Dewan Rakyat Lulus RUU LHDN (Pindaan) 2023

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju dengan 16 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bukan keseluruhan kutipan cukai berjumlah RM1.75 bilion oleh LHDN pada tahun lepas dilaburkan sebaliknya kutipan itu diberikan terus kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

“Apakah yang dilaburkan?… RM175 bilion tahun lepas yang dikutip itu tidak dilaburkan, ia diberikan terus KWAP.

“Mereka (LHDN) dapat hasil yang dikutip untuk fi sebanyak 1.85 peratus. Jumlah 1.85 peratus itu kurang RM3.3 bilion, kos mereka lebih kurang RM2 bilion lebih dan ia adalah baki RM1 bilion atau RM800 atau RM900 juta… itu sebab mereka mahu laburkan dalam bank perdagangan biasa,” katanya.

Beliau berkata kelulusan akta hari ini membolehkan LHDN melanjutkan pelaburan di institusi kewangan islam, pembangunan dan koperasi.

“Pelaburan LHDN dipantau secara terus mesyuarat jawatankuasa kewangan dan pelaburan dipengerusikan anggota LHDN dan pelaksanaan pelaburan LDHN diselia berdasarkan kepada garis panduan yang diluluskan dalam mesyuarat LHDN,” katanya.

Semasa perbahasan peringkat jawatankuasa, Ahmad berkata Fasal 4 dipinda dengan memperuntukkan menteri dengan serta-merta melantik anggota baharu menggantikan anggota yang telah dibatal perlantikan.

Fasal 4 bertujuan untuk meminda seksyen 9 Akta 533 bagi memperuntukkan bahawa menteri boleh, pada bila-bila masa, tanpa memberikan apa-apa sebab, membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

Selain itu, anggota yang dilantik pada bila-bila masa, meletakkan jawatannya dengan memberikan notis secara bertulis kepada menteri.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Sistem e-Invois LHDN Capai 106,000 Pengguna, Nilai Transaksi Lebih RM675 Juta

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) – — Pelaksanaan Sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan lebih 106,000 pembayar cukai dengan transaksi berjumlah lebih RM675 juta, setakat ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata sistem itu merupakan langkah besar ke arah pendigitalan menyeluruh yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi turut memperkukuh ketelusan dan integriti sistem percukaian negara.

“Pelaksanaan e-Invois adalah satu langkah besar ke arah digitalisasi menyeluruh. Ia bukan sekadar memodenkan proses percukaian, tetapi juga membina keyakinan rakyat terhadap kecekapan serta ketelusan pentadbiran hasil negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2025 LHDN di Menara Hasil Cyberjaya, Selangor, yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Pada masa sama, Lim turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga LHDN atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan sistem percukaian negara terus berfungsi dengan cekap serta berintegriti.

Selain itu, beliau menyifatkan kejayaan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri (STS) duti setem yang akan bermula 1 Januari 2026 sebagai satu lagi bukti inovasi progresif LHDN.

Melalui sistem itu, pembayar duti diberi kepercayaan menaksir sendiri kadar dan amaun duti, sekali gus mempercepat urusan serta menjimatkan masa pelanggan.

Beliau juga menekankan bahawa nilai inovasi dan integriti perlu sentiasa digerakkan seiring bagi membentuk perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan dipercayai oleh rakyat.

“Inovasi tanpa integriti boleh membawa kepada penyalahgunaan manakala integriti tanpa inovasi boleh menyebabkan kita ketinggalan. LHDN telah membuktikan kedua-duanya boleh bergerak seiring dan berani mencuba perkara baharu sambil kekal berpaksikan nilai amanah dan tanggungjawab,” katanya.
— BERNAMA