
Lebih daripada 5.2 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) membuat tuntutan faedah pengangguran dalam laporan mingguan yang diumumkan oleh Jabatan Buruh pada Khamis (16 April 2020).
Ini juga adalah minggu keempat di mana data ini mencatat bacaan lebih daripada tiga juta pengangguran yang membawa jumlah semasa kepada 22 juta pengangguran di negara itu sejak pertengahan bulan Mac 2020.
Empat minggu terakhir itu merekodkan peningkatan paling mendadak dalam jumlah pengangguran sejak Jabatan Buruh AS mula mengumpul data ini pada tahun 1967.

Ia sebenarnya tidak dapat ditampung oleh pihak Jabatan Buruh apabila ribuan orang memfailkan tuntutan setiap minggu di semua negeri di Amerika Syarikat.
Terdapat laporan bahawa ramai daripada mereka tidak berjaya mendapatkan faedah tersebut kerana jumlah permintaan yang tinggi dalam satu masa dengan kekangan staf Jabatan Buruh yang tidak mencukupi untu memproses tuntutan tersebut.
Oleh itu, jumlah sebenar yang kehilangan pekerjaan mungkin lebih tinggi kerana tidak semua orang dapat memohon faedah pengangguran. Ada yang tidak berkelayakan dan gagal menembusi capaian laman web Jabatan Buruh untuk memohon faedah tersebut.
California sekali lagi merekodkan jumlah tuntutan tertinggi dengan 660,966 dengan New York sebagai pusat penularan wabak Covid-19 di Amerika Syarikat mencatat 395,949 tuntutan. Kebanyakan mereka yang dibuang kerja adalah disebabkan penutupan restoran, kelab, hotel dan sektor peruncitan.

Kadar pengangguran semasa di Amerika Syarikat adalah 4.4% meningkat daripada paras 3.5% yang dicatatkan pada bulan Februari yang lalu. 3.5% adalah kadar terendah yang pernah dicapai sejak 50 tahun yang lalu.
Namun, dengan jumlah pengangguran yang tinggi sejak sebulan lepas berkemungkinan kadar pengangguran ketika ini telah mencecah 17% jauh lebih tinggi daripada 10% yang dicatatkan pada tempoh kemelesetan tahun 2008.
Tempoh kemelesetan yang pernah berlaku pada 2007 hingga 2009 hanya merekodkan jumlah tuntutan pengangguran sebanyak 8.6 juta orang. Itupun ia berlangsung selama dua tahun yang mana jauh lebih rendah daripada 22 juta tuntutan yang direkodkan sejak empat minggu lepas. Jumlah pengangguran di AS akan terus meningkat dari masa ke semasa selagi penularan Covid-19 berterusan.

Walaubagaimanapun, data terkini di kebanyakan negeri di Amerika Syarikat menunjukkan jumlah tuntutan berkurangan jika dibandingkan pada minggu sebelumnya sekaligus memberi isyarat jumlah pengangguran kian perlahan.
Dengan semakin ramai jumlah rakyat di AS yang kehilangan pekerjaan, tekanan semakin tinggi kepada kerajaan negara itu untuk membuka semula ekonomi.
White House telah mengeluarkan rancangan untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur dalam usaha mengurangkan impak penularan Covid-19 terhadap ekonomi Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang banyak bergantung kepada perbelanjaan pengguna dengan kebergantungan yang tinggi terhadap sektor perkhidmatan sebanyak 70%. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah berada dalam keadaan optimum dengan kadar pengangguran tidak melebihi 5%.
Pentadbiran Presiden Trump telah mengemukakan cadangan kepada gabenor-gabenor di negara itu tentang panduan bagaimana mereka patut membuka semula ekonomi di negeri masing-masing. Walaubagaimanapun, Trump mahu ia dilakukan dengan cukup berhati-hati dan mengakui tidak semua negeri dapat melonggarkan kawalan pergerakan dalam masa yang sama.
Gabenor Andrew Coumo (New York) telah berkata bahawa penutupan ekonomi di negeri itu akan diteruskan sekurang-kurangnya sehingga 15 Mei 2020. Negeri-negeri lain juga berpendapat tempoh berkurung tidak akan berakhir dalam masa yang terdekat ini.
Presiden Trump sebagaimana berkata,”Kami akan membuka beberapa negeri lebih awal,” katanya dalam sidang media pada Rabu (15 April 2020).
Walaubagaimanapun, Trump berkata ia terpulang kepada gabenor-gabenor negeri sama ada mahu membuka semula negeri mereka atau sebaliknya di mana kerajaan pusat hanya akan memberikan garis panduan.
Sumber Rujukan:
- https://www.investing.com/news/economic-indicators/us-initial-jobless-claims-fall-to-524-million-housing-starts-plunge-2142034
- https://www.csmonitor.com/Business/2020/0416/Jobless-claims-reach-22-million-in-US-due-to-mass-layoffs
- https://www.businesstimes.com.sg/government-economy/us-weekly-jobless-claims-top-52m-in-latest-week
- https://www.bloomberg.com/news/articles/2020-04-16/u-s-jobless-claims-total-5-25-million-in-week-four-of-lockdown
- https://edition.cnn.com/2020/04/16/economy/unemployment-benefits-coronavirus/index.html
Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.