Jadual Elektrik Baharu: Lebih 23.6 Juta Pengguna Domestik Semenanjung Nikmati Kadar Lebih Adil 

KUALA LUMPUR, 20 Jun  (Bernama) — Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan oleh kerajaan, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, ST mengumumkan penetapan tarif itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025 hingga 31 Dis, 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen berikut:

  • (i) kadar purata tarif asas;
  • (ii) jadual tarif baharu; dan
  • (iii) mekanisme pelarasan kos bahan api

Penyelarasan Kadar Purata Tarif Asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4 dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024, tambah ST.

ST menjelaskan berdasarkan pelarasan itu, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3).

Perubahan Struktur Tarif Elektrik Merangkumi Kategori Pengguna, Caj dan Insentif

Pengenalan jadual tarif baharu itu meliputi perkara berikut:

  • (i) perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana dan tinggi; dan
  • (ii) penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.

Insentif Cekap Tenaga akan diperkenalkan sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemat, jelas ST.

Melalui insentif itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.

Pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif tersebut.

Menurut ST, selain itu, skim Masa Penggunaan (TOU) telah diselaraskan dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan Sabtu, Ahad dan mulai 10 malam sehingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat.

“Ini bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan lestari. Sekiranya pengguna menggunakan waktu di luar puncak, pengguna dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan ketika waktu puncak,” jelas ST.

ST memaklumkan bagi memastikan aspek sosial dan kebajikan dipelihara, kerajaan bersetuju supaya:

  • (i) tarif spesifik digunakan bagi kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel atau “traction”;
  • (ii) pemberian rebat sebanyak 10 peratus bagi institut berdaftar pengajian tinggi, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat; serta
  • (iii) penerusan Program Rebat Bil Elektrik RM40, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik yang berhampiran.

ST berkata secara keseluruhan, pendekatan itu bertujuan menggalakkan inisiatif kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu yang memberi manfaat bersama melalui sistem tenaga yang lebih efisien dan mampan.

Bagi tujuan itu, semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci.

Susulan pelaksanaan jadual tarif baharu itu, majoriti pengguna dijangka tidak terkesan malah pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga, menurut suruhanjaya itu.

Pembaharuan Mekanisme Pelarasan Kos

Bagi komponen caj tenaga, mekanisme pelarasan kos bahan api baharu yang lebih dinamik iaitu Automatic Fuel Adjustment (AFA) akan menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Mekanisme ini membolehkan pelarasan kos penjanaan dilaksanakan secara automatik berdasarkan harga bahan api di pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang asing. Maklumat tersebut akan dilaporkan setiap bulan di laman sesawang ST.

Pelaksanaan dan khidmat sokongan bagi pengguna

Jadual tarif baharu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025 dan diselaraskan dalam bil elektrik bermula penggunaan Julai 2025.

Perincian kadar serta kategori baharu (jika berkaitan) boleh disemak melalui saluran berikut:

  • Anggaran kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang boleh diakses seawal-awalnya mulai Isnin, 23 Jun, 2025 melalui laman sesawang https://www.mytnb.com.my/tariff

Pengguna digalakkan menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, e-mel ke [email protected] atau melalui platform rasmi TNB yang lain untuk sebarang pertanyaan lanjut

Komitmen Suruhanjaya Tenaga

Sebagai badan kawal selia tenaga di Semenanjung Malaysia, ST komited untuk memastikan pelaksanaan tarif berdasarkan prinsip adil, telus dan mampan bagi memenuhi keperluan dan mengimbangi kepentingan semua pengguna tenaga.

Penstrukturan dan penyelarasan secara menyeluruh itu merupakan langkah penting bagi merealisasikan serta memperkukuh agenda peralihan tenaga negara yang saksama dan inklusif.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

I-Berhad Catat Prestasi Q1 Yang Berdaya Tahan Seiring Momentum Strategi AI-Living Meningkat

KUALA LUMPUR: I-Berhad (IBHD 4251) (“Kumpulan”) memulakan FY2026 dengan asas yang kukuh, mencatatkan pendapatan yang berdaya tahan sambil meneruskan peralihan strategiknya ke arah platform ekosistem bandar bersepadu yang dipacu AI.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (“Q1 FY2026”), Kumpulan merekodkan hasil sekitar RM44.0 juta dan keuntungan sebelum cukai (“PBT”) sebanyak RM12.7 juta, mewakili peningkatan berbanding RM12.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Keputusan ini mencerminkan bukan sahaja disiplin operasi, tetapi juga perubahan berterusan dalam kualiti pendapatan, disokong oleh pengoptimuman margin, pengukuhan asas pendapatan berulang serta integrasi kecerdasan secara progresif merentasi ekosistemnya.

“Kami melihat perubahan struktur dalam cara hartanah ditakrif dan dinilai. Ia bukan lagi sekadar mengenai ruang fizikal, tetapi bagaimana persekitaran berfungsi sebagai platform untuk perkhidmatan, data dan sistem pintar. Fokus kami di i-City adalah membina ekosistem di mana AI dan robotik disepadukan dalam kehidupan harian, bukan sebagai satu ciri, tetapi sebagai lapisan operasi,” kata Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong.

Daripada Pemaju Hartanah kepada Platform Ekosistem AI

Prestasi I-Berhad menyerlahkan evolusi strategik yang sedang berlaku di i-City, ibu negeri Selangor — daripada bandar digital yang dibina atas kesalinghubungan kepada ekosistem AI hidup di mana kecerdasan disepadukan dalam persekitaran harian.

Transformasi ini berteraskan dua struktur platform:
· AI World Development, yang mengintegrasikan AI World Experience Centre (AIWEC) dan AI Living untuk membawa robotik dan sistem pintar daripada persekitaran dunia sebenar ke dalam kehidupan harian.
· Aset pendapatan berulang, yang menyediakan kestabilan, keterlihatan pendapatan dan asas untuk pengoptimuman modal jangka panjang.

Daripada menjadikan AI sekadar ciri tambahan, Kumpulan meletakkannya sebagai lapisan operasi teras merentasi hartanah, hospitaliti dan perkhidmatan bandar.

Peningkatan Keuntungan Walaupun Hasil Peralihan

Sepanjang suku tersebut, segmen Pembangunan Hartanah Kumpulan memasuki fasa pasca penyiapan susulan penyerahan berjaya BeCentral Residences.

Walaupun hasil menyederhana kepada RM10.5 juta, PBT meningkat 21% kepada RM5.6 juta, didorong oleh pembangunan margin tinggi seperti 8 Premier dan Twenty8, pengoptimuman kos, keuntungan variation order dan inisiatif penambahbaikan margin.

Ini mencerminkan peralihan yang disengajakan daripada pertumbuhan berasaskan volum kepada pendapatan berkualiti tinggi yang meningkatkan margin, dengan baki saluran GDV sekitar RM5 bilion menyediakan keterlihatan jangka panjang.

Kekuatan Pendapatan Berulang Menjadi Asas Kestabilan

Segmen Pelaburan Hartanah terus menyediakan asas pendapatan yang stabil dengan mencatatkan PBT sebanyak RM6.7 juta.

Prestasi disokong oleh kadar penghunian 95% di Mercu Maybank Corporate Tower, penghunian penuh aset pusat data Kumpulan dan prestasi kukuh di Central i-City Mall (~97% kadar penghunian).

Ini mengukuhkan strategi Kumpulan untuk membina portfolio berdaya tahan yang menjana pendapatan dalam ekosistem bersepadu, mengurangkan kebergantungan terhadap kitaran pembangunan sambil meningkatkan kebolehramalan pendapatan.

Skala dan kematangan aset ini juga meletakkan Kumpulan dalam kedudukan untuk membuka nilai dan inisiatif kitar semula modal pada masa depan.

Segmen Leisure Berkembang Menjadi Tapak Ujian AI

Walaupun segmen Leisure & Hospitality mencatatkan PBT lebih rendah disebabkan normalisasi bermusim, ia terus memainkan peranan strategik melebihi sumbangan kewangan.

Aset seperti AI World Experience Centre kini semakin berfungsi sebagai persekitaran dunia sebenar untuk pelaksanaan dan ujian AI serta pemangkin kepada pelancongan dan penglibatan pengunjung sambil menjana data interaksi dan tingkah laku pengguna secara masa nyata.

Ini meletakkan i-City bukan sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai ekosistem hidup di mana aplikasi AI boleh dialami, diperhalusi dan diperluaskan.

AI Living: Membina Fasa Pertumbuhan Seterusnya

Melangkah ke hadapan, Kumpulan mempercepatkan pelaksanaan AI Living, satu konsep yang mentakrif semula hartanah kediaman sebagai sebahagian daripada ekosistem pintar. Berbeza dengan pembangunan konvensional, AI Living direka sebagai persekitaran AI-native dan bukannya kediaman yang diubah suai, serta serasi dengan robotik domestik sebagai penghuni berfungsi.

Ini akan disokong oleh model Robotics-as-a-Service (RaaS) bagi mengurangkan halangan penggunaan. Pendekatan ini selaras dengan trend struktur termasuk populasi menua, kekangan tenaga kerja dan peningkatan peranan automasi dalam kehidupan harian.

Dengan mengintegrasikan seni bina, infrastruktur digital dan perkhidmatan pintar, I-Berhad meletakkan pembangunannya untuk kebolehsuaian jangka panjang dan bukannya keusangan jangka pendek.

Perubahan Struktur dalam Penciptaan Nilai

Apabila pasaran hartanah Malaysia berkembang, nilai kini semakin ditentukan bukan sahaja oleh lokasi, tetapi bagaimana pembangunan berfungsi sebagai ekosistem bersepadu. Strategi I-Berhad mencerminkan perubahan ini di mana hartanah tidak lagi dilihat sebagai aset statik, tetapi sebagai infrastruktur untuk perkhidmatan, data dan sistem pintar.

Strategi I-Berhad di i-City selaras dengan peralihan ini, mengintegrasikan infrastruktur kediaman, komersial, hospitaliti dan digital ke dalam persekitaran yang direka untuk menyokong cara hidup, bekerja dan berinteraksi setiap hari. Dalam konteks ini, inisiatif seperti AI World dan AI Living bukanlah pembangunan terpencil, tetapi komponen utama pendekatan platform yang lebih luas terhadap pembangunan bandar.

Dengan asas pendapatan yang pelbagai, pendapatan berulang yang kukuh dan pelan hala tuju dipacu AI yang jelas, I-Berhad kini meletakkan dirinya melangkaui pembangunan hartanah tradisional ke arah membina persekitaran pintar bersepadu yang direka untuk relevan jangka panjang. Ketika AI dan robotik semakin membentuk cara manusia hidup dan berinteraksi, fokus Kumpulan terhadap pembangunan ekosistem meletakkan i-City di barisan hadapan perubahan struktur ini.

MENGENAI I-BERHAD

I-Berhad (“I-Berhad”) ialah pemaju hartanah tersenarai di Pasaran Utama dan perancang induk i-City di ibu negeri Selangor, Bandar Digital No.1 Malaysia. Sejak penubuhannya, Kumpulan telah mengubah i-City menjadi bandar pintar bersepadu sepenuhnya yang menampilkan komponen kediaman, komersial, leisure dan hospitaliti. Pembangunan utamanya termasuk BeCentral Serviced Residences, DoubleTree by Hilton i-City, dan i-City Finance Avenue yang baru dilancarkan, sebuah hab perniagaan dan kewangan utama dalam ultrapolis bandar tersebut.

Disokong oleh baki nilai pembangunan kasar (“GDV”) sekitar RM5 bilion dan portfolio hartanah pelaburan yang semakin berkembang, I-Berhad kini meneruskan fasa pertumbuhan seterusnya melalui AI World, presint bandar pertama Malaysia yang dipacu AI, serta pelaksanaan Robotics-as-a-Service (“RaaS”) merentasi asas asetnya, sekali gus menekankan komitmennya terhadap inovasi, kemampanan dan penciptaan nilai jangka panjang.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.i-bhd.com/