Loji TBB Terbesar Malaysia Di Bukit Tagar Enviro Park Mulakan Operasi

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Loji Tenaga Boleh Baharu (TBB) terbesar di Malaysia yang terletak di Bukit Tagar Enviro Park (BTEP), Hulu Selangor dengan kapasiti 12 Megawatt (MW) telah mula beroperasi.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu selaras dengan polisi kerajaan menerusi kementerian itu untuk membangunkan sekurang-kurangnya satu fasiliti pengurusan sisa pepejal berkonsepkan sisa kepada tenaga (WtE) di setiap negeri di Malaysia

Loji WtE adalah antara kaedah merawat sisa pepejal dan pada masa sama menjana TBB.

Menurut kenyataan itu, BTEP yang mula beroperasi pada April 2005 adalah tanah milik kerajaan berkeluasan 283 hektar untuk tujuan pembinaan tapak pelupusan, manakala 404.7 hektar  tanah lagi sebagai zon penampan yang mengelilingi tapak ini.

Di tapak pelupusan ini, BTEP berupaya menukarkan gas metana daripada sisa pepejal kepada TBB dengan kira-kira 339 juta kilowatt-jam (kWj) tenaga elektrik disalurkan ke grid nasional, katanya.

Sementara itu, Menteri KPKT Nga Kor Ming dalam kenyataan sama berkata, BTEP adalah loji TBB daripada gas tapak pelupusan yang terbesar di Malaysia.

“Penghasilan tenaga ini dapat mengurangkan 2.7 juta tan karbon di bawah skim Mekanisme Pembangunan Bersih, bersamaan 43.6 juta anak pokok yang ditanam dalam masa 10 tahun, pengurangan penggunaan 296 juta liter petrol dan pengurangan 570,000 kereta yang dipandu dalam tempoh setahun,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke BTEP, seterusnya merasmikan loji TBB berkenaan.

Ia adalah inisiatif KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Berjaya Enviro Parks Sdn Bhd untuk memastikan kelestarian sistem pengurusan sisa pepejal negara yang lebih mampan.

Nga berkata inisiatif tersebut adalah selaras dengan sasaran negara untuk mencapai TBB sebanyak 40 peratus menjelang 2035, dengan sektor sisa pepejal adalah antara penyumbang kepada pencapaian itu menerusi teknologi WtE.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/