Rasionalisasi Subsidi Diesel Beri Penjimatan Hingga RM7.5 Bilion Setahun – Amir Hamzah


KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel dijangka memberikan penjimatan tahunan antara RM7.2 bilion dan RM7.5 bilion kepada kerajaan, meningkat daripada RM4 bilion yang diunjurkan tahun lepas, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata ini adalah hasil daripada kejayaan pelancaran rasionalisasi subsidi diesel yang menyaksikan penjimatan sehingga RM600 juta sebulan direkodkan selepas pelaksanaannya.

“Apabila kerajaan melancarkan (rasionalisasi subsidi diesel) pada Julai 2024, kita menjangka memperoleh penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun.

“Ketika ini kita kesan kira-kira RM600 juta sebulan, jadi itu sepatutnya memberi kita penjimatan kira-kira RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun.

“Kita dapat melakukannya lebih baik kerana ketirisan (diesel) adalah lebih daripada apa yang kita sangka, dan itu hanya di Semenanjung Malaysia pada ketika ini,” katanya semasa sesi panel pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata perkara asas yang perlu dipertimbangkan semasa melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel adalah apa yang merupakan perkara utama yang perlu diuruskan oleh kerajaan.

“Kita tahu bahawa daripada ketirisan itu, kita akan memasuki dua segmen utama — pertama, daripada sektor runcit hingga sektor komersial. Kedua, kita juga mengalami ketirisan besar yang melibatkan pergerakan merentas sempadan.

“Kita dapat melancarkannya kerana kita melaksanakan sistem yang sebenarnya mengurangkan risiko dari segi ketirisan, Kita capai hasil yang lebih baik kerana kita dapat mengurangkan ketirisan rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang mengusahakan mekanisme untuk merasionalisasikan subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

“Kita akan melancarkan rasionalisasi subsidi RON95 menggunakan prinsip yang sama (seperti rasionalisasi diesel) dengan harga dua peringkat, dengan sasaran melindungi 85 peratus daripada penduduk agar mereka tidak terkesan dengannya

“Pertama adalah ambang (pendapatan) manakala kedua adalah metodologi, seperti apa yang kita laksanakan dalam (rasionalisasi) diesel, yang akan membolehkan kita menguruskannya dengan berkesan.

“Saya fikir dalam tempoh beberapa bulan akan datang, anda akan dapat melihat perkara itu dengan lebih jelas,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian