Ini 7 Cara Dapatkan Modal Untuk Bisnes. Usahawan Usah Gadai Tanah Mak Ayah!

Wan Zaleha Frozen

Walaupon ini zaman BR1M, namun semakin banyak kita dapat lihat usahawan-usahawan kecil Bumiputera yang membangun dari ‘zero to hero’. Nak jadi hero perlu ada modal. Salah satu cabaran kepada usahawan kita adalah modal. Memang modal bukan segalanya tapi merupakan salah satu faktor penyumbang yang boleh mempercepatkan perkembangan bisnes.

Logiknya Bumiputera perlukan modal yang efektif untuk berniaga. Mahu buka bisnes bernilai RM50,000 perlu ada wang tunai RM150,000.  RM50,000 untuk bisnes, bakinya untuk pengurusan, pemasaran dan modal menghadapi pelbagai masalah dalam perniagaan.

“Usahawan tak payahlah gadai tanah mak ayah semata-mata nak bisnes atau pinjam ‘Ah Long’ untuk buka kedai”

Mana nak dapat modal banyak tu?

Ada banyak saluran bantuan yang boleh kita cuba.
Yang penting kita cuba.

Sokongan Kewangan Untuk Perusahaan kecil dan Sederhana di Malaysia

Perusahaan kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia memainkan peranan yang sangat penting terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, di mana pertumbuhan dalam negara kasar (growth of domestic product) pada tahun 2016 ialah sebanyak 37 % dan dijangka meningkat kepada 38% pada tahun 2017.

Seiring dengan sumbangan kepada pertumbuhan dalam negara kasar, maka IKS menjadi sebuah industri yang menyumbang kepada pengurangan kemiskinan, mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat dan membantu mengurangkan kemiskinan.

Sejajar dengan kepentingan IKS kepada pertumbuhan ekonomi dan social di Malaysia, maka tahun 2017 telah diisytiharkan sebagai “Startup and SME Promotion Year”. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta untuk program di bawah Pelan Induk IKS, manakala sebanyak RM15 bilion untuk pelbagai skim di bawah Syarikat Kewangan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Berdasarkan kepada usaha kerajaan untuk menggalakkan IKS di Malaysia, peluang ini sepatutnya menjadi pemangkin kepada para usahawan IKS untuk melabur kepada pertumbuhan perniagaan mereka.

Sebelum itu, Fahamkan Maksud Perusahaan Kecil & Sederhana:

Mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan ke-14 pada bulan Julai 2013 telah meluluskan definisi baharu PKS yang merangkumi semua sektor iaitu perkhidmatan, pembuatan, pertanian, pembinaan dan perlombongan & pengkuarian.

Jumlah jualan tahunan dan bilangan pekerja sepenuh masa adalah dua kriteria yang digunakan bagi menentukan definisi dengan menggunakan asas “ATAU” seperti berikut:

  • Bagi sektor pembuatan, PKS ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta ATAU bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang.
  • Bagi sektor perkhidmatan dan sektor lain, PKS ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi RM20 juta ATAU bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang.

Sumber : SME Corp

Artikel ini akan menyenaraikan beberapa program bantuan kewangan yang telah diwujudkan oleh kerajaan yang dapat membantu usahawan IKS mengembangkan perniagaan mereka serta membantu individu-individu yang baru hendak memulakan perniagaan.

Bentuk bantuan kewangan ini juga pelbagai dan kebanyakannya tidak melibatkan penjamin, tidak memerlukan cagaran, boleh distruktur mengikut projek dan risiko yang rendah.

1. Soft Loan Schemes for Service Sector (SLSSS)

oleh Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF)

Program ini menyediakan bantuan pembiayaan untuk:

  • Syarikat baru – mencipta usahawan dalam bidang perkhidmatan yang baru;
  • Pengembangan / menaik taraf / pemodenan / kepelbagaian bagi penyedia perkhidmatan sedia ada ke dalam aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi dan meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan.
  • Kriteria untuk memohon: Syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965, 60% ekuiti oleh rakyat Malaysia, mempunyai premis yang sah.
  • Jumlah pembiayaan sehingga RM 5 juta dan kadar faedah untuk IKS ialah 4.0%.
  • Website dan nombor telefon: www.midf.com.my / 603 – 2173 8888

2. Soft Loan for SMEs (SLSME)

oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF)

Program ini memberikan bantuan terhadap projek, aset tetap dan pembiayaan modal kerja kepada syarikat yang baru bermula dan syarikat yang telah sedia wujud. Selain itu ianya juga membantu IKS yang beroperasi di premis yang tidak berlesen untuk memindahkan operasi mereka ke tapak atau premis yang sah.

Kriteria untuk memohon:

  • Syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965, 60% ekuiti oleh rakyat Malaysia, mempunyai premis yang sah.Jumlah pembiayaan:
  • Projek: jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta
  • Aset tetap: jumlah pembiayaan sehingga RM 5 juta
  • Pembiayaan modal kerja: jumlah pembiayaan sehingga RM 3 juta
  • Perkakasan dan perisian Teknologi maklumat: pembiayaan sehingga RM 500,000
  • Kadar faedah ialah sebanyak 4.0%
  • Website dan nombor telefon: www.midf.com.my / 603 – 2173 8888

3. Bumiputera Enterprise Enhancement Programme (BEEP)

oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia)

Program ini diwujudkan bertujuan untuk membangunkan usahawan IKS Bumiputera yang mempunyai potensi di seluruh Malaysia. Melalui program ini, usahawan IKS Bumiputera yang terpilih akan diberikan pakej yang komprehensif merangkumi bantuan kewangan dan khidmat nasihat.

Kriteria untuk memohon:

  • Berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965 / Pendaftaran Perniagaan 1956
  • Memenuhi kriteria IKS
  • 100% dimiliki oleh Bumiputera
  • Mempunyai lesen premis perniagaan yang sah
  • SCORE (minimum 1 bintang) atau MCORE (Tahap minimum 2)
  • Telah beroperasi sekurang-kurangnya 6 bulan
  • Jumlah pembiayaan ialah 50% daripada jumlah projek atau sehingga RM500,000
  • Website dan nombor telefon: www.smecorp.gov.my / 603 – 2775 6000

4. Business Start-Up Fund (BSF)

oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC)

Program ini bertujuan untuk menggalakkan dan memudahkan pertumbuhan usahawan teknologi dan syarikat yang baru memulakan perniagaan.

Kriteria untuk memohon:

  • Syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965
  • Minimum 70% ekuiti dimiliki oleh seorang usahawan Malaysia atau sekumpulan usahawan
  • Teknologi yang dicadangkan untuk dikomersialkan mestilah dari salah satu Kluster Teknologi Keutamaan
  • Produk mestilah penting dalam pembaharuan / inovasi.Jumlah pembiayaan:
  • Pembiayaan fleksibel melalui Nota Pertukaran (CN) dan / atau Saham Keutamaan maksimum sebanyak RM5.0 juta atau 90% daripada kos projek yang diiktiraf atau yang mana lebih rendah.
  • Tempoh bayaran balik CN dari bulan pertama tahun ke 4 secara bulanan dalam tempoh 5 tahun.
  • Website dan nombor telefon: www.mtdc.com.my / 603 – 2172 6000

5. Rural Economy Funding Scheme (SPED)

oleh Bank Kerjasama Rakyat / SME Bank

Program ini menyediakan pembiayaan bagi usahawan IKS luar bandar dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan luar bandar.

Kriteria untuk memohon:

  • Perniagaan adalah 100% milik Bumiputera
  • Perniagaan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  • Memperoleh lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan
  • Keutamaan bagi perniagaan yang terletak di kawasan luar bandar
  • Usahawan terlibat dalam perniagaan secara sepenuh masa
  • Premis perniagaan dipisahkan dari premis kediaman.
  • Sekiranya premis perniagaan ditubuhkan di atas tanah yang tidak dimiliki oleh pemohon, persetujuan pemilik tanah hendaklah diperoleh dan kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan / ‘Pentadbiran Tanah Daerah’ (bagi tanah milik Kerajaan)
  • Usahawan atau syarikat tidak pernah memperoleh pembiayaan daripada bank atau institusi kewangan lain dan pembiayaan lain yang melebihi RM250,000.00 (tidak termasuk pembiayaan untuk rumah pertama). Walau bagaimanapun, pembiayaan SPED masih boleh digunakan jika pembiayaan tersebut telah dibayar sekurang-kurangnya 75%
  • Pemohon tidak berusia lebih 60 tahun.Jumlah pembiayaan:
  • RM20,000.00 sehingga maksimum RM250,0000.00 (untuk usahawan yang beroperasi kurang dari 3 tahun)
  • RM20,000.00 sehingga maksimum RM500,000.00 (untuk usahawan yang beroperasi lebih dari 3 tahun)
  • Website dan nombor telefon: www.smebank.com.my / 603 – 2615 2020 dan www.bankrakyat.com.my / 1 – 300 – 88 – 12265

6. Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM)

oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA)

Skim ini menyediakan kemudahan pembiayaan kewangan kepada usahawan Bumiputera di Malaysia.

Kriteria untuk memohon:

  • Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas
  • Berpengalaman / berpengetahuan dalam bidang perniagaan yang diceburi
  • Mempunyai lesen / permit / surat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan tersebut
  • Dapat menyumbangkan modal sendiri tidak kurang 10% daripada kos projek
  • Usahawan hendaklah melibatkan diri sepenuh masa dalam perniagaanJumlah pembiayaan:
  • Syarikat Milikan Tunggal/Perkongsian : RM 250,000.00
  • Syarikat Sendirian Berhad : RM 500,000.00
  • Website dan nombor telefon: mara.gov.my / 603 – 2613 2000

7. Micro Enterprise Fund (MEF)

oleh Bank Negara Malaysia (BNM)

Program ini diwujudkan untuk menyediakan akses berterusan terhadap pembiayaan kewangan terutamanya untuk IKS.

Kriteria untuk memohon:

  • Warganegara Malaysia
  • Ahli koperasi / Persatuan Penjaja dan Penjaja
  • Pemilik tunggal, perkongsian, syarikat sendirian berhad
  • Berusia 18 tahun dan tidak melebihi 65 tahun apabila tempoh pembiayaan berakhir
  • Menetap di kawasan operasi perniagaan
  • Jumlah pembiayaan dari RM 1,000 sehingga RM 50,000
  • Website dan nombor telefon: www.bnm.gov.my / 603 – 2698 8044

Ramai tak tahu sebenarnya banyak lagi program-program yang telah diwujudkan untuk membantu para usahawan IKS untuk terus mengembangkan perniagaan mereka dan meneruskan kelestarian dalam perniagaan yang diceburi.

Penulis : Yusmani Mohd Yusoff

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dapat Hadiah Rumah RM400,000 Sebagai Komisen – Kena Lapor LHDN Ke?

“Kami hadiahkan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada ejen.”

Ayat macam ini memang kedengaran macam hadiah.

Tapi cuba kita ubah sedikit situasinya.

Sebuah syarikat emas menjalankan program insentif. Ejen yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu akan diberikan sebuah banglo bernilai RM400,000.

Contohnya ejen emas, ejen MLM, ejen jualan kereta yang berjaya mencapai sasaran tertentu dan diberikan sebuah banglo sebagai ganjaran.

Persoalannya:

Adakah ini benar-benar hadiah atau sebenarnya komisen/insentif kepada ejen?

Ini penting kerana dari sudut cukai, kita bukan hanya melihat apa nama yang diberikan kepada sesuatu bayaran.

Kalau banglo itu diberikan kerana ejen berjaya menghasilkan jualan, sifat bayaran tersebut perlu dilihat sebagai insentif yang diterima hasil daripada aktiviti ejen.

Dan yang menariknya, CP58 sendiri mengiktiraf bayaran insentif bukan dalam bentuk wang tunai, termasuk rumah.

Komisen tak semestinya dalam bentuk duit

Ramai orang apabila dengar perkataan “komisen”, mereka bayangkan:

Jual RM1 juta → dapat komisen RM50,000.

Tetapi insentif kepada ejen tidak semestinya dibayar dalam bentuk tunai.

Ia boleh diberikan dalam bentuk manfaat atau aset tertentu.

Contohnya:

  • kereta
  • rumah
  • pakej pelancongan
  • perabot
  • komputer
  • atau bentuk insentif bukan tunai yang lain.

Dalam dokumen CP58, HASiL memang menyediakan ruangan khusus untuk “Nilai insentif berbentuk bukan wang tunai”, termasuk kategori “Rumah”.

Jadi, kalau sebuah syarikat memberikan rumah kepada ejen sebagai ganjaran kerana pencapaian jualan, kita tidak boleh sekadar berkata:

“Ini hadiah, bukan pendapatan.”

Kita perlu lihat sebab rumah itu diberikan.

Katakan

Syarikat emas: ABC Gold Sdn Bhd

Ejen: Ali

Syarat program:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta dalam tempoh tertentu akan menerima sebuah banglo bernilai RM400,000.”

Ali berjaya mencapai sasaran tersebut.

Syarikat kemudiannya memberikan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada Ali.

Pada zahirnya, syarikat mungkin menggunakan perkataan:

“Hadiah banglo.”

Tetapi dari perspektif cukai, soalan yang lebih penting ialah:

Mengapa Ali mendapat banglo tersebut?

Kalau jawapannya:

“Sebab Ali berjaya mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.”

Maka kita sudah nampak ciri sales incentive yang jauh lebih jelas.

Jadi, bila ejen kena lapor?

Ini juga perkara yang selalu mengelirukan.

Bukan bermaksud ejen hanya perlu fikir tentang cukai apabila dia menjual banglo tersebut.

Persoalan yang perlu dilihat ialah bila ejen memperoleh hak atau manfaat daripada insentif tersebut, berdasarkan terma program dan fakta transaksi.

Contohnya, jika semua syarat telah dipenuhi dan ejen sudah mempunyai hak terhadap banglo tersebut, itulah titik yang perlu dianalisis dari sudut pengiktirafan pendapatan.

Bukan semata-mata tunggu banglo itu dijual.

Dan tarikh S&P, pindah milik atau penyerahan juga perlu dilihat bersama dokumen dan terma sebenar transaksi.

Sebab itu kita tidak boleh menetapkan secara automatik:

“Tarikh S&P = tarikh cukai.”

atau

“Tarikh geran keluar = tarikh cukai.”

Bagaimana pula dengan syarikat?

Kalau syarikat membayar insentif kepada ejen, pengedar atau pengagih, terdapat tanggungjawab di bawah Seksyen 83A ACP 1967 untuk menyediakan penyata bayaran insentif melalui Borang CP58.

HASiL menyatakan bahawa CP58 merangkumi bayaran insentif berbentuk wang tunai dan bukan wang tunai kepada ejen, pengedar atau pengagih. Salinan CP58 perlu diberikan kepada penerima sebelum atau pada 31 Mac tahun berikutnya.

Dan tengok apa yang terdapat dalam CP58.

Di bahagian insentif bukan tunai, terdapat:

(a) Kenderaan
(b) Rumah
(c) Pakej pelancongan/perjalanan
(d) Lain-lain

Maksudnya, kalau kita bercakap tentang banglo yang diberikan kepada ejen sebagai insentif, memang terdapat ruang dalam CP58 untuk melaporkan rumah sebagai insentif bukan tunai.

Bagaimana pula dengan Withholding Tax 2%?

Ini satu lagi perkara yang perlu dibezakan.

Di bawah Seksyen 107D, terdapat potongan cukai 2% bagi bayaran tertentu kepada ejen, pengedar atau pengagih.

Tapi untuk banglo RM400,000 yang diberikan sebagai insentif bukan tunai, 2% tidak dikenakan atas nilai banglo tersebut.

Ejen pula kena buat apa?

Ejen jangan anggap “Syarikat dah bagi CP58, jadi selesai.”

Tidak.

CP58 ialah penyata yang membantu menunjukkan berapa banyak insentif yang telah diterima.

Ejen, pengedar atau pengagih perlu melaporkan bayaran insentif yang diterima dalam e-filing masing-masing.

Untuk banglo, bila ejen sudah memperoleh hak ke atas rumah tersebut, contohnya selepas S&P ditandatangani dan hak menerima banglo itu sudah tidak lagi bersyarat maka nilai insentif tersebut perlu diambil kira dalam tahun taksiran yang berkaitan.

Bagaimana kalau syarikat panggil ia “hadiah”?

Ini bahagian yang paling menarik.

Dalam percukaian, nama yang diberikan kepada transaksi tidak semestinya menentukan sifat sebenar transaksi.

Kalau syarikat kata:

“Kami hadiahkan banglo kepada ejen.”

tetapi dokumen program menyatakan:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta akan mendapat sebuah banglo bernilai RM400,000.”

maka terdapat hubungan yang jelas antara:

prestasi jualan → kelayakan → insentif → banglo.

Ini jauh berbeza daripada seseorang yang membeli emas seperti biasa, menyertai cabutan bertuah dan kebetulan memenangi sebuah banglo.

Dalam kes kedua, kita tidak boleh terus melabelkan banglo tersebut sebagai komisen.

Sifat transaksi bergantung kepada fakta.

Jadi, jangan tengok “hadiah” sahaja

Bayangkan dua situasi.

Situasi 1 – Ejen capai target

“Jualan RM5 juta → dapat banglo RM400,000.”

Ini mempunyai ciri sales incentive/commission.

Situasi 2 – Menang peraduan

“Beli produk, masuk peraduan → terpilih sebagai pemenang → dapat banglo RM400,000.”

Ini adalah situasi yang berbeza dan perlu dianalisis berdasarkan struktur peraduan dan sifat bayaran tersebut.

Bagaimana pula kalau ejen tidak menjual banglo itu?

Tidak penting sama ada ejen:

  • duduk dalam banglo itu,
  • sewakan banglo itu,
  • simpan banglo itu,
  • atau jual banglo itu kemudian.

Isu awalnya ialah apa yang ejen terima sebagai balasan kepada aktiviti yang menghasilkan pendapatan.

Kalau banglo tersebut merupakan incentive kerana prestasi jualan, hakikat bahawa ia berbentuk rumah tidak semestinya mengubah sifat asas bayaran tersebut.

RM400,000 bukan angka kecil

Sebab itu kes seperti ini menarik dari sudut pematuhan.

Katakan syarikat memberikan:

1 banglo = RM400,000

Kalau ia merupakan insentif kepada ejen, kita bukan lagi bercakap tentang:

“Dapat hadiah kecil.”

Kita bercakap tentang manfaat bernilai RM400,000.

Dan nilai tersebut perlu dilihat dalam pengiraan cukai penerima berdasarkan fakta sebenar.

Jangan terus ambil RM400,000 dan darab satu kadar cukai untuk menentukan cukai sebenar, kerana cukai individu bergantung kepada keseluruhan pendapatan, status pemastautin, perbelanjaan/potongan yang dibenarkan dan keadaan pembayar cukai.

Kesimpulannya

Kalau syarikat emas berkata:

“Kami hadiahkan sebuah banglo RM400,000 kepada ejen.”

Jangan berhenti pada perkataan “hadiah”.

Tanya:

Kenapa ejen dapat banglo itu?

Kalau jawapannya:

“Sebab dia berjaya mencapai sasaran jualan.”

maka kita perlu melihatnya sebagai insentif/komisen bukan tunai, bukan semata-mata hadiah biasa.

Dan yang lebih menarik:

CP58 sendiri mempunyai ruangan khusus untuk melaporkan insentif bukan tunai dalam bentuk “Rumah”.

Syarikat perlu menyediakan CP58 kepada ejen mengikut tempoh yang ditetapkan, manakala ejen pula perlu mengambil kira bayaran insentif tersebut dalam e-filingnya.

Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, bukan nasihat cukai atau nasihat profesional. Layanan cukai sebenar bergantung kepada fakta, struktur transaksi dan keadaan setiap pembayar cukai. Sila rujuk LHDN atau penasihat cukai berlesen untuk mendapatkan nasihat berkaitan kes khusus.