3,033 Kerusi Urut, RM40 Juta Setahun: Cerita IPO RNG Tech

Sumber : https://restngo.com.my/

Syarikat di sebalik jenama ‘Rest N Go’, RNG Tech Berhad, kini bersedia untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. Menurut laporan daripada The Edge dan Bernama, RNG Tech telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia untuk penyenaraian awam awal (IPO).

RNG Tech mengendalikan rangkaian terbesar kerusi urut automatik di Malaysia di bawah jenama ‘Rest N Go’. Walaupun ramai yang anggap kerusi urut ini nampak jarang digunakan, model perniagaan mereka sebenarnya menghasilkan pendapatan yang konsisten dan margin keuntungan yang tinggi.

Para suami mesti biasa nampak kerusi urut “Rest N Go” ni dekat mall. Port wajib bila isteri tengah shopping 3 jam. RM10 untuk 10 minit. Kadang-kadang baru nak lena, isteri dah call: “Abang, tolong pegang beg kejap.”

3,033 Kerusi Urut, RM40 Juta Setahun

RNG Tech mengendalikan 3,033 kerusi urut automatik di seluruh Malaysia, dari pusat beli-belah hingga lapangan terbang. Setiap kerusi nampak tak sibuk, tapi secara purata hasilkan kira-kira RM36 sehari bersamaan lebih kurang 36 minit penggunaan sehari.

Kalau dikumpul semua, hasil keseluruhan cecah RM40.3 juta setahun, dengan margin untung bersih 36%. Maknanya setiap RM100, syarikat untung RM36.

Kenapa RNG Tech Nak IPO?

Secara ringkasnya, dana akan digunakan untuk :

  • Menambah lagi kerusi urut baharu di lokasi strategik : R&R, lapangan terbang, hospital dan universiti.
  • Modal kerja untuk menyokong pertumbuhan, penyelenggaraan, deposit sewaan tapak, dan operasi.
  • Menaik taraf sistem pengurusan mesin (MRS & SPI) supaya proses kutipan, penyelenggaraan dan data lebih automatik.
  • Pembayaran balik pinjaman / kurangkan liabiliti bagi memperkemas struktur kewangan.
  • Membina kredibiliti & jenama antarabangsa — sebab penyenaraian IPO beri kepercayaan pada rakan niaga dan pelabur asing.

Bisnes Skala, Bukan Sekadar Satu Kerusi

Model bisnes RNG Tech bukan bergantung pada satu lokasi. Ia bergantung pada kuantiti dan capaian. Walaupun setiap kerusi tak digunakan lama, syarikat masih boleh buat untung sebab ribuan kerusi beroperasi secara serentak. Sama konsep macam vending machine atau ATM. Setiap satu sumbang sedikit, tapi bila dikali beribu unit, jumlahnya menjadi luar biasa.

Kesimpulan: Bisnes Senyap, Duit Banyak

Kadang-kadang bisnes yang nampak kecil, senyap atau ‘tak glamor’ inilah yang kukuh. Tak perlu hype, tak perlu viral. Cukup dengan model automatik, margin tinggi dan aliran tunai stabil.

Kerusi urut ni nampak kosong dari jauh, tapi dalam senyap… dia tengah buat duit.

Baca lagi prospektus RNG Tech di laman web Bursa Malaysia.

Bila boleh mohon IPO RNG? Buat masa ini, RNG Tech telah memfailkan prospektus exposure untuk penyenaraian di Pasaran ACE. Tarikh rasmi belum diumumkan.

Penafian (Disclaimer) : Maklumat dalam artikel ini bertujuan untuk pendidikan umum dan bukan nasihat pelaburan. Semua angka (contoh: hasil, margin, bilangan kerusi) adalah berdasarkan dokumen prospektus dan laporan media yang diyakini dan boleh berubah dari semasa ke semasa. MajalahLabur dan penulis tidak menerima sebarang imbuhan/penajaan untuk artikel ini dan tidak mempunyai kepentingan langsung dalam sekuriti yang disebut, melainkan dinyatakan.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.