Basikal Buluh Buatan Sarawak Akan Masuk Pasaran China Tahun Ini

KOTA SAMARAHAN, 20 Mac (Bernama) — Basikal buluh buatan Sarawak dijangka mula memasuki pasaran China tahun ini, kata Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Datuk Hashim Bojet.

Beliau berkata Pusaka akan membuat Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MOA ) dengan syarikat China, Brook & Breeze manakala anak syarikat Pusaka akan diberi tanggungjawab mengeluarkan basikal buluh secara komersial bagi pasaran eksport ke Shanghai, China.

“Pada masa ini syarikat Brook & Breeze sudah mengeluarkan basikal buluh di pasaran China sejak 10 tahun lepas namun mereka tidak cukup tangan untuk memenuhi permintaan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan dan penyampaian sijil Kursus Intensif Basikal Buluh di Kompleks Industri Perabot Pusaka.

Basikal buluh akan dibuat menggunakan buluh tempatan dikenali sebagai ‘Bambusa Nana’ yang kukuh dan buluh yang ditanam secara ladang di Sarawak, katanya.

Hashim berkata Brook & Breeze akan menentukan bilangan basikal buluh yang perlu dihasilkan untuk dieksport ke sana dengan harga dianggarkan US$3,000 seunit berbanding US$4,000 seunit yang dipasarkan syarikat itu pada masa ini.

Beliau berkata buat masa ini kompleks itu menjadi premis untuk pembuatan basikal berkenaan dan mampu mengeluarkan 50 unit sebulan.

Susulan perancangan untuk mengeksport ke negara tembok besar itu, kapasiti pengeluaran basikal buluh akan dipertingkatkan lagi, katanya.

“Ini (pencapaian mengeluarkan basikal buluh untuk eksport) juga seiring dengan sambutan 50 tahun Pusaka (tahun ini),” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

DHL Express Umum Kenaikan Harga Sebanyak 6.9 Peratus Pada 2025


KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa, DHL Express hari ini mengumumkan purata kenaikan harga sebanyak 6.9 peratus pada 2025, berkuat kuasa 1 Januari.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata syarikat kekal komited untuk memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai di peringkat global walaupun mendepani cabaran geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan.

“Dengan pelarasan harga tahunan ini, kami dapat terus melabur dalam rangkaian kami untuk meningkatkan daya tahan dan kebolehsuaiannya, memastikan sokongan yang konsisten untuk perniagaan pelanggan kami tanpa mengambil kira keadaan luaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut DHL Express, harganya disemak setiap tahun, mengambil kira inflasi, turun naik mata wang dan kos pentadbiran berkaitan dengan langkah-langkah pengawalseliaan dan keselamatan.

Katanya pihak berkuasa nasional dan antarabangsa sentiasa mengemas kini langkah-langkah ini di lebih 220 negara dan wilayah yang ditawarkan perkhidmatan.

— BERNAMA