Pemansuhan Kadar Faedah Rata Pinjaman Peribadi Boleh Kekang Hutang Isi Rumah, Risiko Bankrap

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) — Cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memansuhkan kadar faedah rata untuk mengira pembiayaan peribadi dilihat sebagai langkah penting ke arah menambah baik kesihatan kewangan isi rumah, kata seorang ahli ekonomi.

Menerusi Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi yang dikeluarkan pada 13 Dis 2024, BNM ingin mendapatkan input awam mengenai keperluan baharu untuk memansuhkan penawaran pembiayaan peribadi dengan caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kadar rata dengan kaedah Peraturan 78.

Bank pusat berkata langkah itu selaras dengan usaha bersama bank pusat, Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967, yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada separuh pertama 2025.

Menurut draf pendedahan itu, Peraturan 78 ialah kaedah yang digunakan secara meluas untuk mengira pembayaran balik pinjaman yang mengenakan caj faedah ke atas produk pembiayaan peribadi, yang memerlukan peminjam membayar kadar faedah yang lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman.

Ketua ahli ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata kadar faedah rata, digabungkan dengan Peraturan 78, sering menyebabkan peminjam membayar faedah tinggi lebih awal, memberi kesan yang tidak seimbang kepada mereka yang membayar balik awal.

“Peraturan 78 yang memastikan faedah maksimum dibayar pada permulaan bermakna peminjam membayar sebahagian besar daripada jumlah faedah pada peringkat awal pinjaman.

“Ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada mereka yang mempunyai pinjaman jangka panjang, kerana pembayaran balik awal tidak menghasilkan penjimatan yang ketara, menjadikan pembiayaan peribadi lebih mahal bagi peminjam yang mungkin ingin menjelaskan pinjaman lebih awal,” katanya kepada Bernama.

Bank dan pengguna boleh sesuaikan diri dengan persekitaran baharu

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pemansuhan Peraturan 78 boleh menggalakkan peminjam menyelesaikan pinjaman mereka lebih awal dengan mengurangkan beban kewangan pembayaran faedah.

“Jumlah prinsipal pembiayaan dibayar dalam bahagian yang lebih besar berbanding bahagian keuntungan (faedah),” katanya kepada Bernama sambil mencadangkan ini boleh menjadi insentif untuk penyelesaian pinjaman awal yang seterusnya memberi manfaat kepada kesihatan kewangan jangka panjang peminjam.

Beliau berkata bank-bank bertindak pantas kerana mereka mempunyai jawatankuasa aset dan liabiliti  untuk memutuskan kecairan dan permintaan untuk pembiayaan.

“Bank-bank akan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu itu,” ujarnya.

Sementara itu, Firdaos mencadangkan peralihan itu tidak perlu terlalu mencabar kerana kebanyakan institusi kewangan sudah mengiktiraf faedah menggunakan kadar faedah efektif (EIR).

“Bagi penyedia ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL), walaupun perubahan itu mungkin memerlukan keperluan pematuhan tambahan, ia tidak dijangka menghalang mereka daripada menyediakan perkhidmatan kepada jumlah pengguna yang lebih besar. 

“Peralihan itu malah boleh meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk sedemikian dengan menggalakkan amalan yang lebih adil,” katanya.

Impak ke atas kadar bankrap

Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi BNM mendedahkan bahawa pada akhir 2023, hutang isi rumah agregat berjumlah RM1.53 trilion, dengan 12.6 peratus dikaitkan dengan pembiayaan peribadi.

Pembiayaan peribadi juga dikenal pasti sebagai salah satu penyumbang utama kepada kebankrapan, menyumbang 46.26 peratus daripada jumlah kes muflis pada 2023.

Pada akhir April 2024, 32.8 peratus daripada kemudahan pinjaman yang didaftarkan dalam Program Pengurusan Hutang Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terdiri daripada pembiayaan peribadi.

Firdaos berpendapat walaupun dasar baharu itu mungkin membantu, namun ia bukan penawar kepada muflis.

“Walau apapun, langkah BNM itu adalah satu langkah ke arah yang betul untuk menangani isu struktur dalam pembiayaan peribadi. Walaupun ia boleh membantu mengurangkan kadar muflis, intervensi tambahan tetap perlu, termasuk daripada perspektif fiskal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) Amina Kayani bersetuju bahawa pemansuhan Peraturan 78 mungkin boleh membantu meringankan sedikit beban kewangan peminjam, tetapi menangani kebankrapan memerlukan pendekatan yang holistik.

“Ini termasuk menggalakkan celik kewangan, menggalakkan peminjaman yang bertanggungjawab, dan menyokong penyelesaian pengurusan hutang yang mudah,” katanya.

Amina berkata cadangan pemansuhan Peraturan 78 oleh BNM itu sejajar dengan komitmen ABM untuk menyokong sektor kewangan yang adil dan telus serta kesejahteraan pengguna.

“ABM dan bank ahli kami akan bekerjasama rapat dengan BNM untuk melaksanakan sebarang perubahan secara berkesan berdasarkan dokumen dasar terakhir mengenai pembiayaan peribadi yang akan dikeluarkan pada masa hadapan sambil menangani sebarang butiran operasi sepanjang tempoh itu,” katanya.

Cabaran bayaran balik pinjaman yang tinggi

Di bawah keperluan am bagi produk pembiayaan peribadi, tempoh pinjaman tidak melebihi 10 tahun.

Oleh itu, BNM juga sedang mendapatkan maklum balas orang ramai untuk mengurangkan tempoh maksimum produk pembiayaan peribadi kepada tujuh tahun, seperti yang dilaksanakan di negara lain seperti Australia dan Singapura.

Mohd Afzanizam mengalu-alukan perubahan yang dicadangkan itu, khususnya bagi potensi kewangan isi rumah yang lebih sihat.

“Ia adalah langkah positif kerana matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan keadaan kewangan yang sihat bagi peminjam. Mengurangkan tempoh kepada tujuh tahun bermakna keterhutangan isi rumah dihadkan kepada tujuh tahun dan bukannya tempoh maksimum 10 tahun.

“Jadi dari segi pembayaran balik bulanan, ia akan menjadi lebih tinggi sedikit, dan oleh itu, peminjam perlu mengukur sebaik mungkin kemampuannya apabila mereka ingin memohon pembiayaan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Amina berkata tempoh 10 tahun memberikan fleksibiliti kepada peminjam, terutamanya dalam menguruskan pembayaran balik bulanan mampu milik.

“Mengurangkan tempoh untuk sejajar dengan negara lain, seperti Australia dan Singapura, akan memerlukan penilaian teliti untuk memastikan kebolehcapaian tidak terjejas bagi segmen berpendapatan rendah,” katanya.

— BERNAMA

Diterbitkan semula dari berita di TheKapital

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.