TikTok Wujud Shopping Mall, Beli Sambil Berhibur

Tahukah anda, aplikasi TikTok bukanlah semata-mata platform untuk berhibur? Anda juga boleh membeli-belah seperti berada di sebuah mall!

Untuk pengetahuan anda, kini TikTok telah melancarkan Shopping Mall mereka yang tersendiri. Inilah peluang anda untuk beli barang atau berniaga sambil bertiktok.

Dengan kewujudan shopping mall di TikTok ini, ia membolehkan pengguna membeli dan menjual barangan secara dalam talian pada aplikasi TikTok. Bagi anda yang berminat untuk menjual di TikTok Shopping Mall, anda perlu mendaftar akaun TikTok sebagai seller terlebih dahulu. 

Sementara itu, bagi pelanggan yang ingin membeli di TikTok, mereka hanya perlu mencari barang yang dikehendaki di TikTok menggunakan akaun TikTok mereka sendiri.

Shopping Mall TikTok Bakal Memberi Manfaat Kepada Perusahaan Kecil Dan Sederhana (SME)

Dengan adanya TikTok Shopping Mall, ia secara tidak langsung membuka peluang perniagaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dalam bentuk berniaga sambil berhibur. 

Boleh dikatakan bahawa peluang yang diberikan ini juga mampu memberikan manfaat kepada mereka yang masih tidak mempunyai kedai fizikal ekoran masalah kos pelaburan yang sangat tinggi. Jadi, peniaga akan dapat menjalankan perniagaan secara menyeluruh dengan aplikasi TikTok dengan menjadi pencipta kandungan video pada kadar yang tertentu.

Selain itu, pengguna biasa juga turut mendapat manfaat yang sama dengan adanya TikTok Shopping Mall kerana mereka boleh membeli apa sahaja yang mereka mahukan sambil berhibur. 

Menarik lagi, fungsi yang ada pada TikTok Shopping Mall kini adalah promosi yang melibatkan baucar penghantaran percuma dan diskaun sehingga 99%. Rugi sangat jika anda belum guna aplikasi TikTok!

Kelebihan Berniaga Di Platform TikTok

Kini, pengguna TikTok di Malaysia boleh dikatakan mencecah 4 juta orang. Boleh dikatakan juga dalam 4 juta orang ini, kebanyakannya dalam kalangan pengguna berusia dalam lingkungan 16 tahun hingga 24 tahun. Oleh itu, mereka ini biasanya mempunyai kecenderungan minat yang amat tinggi dalam sesuatu perkara yang mereka suka atau gemari.

Namun, saban hari, pengguna yang berusia 25 tahun ke atas juga semakin meningkat ekoran peningkatan kandungan digital yang semakin berkualiti. Kita tahu bahawa pengguna yang berusia 25 tahun ke atas mempunyai buying power yang amat tinggi. Selain itu, mereka juga cenderung untuk mengikuti trend-trend yang terkini.

Apa yang dapat kita lihat di sini adalah berniaga di TikTok pasti dapat meraih pelanggan yang lebih ramai dan keuntungan yang pasti mengejutkan anda. Sudah pasti content yang dihasilkan oleh anda harus menarik perhatian golongan-golongan ini. Jika hasilnya menarik, pasti produk yang anda jual laku keras, betul tak?

Cara Daftar Akaun TikTok

Bagi anda yang berminat untuk mendaftar akaun Tiktok, anda boleh mengikuti langkah berikut.

  1. Muat turun aplikasi TikTok melalui Playstore bagi smartphone yang menggunakan sistem Android dan Appstore bagi pengguna sistem IOS (Apple) milik anda.
  2. Selepas siap memuat turun aplikasi TikTok, anda perlu mendaftar akaun terlebih dahulu. Di sini, anda boleh mendaftar dengan menggunakan emel, nombor telefon, Facebook, Instagram, Twitter atau akaun Google milik anda.
  3. Apabila selesai memilih cara pendaftaran di atas, anda perlu memasukkan butiran tarikh lahir anda pada ruangan yang dipaparkan. Kemudian, klik ‘Teruskan’ setelah selesai memasukkan butiran tarikh lahir anda.
  4. Selepas itu, akan tertera pula paparan untuk pengesahan melalui emel ataupun melalui nombor telefon. Di sini, anda perlu memastikan maklumat yang diisi adalah betul dan tepat bagi memastikan kod pengesahan diterima. Apabila selesai, klik pada kotak ‘Seterusnya’.
  5. Masukkan kod pengesahan yang diterima pada paparan seterusnya. Kod tersebut perlu dimasukkan untuk memastikan akaun yang dibuat oleh anda adalah asli.
  6. Selepas memasukkan kod tersebut, anda dikehendaki membuat kata laluan akaun dan sahkan kata laluan tersebut.
  7. Akhir sekali, paparan ‘I’m not a robot’ dipaparkan untuk pengesahan terakhir anda bagi memastikan anda adalah manusia dan bukannya bot komputer. Pada bahagian ini, anda perlu menyelesaikan captcha yang diberikan sebelum akaun TikTok anda boleh diguna.

Kesimpulannya, TikTok sememangnya terkenal dengan aplikasi hiburan dan keunikannya yang tersendiri. Idea mereka dalam mewujudkan shopping mall atas talian juga merupakan satu nafas baru buat kita semua dalam mengembangkan perniagaan.

Bagi anda yang mempunyai bakat yang terpendam, mungkin anda juga boleh berniaga sambil menunjukkan bakat tersebut kepada pelanggan-pelanggan anda nanti. TikTok juga dapat menaikkan bakat-bakat baru sekali gus memberi manfaat untuk kembangkan shopping mall anda.

Baca juga:

Dah follow TikTok Majalah Labur? Jemput follow TikTok kami untuk dapatkan maklumat yang ringkas, padat dan mudah difahami.

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.