reNIKOLA Terbit Sukuk Iklim Pertama Dunia RM390 Juta

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Syarikat tenaga boleh baharu, reNIKOLA Holdings Sdn Bhd (reNIKOLA) menerbitkan sukuk iklim pertama dunia, Sukuk SRI Hijau Asean (Sukuk Hijau reNIKOLA II) bernilai RM390 juta, pada 29 Sept, 2023.

Sukuk itu diterbitkan oleh anak syarikat milik penuhnya, reNIKOLA Solar II Sdn Bhd.

Dalam kenyataan pada Isnin, reNIKOLA menjelaskan RAM Rating Services Bhd telah memberi penarafan AA2 dengan prospek stabil kepada sukuk itu dan ia telah diperakui secara bebas oleh RAM Sustainability Sdn Bhd untuk mematuhi Piawaian dan Skim Pensijilan Bon Iklim, menjadikannya sukuk iklim pertama dunia yang disahkan oleh Inisiatif Bon Iklim (CBI).

Menurutnya sukuk itu meraih minat positif daripada pelbagai pelabur pendapatan tetap, sekali gus menjadikannya terlebih langgan hampir tiga kali daripada saiz terbitan.

“Hasil terbitan itu akan digunakan terutama untuk membiayai semula kos pembangunan dua loji jana kuasa solar 30 megawatt (MW) di Kuala Muda, Kedah dan Machang, Kelantan,” tambahnya.

reNIKOLA adalah 55 peratus milik reNIKOLA Sdn Bhd dan 45 peratus milik B.Grimm Power (Malaysia) Sdn Bhd.

B.Grimm Power (Malaysia) pula ialah anak syarikat milik penuh B.Grimm Power Public Company Ltd (B.Grimm Power), Thailand.

B.Grimm Power aktif mengendalikan operasi di sembilan negara dengan 56 projek dalam operasi dan akan mencapai kapasiti terpasang 10,000 MW menjelang 2030.

Presiden B.Grimm Power, Datuk Dr Harald Link berkata terbitan sukuk itu menunjukkan komitmen syarikat untuk menjadi peneraju dalam sektor tenaga boleh baharu dan dalam domain pembiayaan kemampanan hijau.

“Pencapaian ini adalah terbitan sukuk kedua reNIKOLA dalam tempoh tiga tahun. Apabila menjadi sukuk pertama di Malaysia yang diperakui oleh CBI ini sebenarnya telah membantu mengembangkan dan mempelbagaikan asas pelabur kami, yang mendorong sukuk itu mengalami keadaan terlebih langgan sebanyak tiga kali,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu memegang peranan penting dalam pelaburan strategik kumpulan B.Grimm dalam sektor tenaga boleh baharu Malaysia.

“Pelaburan dalam reNIKOLA, ditambah dengan terbitan Sukuk Hijau reNIKOLA II, bersedia untuk memberikan kelebihan yang besar kepada portfolio pelaburan komprehensif B.Grimm. Ini selaras dengan komitmen bercita-cita tinggi syarikat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Usaha ini sejajar dengan visi kami untuk memperkasakan dunia dengan penuh ihsan berlandaskan prinsip kemurahan hati, mencipta nilai untuk masyarakat, dan berkembang bersama Thailand,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Garis SMA 50 Hari Bertindak Sebagai Rintangan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami tekanan jualan yang kuat pada hari Khamis apabila ia menurun MYR125 untuk ditutup pada harga lebih rendah sebanyak MYR4,458. Komoditi ini memulakan sesi dagangan semalam pada paras MYR4,576. Kemudian, ia mencapai paras tertinggi intrahari pada MYR4,609 dan paras terendah intrahari pada MYR4,455 sebelum menutup dagangan pada harga MYR4,458. Corak lilin menurun yang panjang mengesahkan bahawa garis SMA 50 hari sekarang bertindak sebagai paras rintangan atas.

Hal ini menunjukkan bahawa pedagang yang meramalkan penurunan kini mempunyai kelebihan teknikal – dengan menyasar untuk menguji paras sokongan MYR4,390. Penembusan menurun pada paras sokongan akan menyambungkan pergerakan ke bawah ke arah paras MYR4,300. Memandangkan rentak penurunan menjadi semakin rancak, kami terus berpegang pada bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Bagi pergerakan ke atas, paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,840.