Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2022 Untuk Memacu Agenda Literasi Kewangan Malaysia

Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan (NFLS) 2022 anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini telah membincangkan pelbagai isu berkaitan literasi dan rangkuman kewangan, yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan kewangan rakyat Malaysia. Simposium tersebut dianjurkan bersama oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) bersempena dengan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2022, sebuah acara tahunan yang berlangsung selama sebulan pada setiap bulan Oktober.

Bertemakan ‘Advancing Financial Literacy Towards Rebuilding Financial Resilience Post-Pandemic’, simposium tersebut telah menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik dan kumpulan pemikir (think-tanks), bersama penggubal polisi dan pengamal industri untuk menjana idea baharu bagi mencapai hasil strategik yang dijangkakan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022 – 2026 dan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan (2019 – 2023).

Timbalan Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour dalam ucaptama beliau di NFLS 2022, menekankan bahawa “pandangan yang diperolehi daripada penyelidikan adalah penting untuk membangunkan intervensi bersasar bagi menangani keperluan pendidikan kewangan dalam kalangan penduduk Malaysia”. 

Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan Dari Segi Permintaan (Financial Capability and Inclusion Demand Side Survey – FCI) 2021 yang dilaporkan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama BNM 2022, mendedahkan kesan ke atas keupayaan kewangan rakyat Malaysia berbeza akibat pandemik COVID-19. Secara positif, pandemik ini telah mendorong rakyat Malaysia untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih berhati-hati ketika berhadapan dengan tempoh yang sukar, manakala ramai pula yang menghadapi kesukaran untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menangani situasi mereka. 

“Oleh itu, dapatan daripada Kaji Selidik FCI 2021 telah memberikan input bernilai dalam memfokuskan semula pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 – 2023”.

Menurut Tan Sri Dr. Rahamat Bivi Yusoff, Pengerusi PIDM, “Simposium ini telah mengetengahkan pelbagai penyelidikan mengenai literasi kewangan dan menghasilkan beberapa pandangan berharga yang boleh membantu penggubal polisi, pengamal industri dan pendukung literasi kewangan bagi membangunkan strategi yang lebih berkesan dalam menyediakan pendidikan kewangan yang lebih mampan dan berimpak kepada rakyat Malaysia”.

NFLS 2022 telah dianjurkan dengan tujuan untuk memangkinkan penyelidikan mengenai literasi kewangan dan merapatkan jurang antara teori dan amalan, serta membawa lebih banyak pendekatan berasaskan bukti bagi penggubalan polisi dan pelaksanaan strategi untuk mencapai hasil yang diinginkan.  

Simposium tersebut menampilkan barisan penceramah, moderator, ahli panel termasuk wakil kanan daripada FEN, industri kewangan, ahli akademik dan kumpulan pemikir (think-tanks), serta penyertaan antarabangsa daripada Money and Pensions Service United Kingdom (MaPS), Behavioural Insights Team, dan pelbagai institusi lain seperti Alliance for Financial Inclusion (AFI) dan The World Bank Group.

Sebelum NFLS 2022, sebanyak 62 serahan ringkasan penyelidikan telah diterima daripada penyelidik tempatan dan luar negara yang kemudian disenarai pendekkan kepada 20 kertas kerja meliputi pelbagai dimensi literasi kewangan, yang termasuk:

  • Pengalaman konsumer daripada pandemik COVID-19
  • Hubungan polisi literasi kewangan dan rangkuman kewangan
  • Tingkah laku kewangan golongan belia dan millennial
  • Literasi kewangan digital

Tiga kertas kerja yang terbaik telah menerima anugerah, iaitu:

  • ‘Does Financial Literacy improve Financial Inclusion in Developing Countries? A Nonlinearity and Quantile Regression Analysis’ oleh Abd Rahim Md Jamil, Law Siong Hook, dan Mohamad Khair Afham (Universiti Putra Malaysia, Malaysia);
  • ‘The Impact of Classroom Financial Education Program: An Experimental Study Among Low Self-Control Young Adults’ oleh Amer Azlan Abd Jamal (Universiti Malaysia Sabah, Malaysia), Karen Rowlingson (University of York, United Kingdom) dan Lee Gregory (University of Nottingham, United Kingdom); dan 
  • ‘Supporting SMEs Financial Resilience during Crises: A Framework to Evaluate the Effectiveness of Financial Literacy Programs Targeting SMEs’ oleh Dalal Aassouli (Hamad bin Khalifa University, Qatar) dan Habib Ahmed (Durham University, United Kingdom). 

20 kertas kerja terpilih tersebut akan diberi peluang penerbitan dalam satu jurnal akademik edisi khas. 

DITERBITKAN OLEH PERBADANAN INSURANS DEPOSIT MALAYSIA BAGI PIHAK JARINGAN PENDIDIKAN KEWANGAN.

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan

Ditubuhkan pada 2016, FEN bertindak sebagai satu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi bagi menambahkan impak inisiatif pendidikan kewangan dan mengenal pasti peluang-peluang baharu untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini dapat dilaksanakan melalui lebih banyak usaha penjajaran, kerjasama erat dan lebih tumpuan terhadap penilaian impak. Anggotanya terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.

FLM adalah acara tahunan utama bagi FEN yang menampilkan pelbagai inisiatif pendidikan kewangan (FE) bertujuan untuk mengetengahkan dan menangani isu-isu kewangan utama yang dihadapi oleh orang ramai. Pada tahun-tahun sebelum ini, FLM telah mencapai capaian yang luas dengan menganjurkan 250 program yang telah memanfaatkan lebih 14 juta rakyat Malaysia pada FLM2020 dan FLM2021.

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.