & Beyond, Ulta Beauty  dan Dick’s Sporting Goods, di mana kebanyakan pelanggannya adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Selain daripada itu juga, yang turut terkena tempias daripada peristiwa ini adalah rangkaian kopi paling popular iaitu StarbuckS yang mana kebanyakan rangkaian restoran perniagaanya terletak berhampiran dengan bagunan agensi kerajaaan. Saham syarikat Starbucks telah susut sebanyak 2% kesan daripada ‘Government Shutdown’ ini.

Jika Trump terus berdegil dengan keputusannya itu, tidak mustahil pekerja agensi kerajaan yang bertugas di bahagian tugasan penting seperti Agensi FBI, Tentera, Agensi Keselamatan Sosial dan pekerja Agensi Keselamatan Penerbangan akan membuat mogok secara besar-besaran. Urusan keluar masuk pelancong asing juga akan terjejas memandangkan pembaharuan pasport bergantung kepada kelulusan Kongres Amerika.

Jika hal ini berlaku, tidak mustahil ekonomi Amerika akan lumpuh dan akan menjejaskan ekonomi dunia pula.

Sumber Rujukan:

1. https://www.politico.com/story/2019/01/09/shutdowns-economic-damage-1-billion-a-week-1071609

2. https://www.cnbc.com/2019/01/11/shutdown-cou-mean-2-billion-less-consumer-spending-a-week-hitting-these-retailers-the-most.html

3. https://www.marketwatch.com/story/heres-how-a-looming-government-shutdown-could-affect-federal-services-and-stocks-2018-11-28

4. https://www.marketwatch.com/story/what-a-government-shutdown-could-mean-for-the-stock-market-2018-12-12

5. https://www.thebalance.com/government-shutdown-3305683

6. https://www.youtube.com/watch?v=Z0JupszeKIo

7. https://www.bbc.com/news/business-46815847

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.