Perkhidmatan Batik Air Dijangka Tingkatkan Jumlah Pelancong Ke New Zealand

SEPANG, 25 Ogos (Bernama) — Bilangan ketibaan pelancong dari New Zealand (NZ) ke Malaysia dijangka meningkat susulan pertambahan perkhidmatan penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur dan New Zealand, kata Tourism Malaysia.

Terbaru, syarikat penerbangan Batik Air menawarkan penerbangan enam kali seminggu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Auckland, New Zealand menerusi Perth, Australia yang mula beroperasi semalam (24 Ogos, 2023).

Batik Air menjadi syarikat kedua selepas Malaysia Airlines yang menawarkan perkhidmatan penerbangan terus ke New Zealand sebanyak lapan kali seminggu.

Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Amerika/Eropah/Oceania Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata Malaysia telah menerima sebanyak 17,972 penumpang dari New Zealand bagi tempoh Januari hingga Jun lepas.

“Jumlah itu hampir mencapai sasaran 20,000 pelancong dari negara itu bagi tahun ini. Pada 2022, kita telah menerima sebanyak 18,000 pelancong New Zealand. Perkhidmatan oleh Batik Air ini akan turut membantu Malaysia memajukan lagi sektor pelancongan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Batik Air dari Auckland menerusi Perth di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Selain itu, Iskandar Mirza berkata Tourism Malaysia akan turut menyelaras program misi jualan ke empat bandar raya iaitu Auckland di New Zealand serta Sydney, Melbourne dan Adelaide di Australia, bermula 28 Ogos, 2023.

Program selama seminggu itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof dan turut disertai oleh penggiat industri pelancongan serta wakil kerajaan Sabah, Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya.

Ini merupakan program tahunan Tourism Malaysia bagi merancakkan lagi promosi pelancongan di peringkat antarabangsa, termasuk menemukan pemain industri pelancongan Malaysia dan negara dikunjungi dalam sesi perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Sesi B2B itu memberi peluang kepada kalangan pemain industri kita untuk memperkenalkan produk pelancongan dan pada masa sama dapat meningkatkan keyakinan pelancong berkunjung ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Strategi Kumpulan Batik Air dan Lion Group Datuk Chandran Rama Muthy, menyifatkan laluan penerbangan Kuala Lumpur-Auckland itu sebagai membuktikan komitmen padu Batik Air dalam memberi pilihan perjalanan yang selesa.

Menurutnya, ini tidak hanya membolehkan rakyat Malaysia berkunjung ke bandar raya seperti Auckland, tetapi turut menarik kehadiran warga New Zealand untuk meneroka destinasi menarik Malaysia seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching serta Kota Kinabalu.

“Kita berharap pelancong New Zealand akan memanfaatkan kadar tambang yang berpatutan serta perkhidmatan penerbangan ini untuk meneroka Malaysia dan seterusnya ke lokasi lain disediakan oleh Batik Air,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.