RHB & IJN Lancar Program Pemeriksaan Kesihatan Jantung Mudah Alih Di Seluruh Negara

Kuala Lumpur – RHB Banking Group (“RHB” atau “Kumpulan”) dan Institut Jantung Negara (“IJN”), peneraju dalam penjagaan kardiovaskular terkemuka Malaysia, hari ini melancarkan kerjasama strategik bagi membawa perkhidmatan penjagaan kesihatan jantung yang penting lebih dekat kepada rakyat, khususnya komuniti yang mempunyai akses terhad. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad, dan mencerminkan komitmen bersama RHB dan IJN dalam meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan jantung di peringkat komuniti.

Teras kepada inisiatif ini adalah Unit Pemeriksaan Kesihatan Jantung Mudah Alih IJN yang telah dinaik taraf, iaitu sebuah treler 40 kaki dengan ruang yang boleh diperluaskan, dilengkapi kemudahan ECHO, ECG serta bilik triage trauma. Dengan mobiliti dan keupayaan operasi yang dipertingkatkan, unit yang dinaik taraf ini membolehkan IJN melaksanakan misi pemeriksaan dengan lebih kerap dan meluas ke kawasan pinggir bandar, luar bandar, pedalaman serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, di samping menjangkau orang awam di luar kemudahan hospital. Sekiranya keputusan pemeriksaan menunjukkan keperluan rawatan lanjut, pasukan di lokasi akan mengeluarkan rujukan segera.

Pengarah Urusan Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Dato’ Mohd Rashid Mohamad berkata, “Bagi kami, kerjasama ini mencerminkan komitmen RHB untuk membuka akses di tempat yang paling memerlukan. Di RHB, kami melihat kesejahteraan komuniti sebagai sesuatu yang perlu dibina sejak awal dan diperkukuhkan secara berterusan melalui pencegahan, pendidikan dan pemerkasaan. Apabila perkhidmatan dibawa lebih dekat kepada komuniti, orang ramai dapat mengambil tanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka serta merancang masa depan dengan lebih baik. Inilah erti sebenar kemajuan inklusif, mendekati masyarakat di tempat mereka berada dan mewujudkan impak yang berkekalan.”

Sepanjang tempoh tiga tahun akan datang, IJN dan RHB akan melaksanakan program libat urus komuniti secara bersama, menggabungkan kepakaran IJN dalam pemeriksaan dan pendidikan kesihatan jantung dengan program literasi kewangan RHB. Usaha bersepadu ini bertujuan menyokong komuniti dengan maklumat yang menyumbang kepada pembentukan isi rumah yang lebih sihat dan celik kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib berkata, “Diperkenalkan pada tahun 2013, Pemeriksaan Mudah Alih IJN bersaiz 40 kaki yang merangkumi sebuah prime mover dan treler dengan ruang operasi yang boleh diperluas serta dilengkapi kemudahan ECG dan ECHO – telah menjadi platform utama dalam menyampaikan pemeriksaan dan pendidikan kesihatan jantung di seluruh negara. Naik taraf terkini memastikan mobiliti, keselamatan dan kecekapan operasi usaha libat urus penting ini dapat diteruskan ketika kami membawa inisiatif IJN Menjejaki Malaysia ke setiap pelosok negara selaras dengan komitmen IJN Goes Beyond.”

Melalui kerjasama ini, RHB dan IJN menjangkakan sekurang-kurangnya 12 lokasi di kawasan pinggir bandar, luar bandar, pedalaman serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dapat dicapai, memberi manfaat kepada lebih 3,000 ahli komuniti setiap tahun.

RHB juga akan mengintegrasikan program literasi kewangan utamanya, RHB Smart Money, dalam beberapa sesi libat urus komuniti terpilih bersama IJN bagi memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada komuniti. Aktiviti ini akan merangkumi sekolah luar bandar di bawah program RHB X-Cel, universiti awam menerusi inisiatif RHB MySiswa serta komuniti di bawah RHB Santuni MADANI, di mana akses kepada penjagaan kesihatan pencegahan dan pendidikan kewangan masih terhad.

Previous ArticleNext Article

Habib Menyulam Rantaian Kasih Di Aidilfitri Dengan Inspirasi Songket

Kuala Lumpur – Menyambut ketibaan Ramadan dan Aidilfitri yang penuh makna, HABIB meneruskan tradisi kempen tahunannya, Kempen Raya yang dikenali sebagai Rantaian Kasih di Aidilfitri, bermula 18 Februari sehingga 9 Mac 2026 di bilik pameran HABIB seluruh negara.

Sebagai jenama barangan kemas Malaysia, HABIB sentiasa mengangkat dan memartabatkan keindahan warisan seni tempatan, agar ianya terus dijaga dan kekal relevan sepanjang zaman. Tahun ini, Rantaian Kasih diraikan melalui inspirasi songket, tenunan warisan yang melambangkan kesabaran, kehalusan dan keindahan yang terhasil daripada sentuhan penuh makna. Kempen ini turut menampilkan Ikmal Amry dan keluarganya, yang membawa naratif kasih sayang yang terjalin secara semula jadi, merentas generasi — seiring dengan inspirasi songket yang melambangkan Rantaian Kasih yang disulam halus dan penuh makna.  

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Dato’ Sri Meer berkata, “Pemilihan songket sebagai inspirasi kempen ini melangkaui nilai estetik semata-mata. Ia melambangkan hubungan yang terjalin erat antara keluarga dan generasi; seperti benang-benang halus yang disulam menjadi satu rantaian kasih yang kukuh dan bernilai. Melalui kempen ini, HABIB berharap dapat mengukuhkan semangat kekeluargaan, merapatkan silaturrahim, sambil meraikan warisan budaya Melayu dan mengangkat seni kraf tempatan agar terus dihargai dan relevan dalam kehidupan moden. Dengan menyulam elemen tradisi bersama sentuhan kontemporari, kami ingin menzahirkan kesinambungan warisan yang terus hidup dari satu generasi ke generasi seterusnya”.

Seiring kempen Rantaian Kasih, HABIB turut memperkenalkan koleksi baharu berinspirasikan songket yang mengangkat motif ikonik seperti pucuk rebung, kotak bercampur, bunga telepuk, bunga berbaling dan sebagainya diterjemahkan ke dalam rekaan barangan kemas yang eksklusif. Koleksi ini menampilkan barangan kemas eksklusif berlian dan batu permata, koleksi Oro Italia 916 dan barangan kemas emas 916 dengan rekaan eksklusif yang hanya boleh didapati di HABIB. Koleksi baharu ini termasuklah koleksi sepadan ibu dan anak, serta koleksi lelaki yang merangkumi cincin dan butang baju melayu bertatahkan berlian dan batu permata, diikat dengan paladium perak, untuk melengkapkan gaya Raya dengan sentuhan warisan.

“Nilai kesabaran, ketelitian dan kemahiran tinggi yang terdapat dalam seni songket ini selari dengan pendekatan HABIB dalam menghasilkan barangan kemas, di mana kami melalui proses penyelidikan yang mendalam dan sentuhan penuh teliti, demi memastikan setiap rekaan membawa mutu serta nilai yang berkekalan,” tambah Dato’ Sri Meer.

HABIB turut menampilkan koleksi emas 999.9 yang sesuai dijadikan simpanan dan pelaburan jangka panjang, termasuk Jongkong Emas 999.9 Edisi Songket. Selain itu, Wafer Emas 999.9 Edisi Songket dengan lima rekaan eksklusif yang mengetengahkan motif Songket iaitu Bunga Bintang, Bunga Pecah Lapan, Pucuk Rebung Gigi Yu, Bunga Ros dan Tampuk Manggis, masing-masing membawa naratif tersendiri.  

Kempen Rantaian Kasih Aidilfitri 2026 berlangsung dari 18 Februari hingga 9 Mac 2026 di seluruh bilik pameran HABIB. Melalui kempen ini, HABIB berharap agar Aidilfitri diraikan dengan lebih bermakna, bukan sekadar kemeriahan, tetapi melalui hubungan yang dipelihara, warisan yang dihargai serta kasih yang terus disulam dari hati ke hati. Untuk maklumat lanjut, layari www.habibjewels.com dan ikuti HABIB di media sosial menerusi Instagram dan TikTok (@habibjewelsofficial) serta Facebook dan LinkedIn (@HABIB).