Sekarang Dah Boleh Keluar Duit Dari ASNB Secara Online Melalui myASNB

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat pengurusan unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan kemudahan pengeluaran pelaburan secara dalam talian untuk tabung-tabung unit amanah terpilih di bawah pengurusannya menerusi portal myASNB bermula hari ini.

Kemudahan ini bertujuan memberi lebih fleksibiliti kepada para pelabur dalam pengurusan pelaburan masing-masing dan pada masa yang sama, dapat memastikan mereka kekal fokus terhadap objektif pelaburan, khususnya bagi mengimbangi keperluan kewangan semasa dan jangka panjang.

Ini selaras dengan komitmen ASNB untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelabur, terutamanya dalam memastikan keperluan kewangan pelabur dapat dipenuhi pada setiap masa.

Menerusi kemudahan pengeluaran ini, pemegang unit boleh mengeluarkan wang pelaburan dari mana-mana akaun unit amanah ASNB kecuali ASN Sara 2 dan ASN Equity 5. Jumlah tersebut seterusnya akan dipindahkan ke akaun bank pelabur yang didaftarkan di myASNB pada hari bekerja yang berikutnya.

Waktu pengeluaran dibenarkan adalah mengikut waktu operasi sedia ada portal myASNB iaitu:

Unit Amanah Harga Tetap
7:00 pagi – 6:00 petang waktu tempatan, Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum

Unit Amanah Harga Berubah
7:00 pagi – 4:00 petang waktu tempatan, Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum

Pemegang unit dibenarkan membuat pengeluaran dengan jumlah minimum sebanyak RM100 bagi setiap transaksi. Walau bagaimanapun, kemudahan pengeluaran menerusi myASNB ini dihadkan kepada tiga kali transaksi setiap bulan dengan jumlah maksimum terkumpul sebanyak RM500 dari mana-mana akaun unit amanah ASNB pelabur.

Kemudahan pengeluaran dalam talian ini juga akan ditawarkan menerusi aplikasi mudah alih myASNB bermula 27 April 2020.

Untuk maklumat lanjut, para pemegang unit boleh merujuk kepada soalan-soalan lazim di www.asnb.com.my atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan ASNB di talian 03–7730 8899.

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah syarikat pengurusan unit amanah PNB dengan 32 pejabat cawangan dan lebih 2,700 cawangan ejen seluruh negara. ASNB kini mengurus 14 dana unit amanah yang menghampiri 254 bilion unit dalam edaran (UIC) dan 14.1 juta akaun. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.asnb.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899.

Sumber: Laman Web ASNB (fail PDF)

Nak tahu cara-caranya, jom tengok 7 Langkah Nak Keluar Duit Dari ASNB Secara Online Melalui myASNB.

Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.