Panduan Asas Sebelum Memilih Bantuan Bayaran Balik Pinjaman

Langkah Bank Negara Malaysia mengembalikan penawaran moratorium selama 6 bulan kepada individu tanpa syarat serta perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas merupakan satu inisiatif Kerajaan bagi membantu mengurangkan kesan negatif Covid-19 terhadap kewangan rakyat. Ia tentunya dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan terutamanya kepada mereka yang terjejas pendapatannya sewaktu negara berada dalam keadaan ‘lockdown’ yang berpanjangan.

Bagi yang terjejas, moratorium memberikan kelegaan, walaupun bersifat sementara, pada waktu yang amat diperlukan. Dengan adanya moratorium peminjam terjejas boleh memberi tumpuan untuk menyediakan keperluan asas keluarga dan usaha untuk menjana semula pendapatan tanpa perlu memikirkan bebanan hutang buat sementara waktu.

Ketahui Pilihan Yang Ada

Semua individu, perusahaan mikro dan PKS yang perniagaannya terjejas boleh memohon sama ada untuk mendapatkan moratorium selama 6 bulan atau pun pengurangan bayaran ansurans bulanan pinjaman. Kelulusan permohonan kepada individu dan perusahaan mikro adalah secara automatik dan tiada dokumen sokongan diperlukan.

Walau bagaimanapun, pemberian moratorium di bawah pakej rangsangan PEMULIH ini tertakluk kepada pinjaman yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tidak tertangguh lebih daripada 90 hari.

Pertimbangan Dalam Membuat Pilihan

Terdapat beberapa pilihan bantuan bayaran balik pinjaman yang boleh memenuhi keperluan individu, bergantung kepada situasi masing-masing. Berikut merupakan panduan pemilihan jenis bantuan bayaran balik pinjaman:  Pilihlah bantuan tersedia yang sesuai dengan situasi kewangan pemohon:

  • Peminjam yang menghadapi masalah aliran tunai yang serius akibat terputus pendapatan boleh memohon penangguhan bayaran bulanan selama 6 bulan;
  • Peminjam yang menghadapi pengurangan pendapatan boleh memohon untuk mengurangkan bayaran balik ansurans bulanan selaras dengan pengurangan pendapatan bulanan;
  • Peminjam yang mempunyai tunggakan bayaran melebihi 90 hari dan mempunyai masalah menjelaskan tunggakan tersebut boleh berhubung terus dengan pihak bank terlibat bagi penjadualan/ penstrukturan semula pinjaman atau hubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusaan Kredit di pautan htttps://services.akpk.org.my bagi bantuan penjadualan semula pinjaman secara holistik;
  • Peminjam yang tidak terjejas dan berkemampuan disarankan membuat bayaran ansurans bulanan seperti biasa.

Dapatkan Maklumat Sebelum Meneruskan Permohonan

Sebelum membuat permohonan penangguhan atau pengurangan bayaran ansurans bulanan, dapatkan jawapan kepada persoalan-persoalan berikut daripada institusi kewangan bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada pemahaman yang jelas akan kesan penangguhan ansurans bulanan terhadap pinjaman. Hubungi institusi kewangan melalui telefon, e-mel atau secara dalam talian:

  • Berapakah jumlah bayaran ansurans bulanan yang baru setelah bantuan berakhir.
  • Berapakah jumlah faedah/keuntungan yang akan dikenakan ke atas bayaran ansurans bulanan yang ditangguhkan
  • Adakah tempoh pinjaman/ pembiayaan akan dilanjutkan dan untuk tempoh berapa lama
  • Adakah keperluan untuk membuat bayaran tambahan sekaligus setelah bantuan berakhir? Bolehkah pembayaran tambahan ini dibuat secara ansuran?
  • Apakah yang patut dilakukan sekiranya pendapatan masih terjejas  setelah bantuan tamat?

Penilaian Tambahan Yang Perlu Diambil Kira

Dikongsikan maklumat tembahan yang perlu diketahui pemohon dalam menilai keperluan mengambil moratorium:

  • Sebagaimana moratorium terdahulu, pilihan bantuan bayaran balik dalam tempoh ini tidak akan menjejaskan laporan CCRIS pemohon dan tentunya memberikan kelegaan kepada pemohon.
  • Faedah akan terus dikenakan ke atas jumlah ansuran yang ditangguh. Walau bagaimanapun, pihak institusi kewangan tidak akan mengenakan ‘faedah atas faedah’ (faedah terkompaun) atau caj penalti lewat bayar sepanjang tempoh moratorium
  • Tempoh pinjaman mungkin menjadi lebih panjang selepas bantuan bayaran balik berakhir
  • Sekiranya pendapatan pemohon bertambah baik, pemohon boleh menghubungi institusi kewangan untuk membuat penyelarasan bayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi bagi mengurangkan tempoh dan kos pinjaman.

Hubungi institusi kewangan masing-masing melalui e-mel, panggilan telefon atau secara dalam talian bagi sebarang pertanyaan dan permohonan bagi mendapatkan moratorium. Permohonan moratorium telah dibuka seawal 7 Julai 2021 lagi.

Perkhidmatan AKPK sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, perkhidmatan AKPK masih boleh diakses oleh orang ramai secara dalam talian. AKPK menyediakan perkhidmatannya secara dalam talian secara holistik dan menyeluruh kepada individu dan PKS. Individu dan PKS yang ingin mendapatkan perkhidmatan AKPK boleh melayari https://services.akpk.org.my dan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK. 

– Selain itu, AKPK juga menyediakan panduan kewangan melalui modul-modul pendidikan kewangan di https://power.akpk.org.my

– AKPK juga menggunakan media sosial rasminya iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram dan Twitter untuk menyampaikan maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada perkhidmatan yang disediakan. 

– Orang ramai bolehlah menggunakan medium yang telah disediakan termasuk berhubung terus secara dalam talian dengan penasihat kewangan AKPK sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan AKPK.  #AKPK For All. #AKPK Sahabat Kewangan Anda.
– Akhir kata, AKPK juga tidak terlepas menjadi modal golongan tidak bertanggungjawab. AKPK seringkali menerima aduan tentang adanya pihak ketiga atau ejen yang mengaku mewakili AKPK dan mengenakan caj atau bayaran perkhidmatan. 

– AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga dan perkhidmatan AKPK adalah percuma kepada semua individu dan PKS. 

– Dinasihatkan untuk berhubung terus dengan AKPK atau insititusi kewangan dan badan autoriti yang sah bagi mendapatkan perkhidmatan atau nasihat kewangan agar tidak mudah ditipu. 

 Pelanggan hanya perlu memilih perkhidmatan yang diperlukan dan pegawai AKPK akan menghubungi pelanggan dalam masa terdekat.

Perkhidmatan AKPK diberikan secara percuma kepada semua individu dan PKS. AKPK juga tidak pernah melantik sebarang ejen atau pihak ketiga untuk berurusan dengan pelanggan.

Disediakan oleh: Junainah Ahmad Esa, Ketua Cawagan AKPK Kuala Terengganu

Anda Nak Beli Rumah, Tapi Adakah Anda Tahu Tahap Kewangan Anda?

Takut-takut ianya kurang memuaskan, nanti nak apply pinjaman tak lepas pula.

  • Bagaimana pula dengan hutang kad kredit, bayar tepat pada masanya atau tidak?
  • Pernahkah anda terlibat dengan sebarang masalah undang-undang atau muflis?
  • Berapa pula Debt to service ratio (DSR) anda?

Dengan TechRevo, kini anda boleh dapatkan laporan kewangan dengan cepat dan mudah.

Bukan itu sahaja, semua pengiraan berkenaan dengan permohonan pinjaman akan dilakukan berdasarkan apa yang bank mahu.

Yang lagi bestnya, di penghujung laporan nanti ada pilihan bank dengan tawaran terbaik khusus untuk anda.

Dengan harga promosi RM14.90, anda akan dapat:

✅ Ketepatan 99% pengiraan DSR + kelayakan pinjaman perumahan
✅ Laporan CCRIS untuk 12 bulan
✅ Kes undang-undang, muflis

Dapatkan laporan TechRevo hari ini juga -> https://tinyurl.com/techrevo

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.