Kuala Lumpur, 23 Jan (Bernama) — TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi TNG eWallet iaitu SOS Balance, bagi memastikan pengguna yang tidak mempunyai baki mencukupi masih dapat melalui plaza tol.
Ia akan diperkenalkan kepada pengguna eWallet TNG terpilih mulai hari ini secara percuma, yang memberikan mereka tempoh 24 jam untuk menambah nilai eWallet dan menyelesaikan sebarang caj tol tertunggak.
Pengerusi TNG Digital Effendy Shahul Hamid berkata ciri percuma itu akan menyumbang kepada aliran trafik yang lebih lancar dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.
“Punca utama pengguna terperangkap di plaza tol adalah kekurangan baki dalam akaun TNG e-Wallet mereka.
“Ciri baharu ini membenarkan pengguna yang layak tapi mempunyai baki yang tidak mencukupi melalui plaza tol, namun diwajibkan menambah nilai eWallet mereka dan membayar caj tertunggak itu dalam masa 24 jam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran SOS Balance oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni berkata ciri itu pada ketika ini hanya tersedia kepada pelanggan setia kerana mereka kurang berpotensi menyalahgunakannya.
“Kami amat menggalakkan pengguna membuat pembayaran dalam tempoh 24 jam, tetapi secara praktikalnya, pembayaran masih boleh dibuat selepas tempoh tersebut,” katanya sambil menambah bahawa TNG Digital bersedia menyerap potensi kerugian.
Mengenai rancangan untuk melanjutkan perkhidmatan atau caj tempat letak kereta, Ni berkata syarikat itu perlu menilai prestasi, risiko dan potensi kerugian terlebih dahulu.
SOS Balance boleh digunakan di lebuh raya berdaya RFID dan PayDirect, dengan liputan semasa merangkumi 31 daripada 33 lebuh raya di seluruh Semenanjung Malaysia.
Kad Visa Touch ‘n Go eWallet kini antara kad prabayar di Malaysia yang boleh digunakan di mana-mana terminal Visa seluruh dunia. Ia bukan sekadar kad untuk beli barang, tapi juga boleh keluarkan tunai di mesin ATM bila perlu. Menurut sumber rasmi, Touch ‘n Go Visa Prepaid Card dilancarkan secara rasmi kepada pengguna umum pada 18 Januari 2023.
Apa Itu Kad Visa Touch ‘n Go? Kad ini ialah kad prabayar (prepaid card) yang menggunakan baki sedia ada dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Ia berfungsi sama seperti kad debit tapi dana datang terus dari eWallet, bukan akaun bank. Maknanya, kalau baki eWallet anda ada RM800, maka itulah had sebenar anda untuk berbelanja atau keluarkan tunai.
Kegunaan Kad Visa Touch ‘n Go
Pembelian di kedai & restoran : boleh digunakan di mana-mana terminal dengan logo Visa, sama seperti kad debit biasa.
Transaksi luar talian (offline) : boleh “tap” menggunakan fungsi PayWave di kedai yang menyokong Visa contactless.
Pengeluaran tunai di ATM : guna mana-mana ATM yang ada logo Visa dengan caj RM1.40 (dalam Malaysia) atau RM10 (luar negara).
Tol & parking : hanya berfungsi di lokasi tertentu yang menyokong integrasi eWallet, bukan semua tol. Untuk laluan tol yang masih menggunakan kad fizikal, pengguna perlu kekal guna kad Touch ‘n Go biasa.
Transaksi rentas sempadan — boleh digunakan untuk pembelian di luar negara (Visa global acceptance) dan caj rentas sempadan buat masa ini dikecualikan oleh TNG Digital.
Transaksi rentas sempadan: Dikecualikan (buat masa ini)
Had Pengeluaran & Transaksi
Maksimum 5 transaksi pengeluaran sehari
Had pengeluaran: RM5,000 sehari
Transaksi PayWave: maksimum RM1,250 sehari
Transaksi PIN: maksimum RM5,000 sehari
Ingat, semua had ini bergantung kepada baki eWallet Touch ‘n Go anda dan bukan baki akaun bank.
Jadi… Berbaloi Ke Caj RM1.40 Tu? Kalau nak dibanding dengan kad bank, memang ada bank yang kenakan caj RM1.00 atau percuma bila guna ATM dari bank sendiri. Tapi konteks kad prabayar eWallet berbeza.
1. Boleh guna di mana-mana ATM Visa — selagi ATM ada logo Visa, boleh guna termasuk luar negara. 2. Mudah kawal bajet debab boleh hadkan baki eWallet. 3. Sangat berguna dalam kecemasan — bila dompet hilang atau kad debit bank tak boleh guna. 4. Alternatif kad bank untuk pelajar sekolah (layak dari umur 12 tahun + perlu eKYC dalam app), pelajar universiti dan freelancer — mudah daftar dan kawal melalui aplikasi.
Untuk makluman baki ewallet tidak dilindungi PIDM. PIDM hanya melindungi deposit bank (hingga RM250,000 per pendeposit, per bank) bukan e-wallet.
Bila Tak Sesuai Guna?
Kalau selalu keluarkan tunai, caj RM1.40 boleh jadi membebankan.
Kalau dah ada kad debit bank dengan ATM percuma, fungsi kad ni mungkin sekadar “backup”.
Untuk Kaki Travel: Kenapa Kad Ini Padu?
1) Boleh diguna meluas di mana-mana terminal Visa. Ini memudahkan bayaran di kedai, restoran, hotel dan lain-lain. Ramai tanya boleh ke guna kad Visa ini di MRT Singapura? Bila baca dekat laman web operator MRT Singapore, mereka terima kad Visa contactless. Namun, pihak Touch ’n Go belum mengesahkan sokongan rasmi untuk kad ini, jadi penggunaan di MRT/Transit Singapura tidak dijamin berfungsi 100%. Sebaiknya bawa EZ-Link atau kad Visa bank lain sebagai sandaran semasa travel.
2) Caj pengeluaran ATM luar negara yang jelas: RM10 per transaksi — praktikal untuk ‘emergency cash’.
3) Transaksi rentas sempadan kini dikecualikan caj (buat masa ini) — membantu kawal kos ketika swipe di luar negara.
4) Bajet terkawal sebab ia kad prabayar — anda hanya belanja setakat baki eWallet, sesuai untuk elak overspend semasa travel.
5) Sesuai sebagai ‘backup card’ kalau kad bank utama bermasalah.
Tips Guna Kad Visa Touch ‘n Go Dengan Bijak
Aktifkan fungsi Lock Card bila tak digunakan.
Jangan guna WiFi awam bila log masuk aplikasi.
Simpan hotline TNG: +603-5022 3888 untuk sekat kad segera jika hilang.
Pastikan baki eWallet mencukupi sebelum guna kad visa ini di luar negara.
Kalau guna kad visa ini sebagai pelengkap eWallet dan penyelamat masa kecemasan, maka memang berbaloi. Namun kalau setiap minggu nak keluarkan duit tunai, lebih baik guna kad debit bank biasa.