Pembiayaan Mikro BangKIT Bank Islam untuk Pelajar dan Usahawan Muda

Bank Islam Berhad Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa Skim pembiayaan mikro BangKIT akan ditawarkan kepada pelajar dan usahawan muda. Usaha ini dibuat melalui kerjasama bersama Universiti Malaysia Kelantan dan Majlis Belia Malaysia.

Pada awal pelancaran skim ini pada November tahun lepas, sebanyak RM2 telah juta diperuntukkan kepada 300-350 penerima yang ingin memulakan perniagaan dengan pembiayaan sebanyak RM500 sehingga RM3,000 dan bayaran semula dalam tempoh 6 bulan sehingga 3 tahun.

Bagi perniagaan yang telah wujud dan ingin berkembang, pembiayaan sehingga RM20,000 ditawarkan.

Menariknya, skim ini ditawarkan atas konsep Qardh Hasan (QH) atau pinjaman tanpa faedah dan keuntungan kepada Bank. Ia dikatakan konsep pertama di Malaysia yang menggunakan dana awam melalui dana sedekah daripada orang awam dan diberikan kepada penerima secara QH untuk tujuan melaksanakan perniagaan.

Bank Islam memaklumkan bahawa antara objektif skim ini adalah bagi membuahkan kesedaran akan konsep pembiayaan mikro Islamik.

Mereka menjangkakan skim ini akan diperluaskan dengan dana kutipan sehingga RM20 juta yang akan memberi manfaat kepada 3,000 – 3,500 penerima dalam masa lima tahun.

QH bermaksud Pinjaman yang Baik adalah satu kontrak pinjaman yang kerap kali disebut dalam Al-Quran.

QH adalah satu kontrak antara penghutang dengan peminjam dimana penghutang memberi pinjam kepada peminjam dan peminjam berjanji akan membayar kembali kepada penghutang sama seperti nilai harta yang dipinjamkannya dan tidak lebih daripada itu dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Ia satu konsep yang bertepatan dengan ayat kedua surah Al-Maidah:

“Dan tolong menolong kamu dalam berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong untuk berbuat dosa dan permusuhan”

Di dalam ayat 245, surah Al-Baqarah Allah berfirman tentang QH:

”Siapakah yang mahu meminjamkan pinjaman kepada Allah dengan Qardhul Hasan, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya dijalan Allah), maka Allah melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan penggandaan yang bayak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepadanyalah kamu dikembalikan.”

Bagi pelajar-pelajar dan usahawan muda, rebutlah peluang ini dan hubungilah pihak Bank Islam berdekatan dengan anda.

QH adalah satu skim atau kontrak pinjaman yang sangat dituntut oleh Allah, semoga ia menjadi amalan kita dalam membantu sahabat-sahabat dan orang sekeliling kita.

Namun bagi peminjam, jangan juga lupa membayar hutang kerana tidak membayar hutang buruk padahnya di akhirat kelak.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan pemegang sijil Islamic Financial Planner (IFP). Merupakan lepasan Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di ar***********@gm***.com .

Soalan-soalan lazim untuk Pembiayaan Mikro BangKIT -> Klik di sini untuk Soalan-Soalan Lazim

Lembaran Maklumat Produk -> Klik di sini untuk muat turun (versi Bahasa Malaysia)

Brosur Pembiayaan Mikro BangKIT -> Klik di sini untuk muat turun

Previous ArticleNext Article

Teraju Akan Wujudkan Dana RM1 Bilion Untuk Bantu Perusahaan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan mewujudkan dana agregat sebanyak RM1 bilion untuk syarikat bumiputera dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi, berkata dana itu akan dilaksanakan dengan sokongan rakan usaha sama.

“Kami akan memilih beberapa bank perdagangan dan institusi kewangan pembangunan sebagai rakan kongsi.

“Dana itu akan diagihkan dalam bentuk pinjaman. Kami akan berbincang dengan rakan kerjasama untuk merendahkan kadar faedah pinjaman di bawah kadar pasaran (supaya ia) menarik kepada syarikat bumiputera,” katanya kepada Bernama di luar program Mempertingkat Penciptaan Nilai Bumiputera di sini hari ini. 

Menurutnya dana agregat berjumlah RM1 bilion itu menggunakan kaedah leveraj dan penggandaan.

“Ini bererti, dengan (setiap) RM1 yang dibelanjakan kerajaan untuk syarikat bumiputera, menggunakan komitmen itu, rakan kerjasama akan memberikan lima kali ganda jumlahnya. Kami juga tidak akan menumpukan kepada geran selepas ini, tetapi kepada pinjaman seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan saiz dana itu, Teraju menyasarkan untuk meningkatkan pertumbuhan sehingga 5,000 perusahaan bumiputera dan memudahkan penskalaan 1,000 perusahaan bumiputera menjelang 2030.

Teraju akan bekerjasama dengan institusi kewangan seperti Bank Muamalat Malaysia Bhd, RHB Islamic Bhd, MIDF Bhd, MBSB Bank Bhd, Sabah Credit Corporation, Maybank Islamic Bhd, SME Bank, Agrobank, Bank Rakyat, Credit Guarantee Corporation, Exim Bank, Pernas dan Development Bank of Sarawak, untuk mewujudkan kemudahan pembiayaan bernilai RM 1bilion untuk syarikat bumiputera.

— BERNAMA