Setel Je Dengan DuitNow

KUALA LUMPUR, 3 April 2023 – Terkenal sebagai perintis transformasi dalam pengalaman pengisian minyak di stesen-stesen petrol pada hari ini, Setel mempunyai misi untuk mengubah definisi mobiliti, termasuk menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih mudah di pelbagai titik sentuh untuk kegunaan harian pengguna. Integrasi DuitNow QR dengan fungsi “Setel Pay” dalam aplikasinya berpotensi untuk meluaskan lagi penerimagunaan kaedah bayaran tanpa tunai dalam kalangan pengguna. Setel telah melancarkan DuitNow QR dan menyertai ekosistem berskala besar yang dioperasikan oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet). Manfaatnya juga dinikmati oleh peniaga-peniaga DuitNow QR yang kini memiliki akses ke para pengguna aktif Setel.

Aplikasi Setel kini boleh digunakan untuk mengimbas dan membuat pembayaran di mana-mana kedai yang menyediakan kod DuitNow QR. Dalam tempoh satu tahun, pengguna Setel juga akan dapat menghantar dan menerima dana melalui DuitNow QR serta menjana kod DuitNow QR mereka sendiri bagi memudahkan  pemindahan dana ke e-dompet mereka.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel, menekankan pendekatan syarikat yang berpaksikan pelanggan dengan menyatakan, “Pelanggan kami merupakan teras organisasi kami, dan kami telah menerima permintaan demi permintaan untuk meluaskan lagi kemudahan yang ditawarkan oleh aplikasi Setel bagi memenuhi pelbagai keperluan pengguna.” Beliau tambah juga, “Integrasi dengan DuitNow QR jelas sekali membuktikan komitmen kami untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik, khususnya bagi demografik pelanggan kami yang paling utama, iaitu pengguna kenderaan. Sambil itu, kami terus berusaha untuk menjadikan Setel lebih inklusif dan mudah diakses oleh ramai lagi pelanggan bagi kegunaan runcit dan lain-lain.”

Gary Yeoh, Ketua Pegawai Komersial PayNet, turut meluahkan keterujaan beliau terhadap usaha sama tersebut, “Di PayNet, kami komited untuk mencapai aspirasi kewangan yang inklusif dan berinovasi di Malaysia. Menerusi kerjasama antara Setel dan DuitNow QR ini, kami dapat menaik taraf kemudahan dan aksesibiliti buat seluruh rakyat Malaysia.”

Dari 30 Mac 2023 hingga 31 Mei 2023, pengguna Setel dapat kumpul mata ganjaran Mesra bagi setiap transaksi bayaran yang dibuat melalui DuitNow QR. Mata ganjaran tersebut boleh ditebus untuk pembelian petrol serta pelbagai ganjaran menarik yang lain. 

Fungsi ini dapat diakses dengan mudah melalui tab ‘Bayar’ yang terletak di laman utama aplikasi Setel. Ketik sahaja butang ‘Imbas kod QR’, dan setelah fungsi pengimbas muncul di skrin anda, imbas kod DuitNow QR yang disediakan, tetapkan jumlah bayaran, dan hantar.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI