MITI Cadang Insentif Beli Motosikal EV Bagi Kumpulan B40

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengemukakan cadangan pemberian insentif pembelian kenderaan elektrik (EV) khususnya motosikal dalam Belanjawan 2024 bagi menggalakkan perkembangan industri itu di Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri berkata cadangan tersebut sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF), ia akan tertumpu kepada pemilik kenderaan daripada kumpulan B40. 

“Kita mengharapkan keputusan yang positif. MITI berharap MoF dapat memberi sokongan kepada pembangunan industri EV negara, (dan) di dalam konteks ini untuk motosikal,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di International Electric Mobility Showcase (IEMS 2023) di sini hari ini.

Mengenai pembangunan industri EV secara keseluruhan, Hanafi berkata kerajaan telah menyediakan banyak insentif pada tahun 2022 dan 2023 untuk pembangunan industri tersebut sama ada daripada segi permintaan dan juga penawaran perkhidmatan berkenaan.

Beliau berkata pasaran EV beroda dua di Malaysia masih berada di tahap rendah, iaitu kurang daripada satu peratus.

Sehubungan itu, MITI berharap inisiatif yang dilakukan termasuk cadangan yang dikemukakan bagi Belanjawan 2024, ia akan mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia.

“Fokus kita sekarang lebih tertumpu kepada kenderaan empat roda atau kereta. Justeru, MITI mengembangkannya kepada motosikal dan kenderaan perdagangan,” kata Hanafi.

Malaysia menyasarkan kira-kira 10,000 stesen pengecas menjelang 2025, terdiri daripada 1,000 unit jenis arus terus dan 9,000 unit jenis arus ulang-alik atau pengecasan perlahan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian