PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan secara rasmi Perodua Axia 2023 serba baharu hari ini dengan sasaran jualan sebanyak 5,700 unit setiap bulan.
Model yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.0 liter dengan padanan dwi-mod transmisi boleh laras berterusan (D-CVT), turut ditawarkan dalam empat varian iaitu G, X, SE dan AV.
Kesemua varian tersebut didatangkan dengan kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS) dengan ciri keselamatan agihan brek elektronik (EBD) serta bantuan mula mendaki.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata fokus Perodua bagi model baharu itu adalah memaksimumkan penghantaran kepada pelanggannya dan menukar tempahan Axia generasi terdahulu kepada Axia serba baharu.
Dalam kenyataan selepas majlis pelancaran rasmi itu, beliau berkata daripada 44,000 tempahan sedia ada, Perodua dapat meyakinkan seramai 13,600 pelanggan untuk beralih kepada model terbaharu selain menerima lebih 6,500 tempahan sejak 31 Januari lepas.
“Ciri-ciri tambahan (berbanding dengan varian model Axia sebelum ini) adalah jauh berbeza. Varian baharu ini memperkemas semua aspek keselesaan, ruang, keselamatan dan estetik,” katanya sambil menambah seramai 2,900 pelanggan bakal menerima Axia berkenaan tidak lama lagi.
Bagi varian SE dan AV, Axia 2023 didatangkan dengan ciri seperti mod kuasa, lampu siang LED sepanjang hari, solar dan filem keselamatan serta kerusi jenis ‘semi bucket’ dengan sandaran kepala boleh ditanggalkan.
Varian AV pula menawarkan ciri eksklusif seperti paparan pelbagai maklumat TFT, paparan audio sembilan inci, tempat duduk separa kulit dan enam beg udara.
Pada sidang previu media bagi kereta yang diberi kod nama D74A di Sepang minggu lepas, Zainal Abidin berkata model terkini itu merupakan evolusi lengkap daripada sebelumnya dari segi kecekapan bahan api dan boleh bergerak sehingga 27.4 kilometer seliter berdasarkan mod kitaran pemanduan baharu.
Julat harga bagi model tersebut di Semenanjung Malaysia tanpa insurans adalah antara RM38,600 hingga RM49,500 seunit.
Bagi 2023, Perodua menyasarkan untuk mencatat jualan 314,000 unit kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 330,000 unit.
Pengeluar kereta itu turut menetapkan sasaran meraih 45 peratus bahagian pasaran bagi tahun ini.
SUV 7 tempat duduk flagship Audi kini ditawarkan pada harga anggaran bermula RM469,000 hingga RM489,000
Merupakan model SUV Audi pemasangan tempatan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara
Menggunakan rangkaian kuasa 3.0TFSI V6 MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) dan sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro
KUALA LUMPUR, 10 April 2025 – PHS Automotive Malaysia (PHSAM), pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia hari ini mengukuhkan keberadaannya dalam segmen premium SUV mewah pada tahun 2025 menerusi pengenalan Audi Q7 flagship pemasangan tempatan. Q7 baharu dijangka berada di pasaran pada bulan Mei dan bakal ditawarkan pada harga RM469,000 dan RM489,000.
SUV flagship ini tampil atletik menerusi garis badan yang berani dan kemasan S line yang meningkatkan lagi gayaan luaran serta dalamannya. Hadir sebagai ciri standard, ‘Black Styling Package Plus’ pasti akan menyerlahkan lagi penampilan luaran Q7.
Rekaan Luaran
Penampilan luaran Q7 didefinisikan oleh gayaan S line yang merangkumi rekaan bampar hadapan dan belakang tersendiri, serta skirting sisi yang menyerlahkan lagi karakternya yang sporty. Dengan ‘Black Styling Package Plus’, penampilan Q7 yang atletik ditingkatkan melalui penggunaan Audi Singleframe dan lencana Q7. Logo Audi di hadapan dan belakang pula hadir dalam warna kelabu (anthracite grey). Spoiler belakang dan rim Audi Sports 5-V-spoke bersaiz 22 inci itu menyerlahkan gaya yang begitu agresif.
Sebagai sebuah jentera yang canggih, Q7 dilengkapi lampu utama HD Matrix LED baharu yang terdiri daripada Audi Laser Light dan Digital OLED pada lampu belakang untuk meningkatkan gaya dan keberadaannya.
Q7 menggunakan enjin petrol TFSI V6 bersesaran 3.0 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 250 kW (340 PS) dan tork 500Nm. Sistem MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) menggunakan teknologi 48V untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan emisi.
Rangkaian kuasa ini membolehkan Q7 memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat, dengan pecutan maksimum mencecah 250km/j. Kuasa tersebut disalurkan menerusi transmisi Triptronic 8 kelajuan dengan agihan pintar ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro.
Ciri Audi Drive Select membolehkan pemandu memilih tujuh mod berbeza untuk mengoptimumkan prestasi di atas pelbagai permukaan jalan raya.
Keselesaan dan Keselamatan yang Terbaik
Q7 mendefinisikan kembali aspek keselesaan menerusi penggunaan sistem suspensi udara adaptif (Adaptive Air Suspension Sport). Ia berfungsi mengubah suai ketinggian dan tahap keselesaan suspensi berdasarkan kepada mod pemanduan yang dipilih. Ciri All-Wheel Steering pula meningkatkan aspek pergerakan dengan membuatkan urusan memarkir kenderaan menjadi lebih mudah.
Sama seperti semua kenderaan Audi, Q7 dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan yang direka bagi memastikan pemandu sentiasa peka dengan kondisi trafik dan membantu mengelakkan daripada berlakunya kemalangan. Antaranya termasuklah ciri Head-Up Display dan beberapa sistem keselamatan aktif seperti Audi Pre-sense (hadapan dan belakang), Side Assist with Exit Warning, Rear Cross Traffic Assist dan Lane Departure Warning.
Ruang Dalaman yang Sentiasa Elegan
Sentuhan S line di ruang dalaman Q7 termasuklah kemasan kulit Valcona pada tempat duduk Sports Seat Plus dengan sulaman logo S, stereng kulit bersama rekaan rata di bahagian bawahnya dan paddle shifter. Pakej lampu ambien (Ambient Lighting Package Plus) menawarkan 30 pilihan warna untuk pengalaman yang lebih personal dalam setiap perjalanan.
Audi Q7 dengan tujuh tempat duduk direka untuk memberikan aspek kemewahan dan praktikaliti yang seimbang, di samping ruang kaki yang luas pada semua tiga baris tempat duduknya.
Konfigurasi tempat duduk yang versatil memastikan perubahan boleh dibuat dengan mudah untuk memaksimumkan ruang kargo jika perlu. Tempat duduk baris kedua boleh dibaringkan. Manakala tempat duduk baris ketiga boleh menempatkan dua orang penumpang dan boleh diakses dengan mudah apabila kerusi baris kedua ditolak ke hadapan.
Q7 mempunyai ciri Power Latching Doors yang mudah untuk dikunci – terima kasih kepada penutup berkuasa yang berfungsi menarik daun pintu jika ia tidak ditutup dengan sempurna. Ini membolehkan pintu dikunci dengan senyap secara automatik dan menawarkan pengalaman yang lebih premium.
Ciri-ciri standard lain termasuklah fungsi urutan pada kerusi hadapan, pendingin hawa 4 zon, pad pengecasan tanpa wayar, pintu but boleh dibuka dengan pergerakan kaki dan sistem bunyi premium 3D Bang & Olufsen.
Empat warna luaran ditawarkan – putih (Glacier White), biru (Waitomo Blue) dan hitam (Mythos Black) merupakan pilihan warna metalik, manakala warna kelabu (Daytona Grey) hadir dengan kemasan mutiara.
“Audi Q7 merupakan SUV pertama yang diperkenalkan oleh Audi 20 tahun lalu dan ia kekal menjadi penanda aras dalam segmen SUV premium mewah. Sebagai model pemasangan tempatan, ia akan ditawarkan pada harga yang kompetif, selain meluaskan portfolio model dan mengukuhkan keberadaan kami di pasaran Malaysia. Kuasa yang lebih mantap dan pengendalian lancar Q7 bukan sahaja boleh dilihat, malah boleh dirasai sendiri oleh pemandunya,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev.
Maklumat lanjut mengenai Audi Q7 baharu, sila layari laman web www.audi.com.my atau kunjungi mana-mana pengedar Audi yang sah.