Bank Ambil Serius Keselamatan Data Pemegang Kad – Persatuan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menegaskan dan mengesahkan pihak bank sentiasa memberi perhatian serius kepada keselamatan data pemegang kad.

Dua persatuan itu menjelaskan bank melakukan langkah balas keselamatan tambahan untuk melindungi pemegang kad daripada risiko yang berpotensi berlaku.

Langkah ini termasuk tetapi tidak terhad kepada peningkatan pemantauan penipuan dalam masa sebenar untuk mengesan tingkah laku penggunaan kad yang luar biasa dan penipuan, menurut persatuan itu dalam kenyataan bersama pada Khamis.

Kenyataan itu bagi mengulas mengenai data kad berpotensi terjejas dalam insiden keselamatan siber seperti dinyatakan iPay88 baru-baru ini.

“Bank melaksanakan langkah keselamatan berbilang peringkat yang ketat seperti pengesahan dwi-faktor untuk menghalang transaksi kad kredit dan kad debit tanpa izin.

“Bank akan menghubungi pemegang kad secara terus menerusi saluran rasmi bank jika pihak bank mengesan transaksi luar biasa yang mungkin memerlukan pengesahan tambahan. Pemegang kad juga perlu menghubungi bank masing-masing menerusi pusat panggilan atau cawangan untuk bantuan berkaitan perkara ini,” menurut ABM dan AIBIM.

Anggota ABM dan AIBIM juga menyakinkan pemegang kad bahawa pelanggan boleh terus menggunakan kad bank mereka seperti biasa selain diingatkan supaya sentiasa menyemak penyata bank dan pemberitahuan transaksi mereka dari bank.

“Sekiranya pemegang kad mengesan sebarang transaksi yang tidak dibenarkan, mereka perlu segera menghubungi bank mereka di nombor yang tertera di belakang kad bank untuk mendapatkan bantuan.

“Pemegang kad diingatkan, memandangkan ancaman keselamatan siber yang lebih sofistikated, adalah penting untuk berwaspada pada setiap masa,” jelas persatuan itu.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bank-ambil-serius-keselamatan-data-pemegang-kad-persatuan/

Previous ArticleNext Article

Intel Corp Lantik Tan Lip Bu Sebagai CEO, Berpengalaman Luas Dalam Industri Cip


KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Intel Corporation telah melantik anak kelahiran Malaysia, Tan Lip Bu sebagai sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 18 Mac depan.

Beliau seorang pemimpin teknologi yang berjaya dan berpengalaman luas dalam industri semikonduktor.

Intel dalam satu kenyataan berkata Tan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif interim daripada David Zinsner dan Michelle (MJ) Johnston Holthaus.

Beliau juga akan menyertai semula ahli lembaga pengarah Intel selepas meletak jawatan pada Ogos, 2024.

“Tan adalah pelabur teknologi pada tempoh yang lama dan seorang eksekutif yang dihormati dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam semikonduktor dan perisian dan mempunyai hubungan baik merentas ekosistem Intel,” kata kenyataan itu.

Beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Cadence Design Systems dari 2009 hingga 2021 dan mengetuai penciptaan semula syarikat dan memacu transformasi budaya yang tertumpu pada inovasi yang mengutamakan pelanggan.

Tan berada dalam lembaga pengarah Cadence selama 19 tahun bermula dari pelantikannya pada 2004 melalui perkhidmatannya sebagai pengerusi eksekutif dari 2021 hingga 2023 selepas memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif, katanya.

Pengerusi Bebas Lembaga Pengarah Intel, Frank D. Yeary berkata Tan adalah peneraju luar biasa yang mempunyai kepakaran industri teknologi, perhubungan baik merentas ekosistem produk dan faundri serta rekod prestasi cemerlang dalam mencipta nilai pemegang saham adalah kriteria yang Intel perlukan untuk CEO seterusnya.

“Tan telah memperoleh reputasi sebagai seorang inovator yang mengutamakan pelanggan dalam segala perkara dilakukannya, menyampaikan penyelesaian berbeza untuk menguasai pasaran dan membina budaya berprestasi tinggi untuk mencapai kejayaan.

“Seperti kebanyakan di seluruh industri, saya telah bekerja rapat dengan Tan pada masa lalu dan telah melihat secara langsung bagaimana perhatian utamanya kepada pelanggan mendorong inovasi dan kejayaan,” kata Yeary.

Menurut kenyataan itu, Tan juga merupakan rakan kongsi pengurusan pengasas Walden Catalyst Ventures dan pengerusi Walden International dan mempunyai pengalaman menganggotai lembaga pengarah syarikat awam yang signifikan dan kini berkhidmat dalam lembaga pengarah Credo Technology Group dan Schneider Electric.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik dari Nanyang Technological University, Singapura, Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Nuklear dari Massachusetts Institute of Technology serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of San Francisco.

Pada 2022, beliau menerima Anugerah Robert N. Noyce, penghormatan tertinggi Persatuan Industri Semikonduktor, katanya.

Dalam memo diedarkan kepada kakitangan Intel, Tan berkata beliau yakin mampu menambah baik perniagaan syarikat tersebut.

“Ia bukan perkara mudah…tetapi saya percaya syarikat ini mempunyai kebolehan untuk menang. Intel memainkan peranan penting dalam ekosistem teknologi, di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

“Intel adalah sebuah syarikat yang telah lama saya kagumi. Sejak usia kecil lagi, saya terpesona dengan kuasa sains, teknologi dan kejuruteraan…dan inovasi Intel telah berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian dan memberi sumbangan besar kepada dunia,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

— BERNAMA