Perceraian Bill Gates Dan Melinda, Apakah Nasib Yayasan Bill & Melinda Gates?

“Rezeki, jodoh dan kematian adalah rahsia Tuhan”.

Kita tidak dapat menjangka dengan tepat bila perkara tersebut akan berlaku kepada diri kita atau orang lain.

Begitulah yang terjadi apabila dunia dikejutkan dengan pengumuman pasangan terkenal iaitu Bill Gates dan Melinda yang telah memfailkan perceraian setelah 27 tahun hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Penceraian mereka berdua telah menjadi isu sensasi walaupun mereka bukanlah selebriti Hollywood. Pasangan ini terkenal dengan kerja amal yang dilakukan oleh mereka melalui yayasan yang ditubuhkan pada tahun 2000 ini.

Berita ini amat mengejutkan kerana dikatakan pasangan ini sangat mesra di depan khalayak ramai mahu pun di media sosial.

Kredit Gambar: Money Control

Sebelum ini, jiran mereka iaitu Jeff Bezos yang merupakan lelaki terkaya di dunia telah mengalami nasib yang sama pada tahun lepas.

Punca keretakan rumah tangga Jeff Bezos adalah disebabkan Jeff Bezos telah bermain kayu tiga di belakang isterinya. Kali ini pula tidak dapat dipastikan dengan tepat apa yang berlaku di dalam rumah tangga Bill Gates yang mengakibatkan perceraian ini.

Baca: Perceraian Jeff Bezos Berkemungkinan Memberi Impak Kepada Harga Saham Dan Hala Tuju Syarikat Amazon

Apa yang menjadi perhatian umum bagi masyarakat dunia adalah bukan sahaja isu perceraian mereka berdua, tetapi apakah nasib Yayasan Bill & Melinda Gates di mana mereka berdua memainkan peranan penting terhadap hala tuju yayasan tersebut.

Mengikut undang-undang di Amerika Syarikat, mana-mana pasangan yang bercerai, harta yang dimiliki oleh si suami akan dibahagi kepada dua bahagian.

Jika perkara ini berlaku, ia akan menjejaskan kekayaan Bill Gates dan juga yayasan yang mereka tubuhkan tersebut. Ini kerana yayasan tersebut ditubuhkan hasil dari kekayaan Bill Gates untuk beroperasi.

Baca: Telefon Pintar Jeff Bezos Dipercayai Telah Digodam

Sejarah Penubuhan Yayasan Bill & Melinda Gates 

Yayasan ini telah ditubuhkan pada tahun 2000. Sebelum yayasan ini ditubuhkan, Bill Gates telah mula berjinak-jinak dengan dunia philanthropist sejak dari tahun 1994 lagi.

Pada ketika itu, bapanya William H. Gates Sr. menubuhkan Gates Foundation untuk fokus kepada penyelidikan tentang kesihatan. Pada tahun 1997, Bill Gates sendiri telah menubuhkan Gates Library Foundation.

Yayasan ini pula fokus terhadap memberi kemudahan internet percuma untuk rakyat Amerika Syarikat melalui perpustakaan awam di sana. Kedua-dua yayasan ini kemudiannya bergabung dan diselaraskan di bawah Yayasan Bill & Melinda Gates secara rasminya pada tahun 2000.

Sumbangan Yayasan Bill & Melinda Gates  

Yayasan ini banyak memainkan peranan penting terutamanya dalam menaik taraf kehidupan manusia di dunia ketiga. Mereka mempunyai matlamat untuk mengurangkan jangkitan penyakit berbahaya kepada masyarakat Afrika yang sering terdedah dengan pelbagai penyakit disebabkan sistem kesihatan di benua tersebut berada di tahap yang teruk.

Kredit Gambar: Gates Foundation

Sepanjang penubuhan yayasan ini, Yayasan Bill & Melinda Gates  telah menggunakan hampir USD50 bilion untuk membangunkan pelbagai bantuan penyelidikan terutamanya ketika berlakunya krisis penyakit berjangkit seperti ebola.

Ketika pandemik Covid-19 yang berlaku pada tahun lepas, yayasan ini juga menyuntik dana penyelidikan kepada beberapa syarikat farmaseutikal untuk mencari vaksin yang sesuai.

Masa Depan Yayasan Bill & Melinda Gates 

Kini degan berlakunya perceraian mereka berdua, ramai yang berpendapat yayasan ini akan turut mengalami kesannya. Ada pihak yang mendakwa mereka akan membubarkan yayasan tersebut dan menubuhkan yayasan masing-masing.

Ini kerana ada pihak yang mendakwa adalah begitu sukar untuk mereka bekerjasama selepas mereka berpisah secara rasmi.

Kredit Gambar: Reuters

Walaubagaimanapun, Bill Gates melalui kenyataan media sosialnya berkata, beliau dan Melinda akan menuruskan yayasan ini seperti sedia kala dan hubungan perceraian yang berlaku di antara mereka berdua tidak akan menjejaskan peranan dan visi yayasan tersebut di masa hadapan.

Semoga usaha murni mereka dalam membantu orang ramai dapat diteruskan, walaupun mereka tidak lagi bersama.

Baca: Sebelum Bill Gates Nak Kahwin Dengan Melinda, Beliau Siap Buat Penyelidikan Algoritma

Sumber Rujukan:

Sesiapa yang rasa nak mulakan perubahan tetapi masih rasa kurang keyakinan diri. Rasa lemah semangat untuk bertindak. Rasa macam semua benda dia buat, tak menjadi. Penat buat kerja. Pernah rasa nak GIVE UP! Hampir BURN OUT!

Dapatkan buku “Percaya Sebelum Berjaya” Edisi Terkini. Apa bestnya buku ni?

InsyaAllah, Buku PSB ni telah terbukti membantu beribu pembacanya untuk:

🔥 Lebih bermotivasi untuk mengejar impian dan cita-cita

🔥 Lebih keyakinan untuk berhadapan dan mengatasi masalah yang menghalang impian tercapai

🔥 Lebih jelas bagaimana untuk mengatasi mental block yang menyebabkan usaha anda terbantut

🔥 Lebih konsisten dengan usaha dan tindakan agar pantas mencapai kejayaan.

🔥 Mencapai ketenangan yang luar biasa kerana mampu berdamai dengan kekecewaan demi kekecewaan

Dapatkannya sekarang di -> www.PercayaBerjaya.com

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.